Pada suatu hari Pak Berahim keluar rumah untuk mencari rezeki. Oleh kerana, jalan dilalui agak sesak hari itu, beliau mengambil keputusan menggunakan jalan pendek [short cut].

KOMA

Pagi itu, hujan turun agak renyai. Pak Berahim berasa agak pelik. Hatinya kurang sedap sejak isterinya, Mak Minah, menyalami tangan beliau dan memberi kucupan yang lama di pipi. Itu Bukan kebiasaannya. Anak-anak sedang tidur, tetapi Pak Berahim sempat mengusap kepala anak-anaknya. Terasa hati begitu berat mahu meninggalkan rumah, tapi apakan daya, dia harus keluar mencari rezeki. Itulah yang harus dia lakukan sebagaimana janjinya pada diri sendiri untuk membahagiakan keluarganya walau dengan cara apa sekalipun.

KOMA

Perjalanan di teruskan. Melalui Dewan orang ramai, hatinya semakin berdebar. Tetapi Pak Berahim mengabaikan sahaja rasa peliknya itu.

“wah..ada seminar. Pasti banyak rezeki aku hari ini. Alhamdulillah…” Bisik Pak Berahim sambil bergerak dengan lebih laju.

“Berahim..Berahim..” jerit satu suara.

Pak Berahim menoleh. Pak Jenal sedang terhegeh-hegeh mendekatinya.

“Nak pegi mana?” tanya Pak Jenal sambil tersengih.

“Pegi je la mana-mana yang boleh memberi rezeki pada aku” Jawab Pak Berahim endah tak endah. Bukannya dia tak suka bermesra-mesra dengan kawannya itu, tetapi dia tahu Pak Jenal bukanlah mahu sangat berbual dengan dia.

KOMA

Pak Jenal orang kaya. Dia ramai pekerja. Telefon bimbit keliling pinggang. Isteri dan awek apatah lagi. Kerjanya hanya menelefon orang-orangnya yang bersepah di serata kawasan ini untuk memberitahu lubuk rezeki yang dijumpainya. Padahal bukan dia jumpa pun, caranya macam ni laa, pura-pura baik dengan orang, lepas tu korek rahsia tentang kawasan mana yang orang tu nak pergi. Lepas tu, dia telefon pekerjanya dan mereka bergegas ke tempat yang dimaksudkan. Hasilnya, rezeki yang sepatutnya dikongsi, telah dibolot seorang diri oleh Pak Jenal. Itu yang orang kampung geram sangat dengan perangai keji Pak Jenal yang mementingkan diri sendiri.

KOMA

Pak Berahim masih berkira-kira sama ada mahu memberitahu atau tidak tempat tujuannya hari ini kepada Pak Jenal. Pak Berahim senyum. Senyum yang kurang 0.5 % ikhlas.

“Aku…aa..aku saje je jalan-jalan pagi ni” jawab Pak Berahim ringkas.

“ooo yer ke?..aku ingatkan kau nak pergi dewan orang ramai tu. Kat sana bahaya, golongan seperti kita akan dihalau. Silap-silap kau boleh cacat atau mati”, terang Pak Jenal tanpa diminta.

Pak Berahim hanya senyum. Kali ini tak sampai 0.1 % ikhlas. Dia tahu agenda Pak Jenal.

“Oooo…Kau nak bolot rezeki tu untuk kau, lepas tu kau kata tempat tu bahaya..Bijak betul la kau ni Jenal”..kata Pak Berahim. Tapi dalam hati.

Ooo…ye ke? Terima kasih la Jenal sebab ingatkan aku. Ok lah, aku gerak dulu. Banyak keje nak buat” jawab Pak Berahim jengkel. Kali ini bukan dalam hati. Tapi suaranya yang garau tu berkata-kata dengan tegas.

KOMA

Pak Jenal geleng kepala. Dia membuat pusingan balik. Walaupun dia tamak, namun dia tak mahu menggadaikan diri dan nyawa untuk rezeki yang itu. Dia terus bergerak sambil menoleh ke arah Pak Berahim sikit-sikit.

Pak Berahim pula, terus bergerak dengan laju. Kali ini dia nekad akan mengumpulkan makanan yang banyak untuk keluarganya.

Di dalam kepalanya terbayang muka isterinya, Mak Minah, yang berseri-seri apabila dia membawa ikan yang baik-baik dan besar-besar. Segala macam kek dan kuih. Dan pelbagai jenis makanan lain.

Anak-anaknya yang empat itu juga akan gembira sambil memeluk kakinya dan mencium pipi tuanya apabila bapanya itu membawa pelbagai jenis snek yang berwarna warni. Pelbagai rasa.

Mengingatkan hal itu, Pak Berahim semakin galak meneruskan niatnya. Kata-kata nasihat Pak Jenal diabaikan, malah terlupakan terus dari kotak ingatannya.

Dari jauh kelihatan orang begitu ramai. Ada yang sedang memasak berkawah-kawah. Mungkin nasi, lauk pauk dan sudah pasti ada kari ayam. Ya, kari ayam sangat sedap.

KOMA

Pak Berahim berhenti seketika di pinggir pagar. Dia memerhatikan ke dalam dewan. Ramai orang. Pelajar sekolah. Dan ada yang sedang mendengar dengan khusyuk sementara seorang lelaki yang separuh abad, sepertinya, membebel dengan tangannya menunjuk itu ini di papan yang bercahaya. Itu pasti teknologi baru yang ingin diuar-uarkan kepada pelajar sekolah.

Pak Berahim memerhati bahagian tengah pula. Ada sekumpulan orang muda sedang sibuk dengan kertas-kertasnya. Pak Berahim syak pasti ada seminar yang berkaitan dengan peperiksaan.

Bahagian dapur adalah bahagian yang paling menarik perhatian Pak Berahim. Dia memerhatikan beberapa lelaki dan wanita sedang sibuk memasak itu ini. Tekaknya bergerak dengan laju. Perutnya lapar tiba-tiba. Namun dia tak akan makan selagi anak bininya di rumah itu tidak makan. Pak Berahim memang terkenal dengan sifat ‘family man’ nya itu. Dia makan secara beramai-ramai dengan ahli keluarganya.

Pak Berahim sudah nekad. Dia akan gembirakan keluarganya hari ini. Dan jika boleh hari ini dia ingin menjamu jiran tetangganya juga. Dia harus segera bertindak sebelum Pak Jenal datang dengan orang-orangnya dan menyapu habis makanan di sini.

Melalui bahagian dapur tidaklah sesusah mana. Harus hati-hati dengan asap dan wap yang panas. Itu boleh membuatkan Pak Berahim noneng seketika.

Pak Berahim jadi kalut bila menghidu bau kari ayam. Itu lauk kegemarannya. Dia melilau mencari dari mana datangnya bau itu. Semasa dia leka itulah, tiba-tiba…….

bersambung…

*noneng – pening-pening lalat.

Advertisements