Selalunya, kita terpesona dengan kecantikan dan keindahan yang dihidangkan di hadapan mata. Kadangkala, kecantikan dan keindahan itu melukakan hati kita. Namun, kita lupa pada pedihnya luka itu kerana kita puas menjadi pengikut doktrin ‘kecantikan adalah segalanya’

Benar juga kata seorang teman. Jangan elakkan sesuatu yang kita tidak suka. Kadangkala apa yang kita elakkan itu, walaupun tidak bermanfaat bagi kita, sebenarnya memberi satu pengajaran dan pelajaran bagi kita.

Teman, kata-kata itu memang benar!

Semalam Ita hairan kerana saya bersungguh menonton Gang Starz. Ita hairan kerana rancangan hiburan seperti itu sebenarnya bukan pilihan dan keutamaan untuk saya, kakaknya.

Gang Starz. Sebuah rancangan realiti yang menggabungkan 5 buah negara dengan pencarian 12 kumpulan muzik yang hebat untuk memenangi USD$100,000. Negara yang terlibat tahun ini (musim ke dua) ialah Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filifina.

Faizal Tahir masih menjadi pengacara. Tapi itu tidak menjadi masalah bagi saya. Dia pernah buat silap, dihukum dan dia berbakat.

Memang benar kata teman saya itu, mengelakkan sesuatu kerana tidak suka tidak memberi manfaat pada saya. Oleh itu, sejak akhir-akhir ini saya sengaja membiarkan diri menonton dan menyaksikan rancangan berbentuk hiburan semata-mata seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, One in the Million dan kini Gang Starz.

Untuk mencari mereka yang berbakat memang sukar. Mungkin satu dalam seribu. Dan pencarian bakat harus didahului dengan juri dan hakim yang juga berbakat dan tepat.

Melihat fenomena rancangan hiburan yang berbentuk realiti masa kini, terus terang saya katakan yang sebenarnya tidak ramai orang yang berbakat dalam bidang nyanyian dan tidak ramai yang boleh diangkat menjadi juri yang menghakimi sesuatu pertandingan.

Akademi Fantasia sebagai contoh. Saya sebenarnya mengikut perkembangan rancangan ini tanpa menyokong, atau sms atau mengeluarkan air mata semasa menontonnya. Rancangan ini lebih mementingkan mereka yang cantik-tampan, dan juri yang tidak bertepatan. Pelik apabila kebanyakan pelajar yang terpilih cantik-tampan tetapi tidak berbakat dan juri yang mengadili pelajar sebanarnya tidak layak. Jadi yang sebenarnya mereka (Pelajar dan juri) ini bagus atau tidak?

Begitu juga dengan situasi semasa pencarian Gang starz baru-baru ini. Melalui paparan yang dilakukan, juri lebih memandang kepada fizikal. seharusnya mereka menutup mata pada fizikal peserta yang datang ujibakat. Kamu gemuk, rambut kamu macam helmet, pakaian kamu pelik dan sebagainya menjadi santapan telinga peserta yang datang.

Malahan juga cara mereka mengkritik sangat tidak profesional. Mencederakan hati mereka yang sebenarnya berbakat tapi masih tidak berkeyakinan.

Rancangan realiti yang berbentuk hiburan ini sangat mendapat sambutan. peserta yang kebanyakannya terdiri daripada remaja mengambil peluang ini untuk memenuhi impian mereka [untuk terkenal dengan cepat] walaupun mereka sebenarnya tidak berbakat dalam bidang nyanyian.

Dunia hiburan masa kini yang terlalu memaparkan dunia artis yang penuh kemewahan, glamourous, gaya berfesyen dan materialistik yang hebat, ruang sosial yang luas dan banyak lagi, telah menjerat remaja dan anak muda untuk memilih jalan ini untuk berjaya.

Tidak mengapa jika mereka benar-benar berbakat. Mungkin rancangan seperti ini boleh menjadi laluan bagi mereka menjayakan impian masing-masing.

Tapi bagaimana pula dengan mereka yang memang tidak berbakat. Mengapa mereka sanggup mengenepikan prinsip diri, memalukan diri sendiri, berlagak bagus dan kononnya punya bakat, serta sanggup menjadi orang lain semata-mata mahu menjerumuskan diri dalam dunia hiburan yang sebenarnya indah khabar dari rupa?

Percayalah, dunia hiburan, di mana-mana juga sebenarnya untuk mereka yang berbakat sahaja. Tidak semestinya kamu harus cantik dan kurus.

Dan percayalah bagi kamu yang lahir sebagai artis atas dasar kamu cantik dan kurus [yang sebenarnya tidak berbakat], bahawa kamu sebenarnya virus dalam dunia hiburan. Kamu sebenarnya tidak layak bergelar artis atau penghibur. Dan kamu yang tidak berbakat, kamu sebenarnya hadir bukan untuk mewarnai dunia hiburan tetapi mencacatkan nilai dan definisi sebenar seorang artis [penyanyi, pelakon].