Multaqa Alumni Sedunia Al-Azhar telah berakhir. Hal itu tidak akan diulas dengan banyak di sini. TV3 dan Bernama telah melakukan sebaiknya tugas melaporkan perjalanan persidangan selama ia berlangsung.

KLCC (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur) juga memainkan peranan yang baik sebagai sebuah tempat persidangan yang lengkap dan baik dengan kemudahan yang bertaraf dunia.

Pintu masuk utama KLCC mempunyai fungsi sensor. Mudah kan? Penyambut tetamu tidak perlu membuka pintu untuk membolehkan tetamu atau pengunjung memasukinya. Hanya berdiri depan pintu, pintu akan terbuka dengan sendirinya. Teruja kan?

Tetapi entah mengapa, hari ahad yang lepas seorang perempuan yang comel telah menjadi mangsa. Dia terlanggar cermin pintu itu. Bahagian bucu. Sehingga dia jatuh terduduk dan pitam.

Selain pintu utama yang mempunyai fungsi ‘sensor’ atau penderia itu,  KLCC juga dilengkapi dengan tandas yang cantik, bersih dan berteknologi agak tinggi (pili paip dan mangkuk tandas).

Pili paip di sinki mempunyai fungsi sensor. Tak perlu pulas atau tekan. Hanya letak tapak tangan di bawah pili paip, dan air akan keluar. Teruja kan?

Mangkuk tandas sensor pula memang sudah banyak di gunakan di hotel-hotel besar di Kuala Lumpur. Pengepam tandas akan mengepam tandas sebaik sahaja kita ‘melepaskan hajat’. Tidak tahulah bagaimana cara sensor bertindak. Mungkin berdasarkan objek yang dibuang atau sensor berfungsi sebaik sahaja kita bangun dari mangkuk tandas itu.

Yang tidak menariknya, paip untuk mencuci hadas atau beristinjak, tidak disediakan di bahagian sisi seperti biasa-biasa. Paip pencuci itu ada  di dalam mangkuk tandas. Maknanya, apabila kepala paip dipulas, air akan memancut dari dalam mangkuk tersebut dan terus mencuci ‘anu’ kita.

Hal ini amat mendukacitakan wanita yang sedang dalam keadaan ‘merah’ (datang haid). Bagaimana caranya untuk mencuci tuala wanita?

Makcik-makcik juga selalu merungut tentang tandas moden yang digunakan di hotel-hotel terkemuka ini. Pernah sekali, di Hotel Grand Season,  seorang makcik melatah sambil melompat di dalam tandas apabila air dari pili paip di dalam mangkuk tandas memancut dengan laju sehingga membasahkan sebahagian pakaiannya dan membasahkan lantai di luar tandas kecil itu. Lucu dan kasihan.

Jika mengikut hasutan prejudis dan pemikiran yang sempit, saya selalu kata bahawa ini juga salah satu agenda Barat dalam menyusahkan atau menyesatkan umat Islam.

Kerana apa?

Kerana dalam Islam tandas bukanlah tempat yang baik yang memerlukan kita duduk lama-lama di dalamnya. Islam juga mengasingkan tempat mandi dan tempat membuang air. Mencuci dengan sempurna selepas membuang air juga dituntut dalam Islam.

Namun, Apa yang berlaku, teknologi moden yang kebanyakannya diperkenalkan oleh barat menunjukkan ciri-ciri yang bertentangan dengan Islam.

Mungkin ini adalah contoh teknologi-teknologi yang perlu di saring oleh masyarakat Islam. Bukankah Malaysia negara Islam? Bukankah ini negara kita, jadi kita berhak menentukan spesifikasi apakah yang perlu di bawa oleh hotel-hotel begini untuk kegunaan masyarakat yang datang ke negara ini atau masyarakat tempatan sendiri. Kita berhak sebenarnya.

Multaqa berakhir dengan baik. Tiada komen dari delegasi luar tentang kemudahan dan prasarana yang terdapat di KLCC.

Cuma berdasarkan borang soal selidik, ketidakpuasan hati hanya berkenaan dengan kertas kerja, pembentang, penterjemahan dan juga pengurusan masa yang agak kelam kabut. Itu kelemahan yang perlu diperbetulkan oleh penganjur sendiri iaitu kerajaan Malaysia dan agensi di bawahnya yang terlibat.

Hari itu, Ahad, 17 Februari, KLCC gempar dengan kemalangan yang berlaku di pintu utama KLCC yang mempunyai fungsi sensor.

Seorang perempuan comel yang didakwa petugas Multaqa Alumni Sedunia Al-Azhar telah cedera di bahagian dahi kerana melanggar pintu utama yang mempunyai fungsi sensor.

Kejadian di dakwa sebagai suatu ketidaksengajaan atau kemalangan, dan bukannya kesilapan teknologi sensor itu.

Mangsa telah dibawa ke bilik rawatan dan menerima beberapa biji panadol untuk melegakan rasa pening dan pitamnya. Mangsa juga telah di bawa ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan lanjut.