1.jpg

Bas. Menjadi pengangkutan utama saya. Banyak manusia saya temui di situ. Banyak nilai dipelajari di situ. Banyak perkara saya hadapi di situ.

Semalam, saya biarkan bas Metro 100 berlalu. Juga bas SJ. Juga bas Selangor [yang merupakan pilihan terakhir saya]. Saya tunggu Rapid KL. Kerana tiket Rapid KL pagi tadi masih boleh digunakan sepanjang hari. Jimat. Konon.

Semalam. Rapid KL penuh. Saya naik juga. Ada pelbagai bangsa, warna kulit, agama.

Semalam, orang tua di sebelah saya memegang tiang dengan erat. Dia takut jatuh apabila bas membrek.

Semalam, wanita mengandung itu memasang kuda-kuda [kaki], dengan kejap di lantai bas. Takut terdorong ke hadapan atau belakang.

Semalam, wanita yang menggendong anak, memegang kerusi bas dengan kukuh, sambil tangan kanannya memeluk si cilik, dan kakinya kejap juga di lantai.

Semalam. Mereka duduk di kerusi tanpa memandang-mandang pada si tua, pada si ibu dan pada si cilik. Jika mereka memandang pun, hati sudah tiada. Di campak ke luar bas walaupun di dinding bas ada tertera. ..

DILARANG MEMBUANG SAMPAH KELUAR DARI KENDERAAN INI

Hati mereka bagai sampah. Tiada nilai. Dan Saya tidak punya keberanian meminta mereka memberi tempat duduk kepada yang memerlukan.

Dan saya setuju “iman tak dapat diwarisi dari seorang ibu atau ayah yang bertaqwa”. Begitu juga dengan budi pekerti yang baik. Ia bukan diwarisi tetapi harus dicari dan ditanam dalam jiwa sejak kecil hingga dewasa.

Takkanlah berbudi kepada orang yang tidak berdaya harus diajar? Harus masuk sekolah untuk belajar tentang adab dan budi? Bukankah budi dan adab itu sifat semula jadi manusia?

Nilai kejam. Jika boleh jangan benarkan ia hadir. Kejam pada diri sendiri, kawan-kawan, anak, suami, isteri, jiran, dan sesiapa sahaja. Bukankah buat baik akan dibalas dengan baik? Percayalah!