6.jpg

Saya tidak akan membicarakan situasi politik semasa ataupun dunia politik yang sebenar. Ini bukan bidang saya malah saya tidak begitu berminat mengikuti hal-hal yang berlaku di dalamnya.

Politik penting. Itu saya akui. Politik bukan sahaja ada dalam sistem pentadbiran kerajaan sesebuah negara. Ia juga wujud dalam setiap inci kehidupan manusia.

Percayalah, dalam sistem organisasi pekerjaan, politik wujud. Katanya, orang itu main politik kotor sehingga dapat menjawat jawatan yang baik walaupun tidak berkelayakan.

Di sekolah atau institusi pengajian juga politik wujud. Situasinya pelbagai. Antara pensyarah dengan pensyarah . Pensyarah dengan pelajar. Juga pelajar dengan pelajar.

Dalam institusi kekeluargaan tidak terkecuali, politik lahir dari sifat kepimpinan ketua keluarga. Juga lahir dari pengaruh luar terhadap keluarga tersebut.

Konsep politik dikaitkan dengan siapa hebat dia menang. Tidak kiralah yang menang itu berkelayakan atau tidak. Yang penting orang yang menang dalam politik harus pandai memanipulasi orang lain dan situasi semasa untuk kepentingan diri sendiri.

Politik yang dikatakan bersih pula mengambil situasi menang-menang [win-win]. Ini bermakna kedua-dua pihak memperoleh keuntungan dari sesuatu situasi. Tiada siapa yang tertindas dan tiada siapa yang menjadi mangsa.

Bagaimana pula percaturan politik antara manusia dengan penciptanya?

Percayalah, politik merupakan satu aktiviti sosial. Ia harus ditangani dengan baik agar sistem kemasyarakatan tidak terkusut.

Antara kita dengan Maha Pencipta, ada satu percaturan politik yang harus dititikberatkan. Ia menuntut bukan sahaja situasi menang-menang, iaitu “buat baik dibalas baik” semata. Ia lebih dari itu. Keikhlasan dan tanggungjawab hakiki yang perlu sentiasa dipenuhi dan diisi dengan hal-hal yang baik.

* Bosan juga apabila akhbar dan media perdana berbicara soal politik. Begitu juga dengan dunia weblog. Sana sini bercerita hal politik. Adakah mereka tahu definisi sebenar dan teori serta falsafah politik dalam masyarakat?