4.jpg

Teman sekerja mencari blog pro kerajaan!

Semacam menjadi dua dunia yang berbeza apabila satu medium informasi menjadi dua puak yang berbeza. Memang berbeza apabila melihat secara fizikal. Malah lebih berbeza apabila melihat secara dalaman antara dua medium informasi itu.

Media bercetak dan media eletronik yang turut dikenali sebagai media arus perdana sebelum ini, mempunyai kuasa yang besar dalam menentukan persepsi masyarakat terhadap pelbagai isu.

Jika meneliti Utusan Malaysia, Berita Harian, Nst, Harian Metro, Harakah, Siasah, Wasilah dan pelbagai lagi, kita boleh mengenalpasti hala kiri atau kanan akhbar-akhbar tersebut. Juga RTM, TV3, Tv9, 8, NTV7.

Era Digital menyaksikan sms, e-surat, blog dan laman web bukan sahaja bertindak sebagai alat perhubungan sosial seperti yang tradisionalnya.

Sms, e-surat, blog dan laman web berfungsi sebagai medium yang mengupas informasi terkini tentang isu-isu besar dalam negara terutama yang berkaitan politik dan pentadbiran negara yang selama ini ditapis penyiarannya dan penerbitannya dalam media bercetak utama.

Namun, masih banyak pihak yang tidak faham konsep media digital yang semakin menampakkan taringnya kini. Antara kebenaran dan kepalsuan, dua konsep yang masih boleh dipertikaikan bukan sahaja untuk media bercetak dan juga media digital ini.

Suatu waktu kita mendengar suara-suara yang mengatakan media bercetak masa kini tidak boleh dipercayai kebenarannya kerana dikuasai oleh pihak-pihak tertentu.

Oleh itu, mereka memilih untuk mempercayai bulat-bulat apa yang dipaparkan melalui media digital.

Apatah lagi penulis yang bergiat aktif dalam media digital tidak terlihatkan kecenderungannya ke arah yang mana satu. Dalam aspek politik, kita katakan bahawa penulis blog ini tidak menyokong kerajaan juga tidak menyokong pembangkang. Pendek kata membongkar kebenaran secara telus.

Apa yang menghairankan, kebanyakan penulis blog yang tegar memperkatakan tentang kebenaran dan ketelusan merupakan bekas wartawan dan penulis yang pernah berkhidmat di dalam media arus perdana (bercetak) suatu ketika dahulu.

Adakah mereka ini konspirasi raksasa bekas-bekas warga Balai berita (memetik kata-kata A. Kadir Jasin semasa memberi komen di blog Ahmadtalib)

Di sini, semacam ada satu keadaan ‘melepas geram’ oleh mereka ini kerana dahulunya terpaksa mengikut telunjuk ‘raksasa’ tertentu dalam menyebar maklumat yang benar.

Perkembangan media bercetak yang diragui ketelusannya dalam menyampaikan maklumat semakin terhakis dengan kewujudan segerombolan besar media digital yang boleh dicapai oleh sesiapa sahaja.

Media digital dikatakan lebih berkuasa. Lihat sahaja apa yang berlaku pada pilihanraya ke-12 baru-baru ini. Lihat sahaja pengikut dan kumpulan yang terlibat dengan dunia digital (terutama blog) yang semakin membesar koloninya sehingga kini.

Fungsi komunikasi melalui blog dikatakan lebih efektif dan mesra pengguna melayakkan blog mendapat tempat di hati pengguna untuk menyuarakan apa sahaja.

Sudah tentulah hal ini menggerunkan pihak kerajaan yang memandang media digital sebagai musuh utama mereka.

Teman sekerja masih mencari blog pro kerajaan!

Jika sebelum ini satu pihak berjaya menguasai media cetak dan eletronik dalam memberi maklumat kepada masyarakat, mengapa tidak kali ini? Dengan membina blog-blog yang mencantas segala kata-kata blogger yang dikatakan memfitnah mereka. Buktikan dan perangi blogger ini dengan kaedah yang sama iaitu blog. Bukan susah kan?

Memusuhi media digital terutama blog memberi erti memusuhi kemajuan sains dan teknologi yang suatu waktu dibawa masuk dan diuar-uarkan oleh pihak yang sama. Memerangi dunia siber beerti menidakkan kebenaran.

Adakah jerat memakan tuan?

Namun, harus diingat tidak kira media bercetak, eletronik atau media digital, masih ada kepalsuan yang akan menipu mata dan hati masyarakat. Berfikir secara baik dan menyelidik secara telus. Itu lebih baik. Jika tahu, terpulang sama ada mahu menguar-uarkannya kepada umum atau simpan sahaja di dalam diari bertulis (bukan digital).

Teman sekerja masih mencari blog pro kerajaan!

Mungkin ada selepas ini selepas kerajaan ditadbir oleh pucuk pimpinan yang baru.

Dan blog cacamerba seperti blog saya ini dan jutaan blog lain diluar sana yang bersifat rempah ratus merupakan satu lagi cabang atau jenis blog yang tidak perlu digeruni.

Dan buat Mardhiah, ini sebenarnya yang saya jangkakan dari program Astaka Minda, Penulis dan Blog -Trend masa kini yang diadakan di DBP baru-baru ini. Mungkin saya silap tafsir, tetapi bukankah lebih baik memperkatakan tentang blog secara keseluruhan dan bukan satu isu yang kecil sahaja, apatah lagi isu blog sangat menjerut jiwa ramai pihak sekarang ni.

Mungkin juga selepas ini DBP mencari peluang dan masa yang sesuai menganjurkan hal yang sama dalam konteks yang lebih besar, panel yang pelbagai larat belakang dan masa yang panjang serta promosi yang lebih baik agar pihak yang terkeliru dalam penjelasan tentang era digital ini dapat maklumat yang menyeluruh.

Advertisements