Kisah ini adalah sequel daripada kisah Jika Itu Yang Tersurat.

Alam persekolahan, yang terikat dengan pakaian seragam dan buku teks yang pelbagai, ditambah lagi dengan silibus yang perlu dipatuhi serta peperiksaan yang mencengkam jiwa.

Dan kini itu semua tiada. Melangkah ke suatu tempat yang asing menggerunkan jiwa kecil gadis. Tawaran melanjutkan pelajaran di institusi itu menumpahkan air matanya, air mata keluarganya juga.

Hari itu, gadis menerobos sempadan dunianya. Rumah kecil itu ditinggalkan. Dan memasuki dunia yang semakin luas.

Gadis termangu memerhati ibu dan bapanya yang semakin jauh berada di dalam perut kereta. Dan kenderaan itu semakin jauh dan kelam pada pandangan yang dipenuhi air yang jernih. Kolam mata tidak bergerak. Takut airnya tertumpah.

KOMA

Seorang perempuan sedang muram bersandar di tepi tiang. Dia adalah gadis itu. Gadis yang baru pertama kali tiba di Kuala Lumpur. Kota yang penuh dengan keindahan, kesibukan dan segala macam ke…an lagi.

Gadis itu tidak berteman. Beg-beg besarnya masih berada di hujung kaki. Dan bantal berbentuk beruang itu juga masih enak melentok dalam pelukan.

KOMA

Minggu pertama berada di kalangan bijak pandai membuatkan gadis sedikit gugup. Proses pendaftaran, suaikenal dengan pelajar senior serta sesi pengenalan kepada subjek yang bakal dikorek isi ilmunya, berakhir dengan baik.

Banyak perkara baru yang ditemui si gadis.

Orang KL makan nasi lemak tengah malam, sedangkan di tempatnya, sebuah kampung terpencil, nasi lemak hanya wujud di pagi hari. Dinikmati bersama kokokan ayam jantan seiring terbitnya sang suria.

Malam adalah waktu untuk berehat bagi manusia sepertinya, seorang gadis dari kampung yang memperuntukkan malam untuk bersama keluarga, bergurau senda dengan adik kakak. Dan malam merupakan masa yang bermakna bagi si gadis menganyam mimpi indah, memuntahkan impian dan harapan dalam angan-angan ketika mahu melelapkan mata.

Malam itu, dalam kesibukan kota, gadis dibawa mengenal manusia. Dan gadis terpana. Mengelilingi KL seperti mengelilingi dunia. Segala macam perkara ditemui.

KOMA

Dia hanyalah gadis kampung. Yang selalu ditegah berkelah, mandi manda diluar garis sempadan rumahnya. Juga ditegah ke kota kecil berdekatan kampungnya. Apatah lagi berkhemah atau berkeliaran dipusat membeli belah bagi menghayati secebis kehidupan remaja.

Dia hanya gadis. Suci. Beerti.

KOMA

Kekangan abah ada benarnya. Terhasil gadis sebagai perempuan yang ada nilainya.

Kehadirannya di kota besar itu, menuntut ilmu, mencambah suatu perasaan yang tidak ternilai. Alhamdulillah, berkat didikan ayah bonda, gadis sentiasa tahu siapa dirinya, peranannya dan tahu dengan akal yang waras ke mana kakinya melangkah, ke mana bicaranya tertumpah, ke mana pandangannya menerjah.

Gadis juga tahu dirinya yang kecil mampu dibilas oleh ombak debu sang kota yang tidak mengenal siapa. Gadis tahu itu. Kerana itu, semasa sang jejaka mempelawanya keluar bersiar, dia menolak. Sangat menolak. Dan jejaka semakin terpana.

KOMA

Semester pertama berlalu dengan baik. Gadis pulang bercuti. Rangkulan bonda menumpah sekolam air suci.  Cerita itu ini mengundang reaksi. Dan cerita itu menjadi lipurlara si cilik yang diam-diam kagum dengan kakaknya yang berjaya menerobosi dunia mereka yang tersendiri.

Wajah dan jiwa lembut gadis menjadi cahaya yang menerangi hati bondanya. Si ayah hanya tersenyum. Ternyata gadis, anak yang boleh dipercayai. Anak yang bakal memimpin mereka ke syurga. Menemani ruang gelap alam mereka yang lain dengan keindahan peribadinya. InsyaAllah. Itu doa si ayah bertalu-talu…dalam kegelapan malam agar gadis sentiasa berjalan di laluan yang sebetulnya. Agar gadis menjadi haruman syurga kepada mereka sekeluarga di dunia dan akhirat.

KOMA

Semester baru akan bermula. Gadis berdiri di sisi keluarga dengan yakin. Tiada lagi air mata. Gadis meneruskan langkah dengan yakin. Tempat itu akan menjadi gedung kepadanya menambat segala ilmu untuk dicerna dalam jiwa dan disebarkan ke pelusuk benua. Suatu hari kelak. Itu janjinya.

Akan bersambung…