noname.jpg

“Kesilapan besar saya sejak datang ke Kuala Lumpur ialah kerana bekerja keras melaksanakan tugas sebagai Menteri Kesihatan dan Naib Presiden MCA,” kata Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, yang meletakkan jawatan sebagai anggota kabinet dan melepaskan semua jawatan parti ekoran penyebaran rakaman cakera video digital (DVD) perlakuan seksnya. (petikan daripada Berita Harian Online, 4 Januari 2008).

Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dengan tenang menghadapi situasi ini, mengaku, memohon maaf sekaligus melepaskan kesemua jawatan yang dipegangnya. Beliau yang merupakan pemimpin yang bekerja kuat, fasih menggunakan bahasa Melayu serta memberi sumbangan yang bukan sedikit dalam bidang perubatan dan kesihatan di Malaysia. Namun, hanya kerana kesilapan peribadi, beliau disingkirkan serta merta. ‘Pencerobohan peribadi’ yang dilakukan ke atas beliau dipercayai merupakan satu konspirasi menjatuhkan kerjaya politik beliau.

Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek merupakan antara pemimpin yang berkesudahan dengan tragis. Sebelum ini beberapa orang pemimpin tertinggi di Malaysia juga mengakhiri kerjaya politik dan kepimpinan mereka dengan kesudahan yang tidak manis. Skandal seks dan rasuah sering mengambil tempat sehingga seseorang pemimpin dilucutkan kepimpinannya.

Malaysia merupakan negara Islam yang menjadi contoh dan menjadi pujian negara-negara luar yang lainnya. Kes Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mungkin tidak akan menjejaskan kredibiliti Islam kerana beliau bukan beragama Islam. Namun, beliau harus sedar, sebagai seorang pemimpin di dalam sebuah negara Islam, nilai-nilai yang baik penting demi meneruskan kehidupan. Apatah lagi kepada pemimpin yang beragama Islam yang diberi kepercayaan untuk menerajui negara.

Sebelum ini, terdapat juga beberapa kes salah laku yang melibatkan pemimpin, tidak kira mereka beragama Islam atau bukan. Apabila salah laku itu berkaitan dengan skandal seks, pemimpin sering menggunakan alasan, mereka hanya manusia biasa yang mempunyai kehidupan peribadi yang tidak perlu diganggu gugat oleh mana-mana pihak.Teori sebegini yang akhirnya memakan diri para pemimpin dewasa ini.

Siapa sebenarnya pemimpin? Apa tanggungjawab mereka? Dan apa keistimewaan mereka?

Baca di SINI