ila-181.jpg

Semalam mereka bergaduh. Mereka saling tolak menolak. Kawan-kawan cuba meleraikan. Suara saling bertikaman. Saya hanya memerhati dari atas. Tingkat 3.

Sebelum semalam mereka kawan baik. Selalu berkumpul, minum-minum sampai lewat pagi. Suara mereka seia. Gelak mereka panjang-panjang dan lebar-lebar. Mereka cakap apa sahaja.

Sebelum semalam mereka saling bermain dam. Teh ais kadang bertukar mulut. Asap rokok yang berkepul membentuk kepulan yang bercampur baur sehingga sebati antara duanya.

Sebelum semalam mereka berdua dan juga kawan-kawan lain memandang saya. Dari atas ke bawah. Dari bawah ke atas. Mereka senyum. Saya hanya memandang dengan ekor mata. sesekali menjeling. Benci.

Mereka berdehem. Kadang menyampuk ketika saya berbual menggunakan telefon bimbit. Saya benci. tutup telefon dan melangkah dengan laju. Mereka ketawa.

Sebelum semalam juga saya lihat mereka sibuk memasang bendera. Seorang berwarna hijau. Seorang berwarna biru. Mereka tidak kisah. Pasang bendera banyak-banyak. Mereka dapat duit upah. Jika bukan duit pun, mereka akan dibelanja minum. itu sudah memadai bagi mereka yang memang suka melepak di kedai mamak tingkat bawah.

Semalam, saya perhatikan mereka lagi.

Mereka saling tolak menolak. Kawan-kawan cuba meleraikan. Suara saling bertikaman. Saya hanya memerhati dari atas. Tingkat 3. [Alamak…stail sinaganaga pulak]

Mereka gaduh. Tentang hijau dan biru, tentang tok nenek. tentang apa-apa yang saya sendiri tak faham.

Kini seorang di meja hadapan. seorang lagi di meja belakang. Ada dua dam. Ada dua teh ais. Ada dua kepulan asap. Yang satunya bergerak ke arah timur dan satunya lagi ke arah barat. Tawa mereka tidak sama. Suara tidak sekata.

Hari ini saya gembira. Malam tadi mereka tidak bising-bising seperti selalunya. Tidur juga tidak diganggu oleh gelak tawa dan lagu-lagu jiwang yang mereka nyanyikan yang boleh didengar dengan jelas sampai ke tingkat 3.

Saya suka mereka gaduh. Baru saya percaya, politik boleh membunuh kawan, membunuh rasa, membunuh sayang. Jika Begitu saya suka politik!

*Saya pernah cerita ini dan ini tentang mereka.

Advertisements