image018.jpg

Apabila pemandu kereta Wira di belakang kamu memotong dan terus mengambil tempat letak kereta yang telah kamu sasarkan untuk meletak kereta, maka kamu berhak marah.

Kamu katakan dia pengkhianat. Atau lebih baik jeritkan sahaja ‘bangsat’ kepada golongan yang begini. Walaupun dalam hati.

Kamu tanya kepada hati. Atau lebih tepat kepada Tuhan, “kenapa ada orang yang berperangai begini“.

KOMA

Apabila ada seseorang yang memalukan kamu, dengan rasa marah, kamu melabel dia sebagai pengkhianat. Dia memang pengkhianat walaupun dia adik kamu sendiri.

Kamu marah dia. Mungkin juga kamu boleh memberi tamparan di wajahnya. Atau menghalau dia dari pandangan matamu. Ataupun meluputkan dia dari hidupmu.

Kamu kata, “Kenapa dia sanggup buat begini sedangkan dia juga anak bapa dan ibu kamu”. Hey, darah kamu sama!

Kamu masih tertanya, mengapa kamu temui pengkhianat itu, mengapa kamu rasa dianiaya sedangkan dalam doa kepada Tuhan yang Satu, kamu selalu meminta :

“Ya Allah, jadikanlah aku orang yang takut kepadaMu, sehingga seolah-olah aku melihat Engkau. Dan berilah aku kebahagiaan dengan takwaku kepadaMu, jaanganlah engkau jadikan aku sebagai orang yang tertolak disebabkan maksiatku kepadaMu, jadikanlah aku rela dengan segala ketentuan-ketentuanMu, berkatilah apa yang telah engkau berikan kepadaku, bantulah aku daripada orang-orang yang menganiayaiku….”

Tiba-tiba, bisikan halus itu datang lagi. Datang seperti biasa, ketika kamu rasa kamu tidak harus berhadapan dengan segala musibah yang pelbagai.

Bisik-bisik halus itu berkata;

“Tuhan sengaja mencipta musibah buatmu, agar kamu dapat memperkuat imanmu dan peribadimu, Tuhan sengaja memberi sedikit kesedihan dan kemarahan buatmu sedangkan kamu sendiri melakukan hal yang sama kepada Tuhanmu. Tuhan sedih dan marah kepada kamu atas dosa-dosa dan kelekaan yang kamu lakukan kepadaNya. Dia, Tuhan yang maha Pengasih hanya beri sedikit sedih dan sedikit rasa marah dihatimu.”

“dan Tuhan kamu tidak pernah bertanya mengapa kamu menjadi pengkhianat pada diri dan agamamu sendiri”…