dsc_0291.jpg

Majlis Diskusi ‘Penulis dan Blog: Trend Masa Kini’

ASTAKA MINDA
Siri Aktiviti Gerakan Membaca DBP

Sabtu, 22 Mac 2008
9.00 pagi
Dewan Seminar, Aras 2
Menara Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur


Penulis dan Blog: Trend Masa Kini

Pengerusi: Puan Rohani Rustam
Mantan Pengarah Penerbitan DBP

Panel:
Nisah Haron
http://annyss.blogspot.com
JiwaRasa
http://jiwarasa.blogspot.com

Sabtu lepas, saya mengambil kesempatan menghadiri diskusi ini, yang saya rasa sangat menarik, kena dengan situasi semasa dan akan meriah dengan kehadiran para blogger dari seluruh Malaysia.
Namun, di sudut hati saya rasa sesuatu -mungkinkah majlis ini akan mendapat sambutan? Hal ini terlintas berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas saya yang memerhati majlis-majlis diskusi sebegini kurang mendapat sambutan walaupun topik yang dibincangkan sangat bagus dan merupakan isu yang hangat diperkatakan.
Dan telahan saya benar. Majlis diskusi ini tidak meriah. Tidak ramai yang hadir. Untung pengerusi majlis, Encik Shamsudin Othman membawa pelajar-pelajarnya dari UPM. Jika tidak pasti kekosongan dewan jelas terlihat.
dsc_0301.jpg Aspek promosi masih hambar. Seperti sebelum-sebelum ini. Tidak tahu mengapa sedemikian rupa. Tidak banyak yang boleh saya katakan tentang diskusi ini. Mungkin jangkaan saya terlalu tinggi. Ingin mendengar hal-hal yang besar seperti pengaruh blog terhadap masyarakat berbilang kaum, umur dan latar belakang pendidikan.
Mungkin juga saya telah setkan di minda yang saya mahu mendengar bagaimana kemunculan blog yang semakin pantas bergerak ini boleh menjatuhbangunkan sesuatu dasar, kerajaan, orang perseorangan dan juga persepsi manusia tantang sesuatu.
Saya tidak harus menjangkakan yang besar-besar.
Encik Jiwarasa atau lebih dikenali sebagai Yasser Arafat [diulang sebut oleh saudara pengerusi agak banyak kali], membincangkan pengalaman beliau sendiri tentang dunia blog yang menjadi trend masakini. Bercerita tentang blog beliau sendiri, buku-buku, ulasan dan sebagainya. Bahan yang dimuatkan dalam kertas pembentangannya agak baik terutama tentang jenis-jenis blog dan statistik terkini dunia blog di seluruh dunia.
Pn. Nisah juga secara kesimpulan, saya katakan berbicara soal blog yang berkaitan dengan buku. Selain mencabar perempuan-perempuan yang berblog supaya mengulas buku yang bukan bertema cinta semata.
Bicara pasal blog dan trend terkini, mungkin juga yang berkaitan dengan politik semasa di mana dikatakan bahawa blog menjadi medium terpantas mengkhabarkan kepada masyarakat apa yang berlaku semasa pilihanraya baru-baru ini. Bagaimana seorang blogger yang memperkata tentang politik secara benar akhirnya diangkat menjadi ahli parlimen.
Saya tidak salahkan ahli panel kerana tidak memperkata secara keseluruhan dunia blog di Malaysia.
Mungkin juga faktor latarbelakang mereka yang meminati buku dan terlibat secara langsung dalam dunia buku, maka persoalan blog yang dibincangkan hanya berkisar tentang buku dan ulasan serta isu memperjuang bahasa dan sastera Melayu.
Mungkin juga kedua- dua panel tersebut tinggal di luar Kuala Lumpur, maka mereka tidak berpeluang melihat rencah dunia blog yang agak aktif di sini sehingga memaksa saudara attokz, iaitu orang kuat komuniti Geng Jurnal untuk tampil memperkata tentang kegiatan perbukuan dan usaha memartabatkan bahasa Melayu di kalangan blogger telah bermula sejak beberapa tahun yang lepas.
Dan diskusi berakhir dengan tanggapan saya yang agak sama dengan saudara jimadi. Mungkin juga selepas ini DBP harus menentukan panel yang pelbagai latarbelakang untuk isu yang ingin dibentangkan.