Bila, aku sudah tiada
Simpan semua lagu ku
Jangan di tangis selalu

Mungkin, itu sementara
Bila jumpa pengganti ku
jangan di lupakan aku

Pagi itu indah seperti biasa
Tidur yang lena terhenti di sana
Layap kuyu masih tak terdaya
Bukalah tingkap mu
Curahkan cahaya…

Siapa yang sangka
Bila tiba masa kita
Untuk pergi selamanya

Takkan terduga
Jika saat ni
Tuhan tentukan
Aku lah orangnya

Gelak tawa tangisan yang hiba
Kenangan kita masa di dunia
Alangkah indahnya jika
Kita mampu hidup selamanya…

Bila Aku Sudah Tiada. Mati. Meninggal. Passed Away. Menemui Tuhan. Rest in Peace.

Mungkin ada perkataan lain yang boleh disenaraikan, yang mendukung konsep ‘mati’.

Sejak akhir-akhir ini saya sering terfikir tentang mati. Tentang apa yang telah saya lakukan. Tentang hal-hal sekeliling. Tentang peranan saya. Tentang sesi soal jawab di ‘sana’. Tentang itu dan tentang ini yang kesemuanya bertitik tolak dari konsep MATI.

Selain orang sekeliling yang mengetahui tentang kematian saya, bagaimana pula dengan mereka yang tidak mengetahuinya?

Apa agaknya perasaan kamu apabila mengetahui orang yang dikutuk atau diumpat-umpat itu telah mati? Kesal? Atau memohon keampunan tuhan dengan alasan kamu tidak tahu tentang kematian orang itu?

Kerana kematian adalah permulaan sebuah pembongkaran rahsia kehidupan. Ya, selalunya orang yang telah mati akan di bongkarkan rahsia kehidupannya.

Di dunia, orang akan sibuk bercerita pasal si mati. Kisah hidupnya, asal usulnya, sumbangannya atau jika si mati seorang penjenayah, keburukannya akan menjadi perbualan.

Belasungkawa akan dititip kepada keluarga si mati. Belasungkawa juga dipaparkan di dada akhbar jika si mati merupakan ‘seseorang’ dalam masyarakatnya.

Ya, kematian akan membongkarkan rahsia kehidupanmu. di depanNYA kelak, kamu tidak boleh berahsia seperti mana kamu berahsia semasa hidupmu.

Saya melihat hal ini dengan seluasnya.

Kematian bukan sahaja dihebahkan melalui jiran tetangga dan kenalan rapat, malah surat khabar menjadi medium yang penting dalam menyebarkan berita kematian seseorang selain media eletronik seperti televisyen dan radio.

Bagaimana pula dengan weblog? Adakah ia boleh berfungsi sebagai penyampai khabar kematian? Sudah tentu boleh.

Lihat sahaja berita-berita kematian yang berlaku di dunia, akan dikhabarkan melalui blog. Malahan belasungkawa si mati yang lebih terperinci, mungkin boleh di perolehi dari blog. Terutama jika pemilik blog merupakan teman rapat si mati. Atau orang yang mengagumi si mati.
Lihat ini. Juga ini. Pengumumannya di sini. Dan di sini.

Bagaimana pula jika penulis blog sendiri yang mati? Siapa yang akan umumkan di dalam blognya yang “PENULIS BLOG INI TELAH MENGHADAP ILAHI” atau ” PENULIS BLOG INI SEDANG BEREHAT DENGAN AMAN ‘DI SANA’...”.

Adakah wujud satu domain yang bertindak sebagai pengumpul blog-blog yang pemiliknya di sahkan telah mati?

Acciaccatura pernah menulis tentang hal ini. Saya juga terfikir hal ini.

Sedang saya berehat dengan tenang [insyaAllah, aminnn] di alam barzakh [kubur], adakah pembaca blog saya tahu yang penulis blog ini telah tiada di dunia? Siapa yang akan buat pengumuman ‘mati’ untuk saya? Sedangkan saya bukan siapa-siapa. Tidak punya nama dan tidak di kenali.

0707200521301img_1821glow.jpg

Saya cuma mahu orang tahu saya sudah tiada. Tiada di dunia. Tiada entri terkini yang akan di poskan. Tidak perlu menanti pos terbaru. Tidak perlu beri komen kerana saya tidak akan dapat menjawab komen-komen tersebut. Tidak hari ini, Tidak esok, tidak akan jawab selama-lamanya.

Itupun jika blog ini tersenarai dalam bahan bacaan yang perlu kamu teliti dan hayati.

Saya masih memikirkan mahu memberi nama dan kata laluan blog ini kepada siapa, supaya dia boleh mengumumkan pemergian saya itu!

Boleh juga baca ini sebagai bahan bacaan sampingan.

Advertisements