Ini bukan kisah asamaradana dan imaginasi yang maha liar seorang gadis kepada jejakanya. s-m-s erotik itu tidak mengubah apa-apa pun. Percayalah!

Semua orang mengimpikan kedudukan yang teratas. Kononnya punya kuasa. Hendak buat apa pun boleh. Terutama untuk tujuan “merehatkan” diri atau “tidur-tidur” ayam.

Kedudukan teratas dikaitkan dengan kuasa. Tahu kan apa yang boleh kamu lakukan dengan kuasa?

kedudukan teratas juga memberi kelebihan yang pelbagai kepada kamu. Yang terutamanya sudah tentu kamu akan rasa lebih tinggi dari orang lain. Apabila kamu berada ditingkat yang lebih tinggi dari orang lain, maka dari situ kamu akan menyaksikan segala perkara;

kepincangan-kebodohan-kejelikan-kebahagiaan-keghairahan-kemewahan-

kemiskinan-nilai hidup-maruah-fesyen terkini-nafsu serakah

manusia-kemanusiaan-kebinatangan dan sebagainya.

Percayalah, dengan berada di atas sahajalah kamu akan kenal semua perkara itu. Lantas apa tindakan kamu sebagai orang yang berada di atas? membiarkan sahaja atau berbuat sesuatu?

Zaman sekarang jangan tidak percaya jika melihat orang yang di atas selalunya hanya tidur-tidur-tidur.

Jika terlihat sesuatu kepincangan nilai kemanusiaan pun, mata mereka yang di atas seolah-olah kabur-buta-katarak.

Kadang juga mereka sengaja menulikan telinga dengan menyumbat earphone dan menikmati lagu-lagu pelbagai rentak, menghangguk-hanggukkan atau sekadar menggoyang-goyangkan kepala tanda menikmati kehidupan di atas itu. Satu escapisme yang baik untuk memutuskan silaturrahim dengan kelompok yang berada di bawah juga rakan-rakan yang berada di barisan atas.

Ahhh…itu semua tidak penting. Yang pastinya kamu sudah termasuk di dalam golongan di atas. Memang itu impian kamu kan? Juga impian mereka yang sentiasa mahukan acara yang lebih dari orang lain.

Dan kamu-kamu-kamu yang berada di bawah, menjalari hidup dengan berselisih dengan mereka yang berada di atas, masih perlu berhati-hati.

Kerana tidak semestinya yang berada di atas itu tidur-tidur belaka. Masih ada yang berjaga, memerhatikan dan mencatat segala yang kamu lakukan seperti…

kepincangan-kebodohan-kejelikan-kebahagiaan-keghairahan-kemewahan-

kemiskinan-nilai hidup-maruah-fesyen terkini-nafsu serakah

manusia-kemanusiaan-kebinatangan dan sebagainya.

Dan teknologi terkini yang mereka ada akan digunakan untuk merakam segala perbuatan kamu yang tidak bermoral itu. Hati-hati dengan kuasa orang yang berada di atas yang tidak tidur dan memainkan peranannya sebagai manusia di muka bumi ini. Percayalah, kamu yang berada di bawah akan sentiasa diperhatikan.

*Entri ini ditujukan khas buat kenderaan-kenderaan kecil seperti kereta, van dan motorsikal yang berselisih atau berhenti di sebelah bas. Kami yang berada di dalam bas lebih tinggi kedudukan dari kamu. Kami dapat perhatikan dan merakam apa yang kamu lakukan di dalam kenderaan kamu.

Berhati-hatilah kepada kamu yang asyik meraba-raba peha gadis kamu yang berada di sebelah. Juga berwaspada kepada gadis yang memakai baju yang seksi yang boleh mempamerkan sebahagian buah susu kamu kepada kami yang berada di atas.

Dan terlebih penting, ketika kamu berseronok-seronok melakukan sesuatu yang tidak bermoral di dalam kenderaan kamu tidak kira kamu di kedudukan atas atau bawah, Percayalah, ada lagi yang di ATAS yang sedang memerhati kamu, mencatat segala perlakuanmu dan tidak terelakkan juga, segala yang kamu lakukan dimuka bumi ini akan dihitung kelak. Berhati-hati!


Advertisements