N : nah roti jala. saya buat sendiri.
B : wah, best ni. Kegemaran saya. Rajin ye awak buat.
N : Ala, sempat aje kalau nak.
B : saya pun nak buat la. Boleh pinjam acuan?
N : Acuan? Saya guna plastik je, tak payah acuan.
B : boleh ke?
N : Boleh. Tak salah. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

“Bila ada kemahuan di situ ada jalan”

“Where’s there a will, there’s a way”

“Hendak seribu daya, Tak hendak seribu dalih” 

Ungkapan yang sama dengan dua bahasa yang berbeza.  Kita temui kata-kata ini di mana-mana negara, bangsa, agama, budaya dengan pelbagai bahasa.

Maknanya tetap sama – Jika kamu lakukan sesuatu dengan kemahuan yang tinggi, maka di situ kamu akan temui jalan (cara) walau apa jenis cara sekalipun. Halangan yangdihadapi boleh diselesaikan dengan baik walaupun mengambil masa yang sedikit lama. Hasilnya, apa yang kita mahukan akan kita perolehi.

Perkara ini sengaja saya ungkitkan kerana mahu melepaskan geram pada adik-adik saya yang tidak ada kemahuan dan malas mencari jalan. Jika ada kemahuan pun mereka sengaja menyesatkan diri. Akibatnya saya bertungkus lumus menyelesaikan masalah mereka dengan sedikit rasa marah dan tidak ikhlas.

Saya berhak kah mempunyai perasaan sebegitu terhadap adik-adik sendiri?

Bila difikirkan memang tidak wajar. Tetapi apabila mengenangkan ‘kemahuan mereka’ yang berada pada tahap sifar, saya harus menyedarkan mereka tentang ‘kemahuan dan jalan’. Caranya dengan memberi nasihat yang mudah.

Dahulu saya juga seperti mereka, malas nak berfikir panjang dan cuba menyelesaikan masalah yang timbul. Tapi nurul banyak menyedarkan saya bahawa hidup ini bukanlah susah sangat untuk kita kendalikan. Cuma perlu banyak berfikir dan menganalisis.

Jika hendak membuat roti jala [yang jarang kita buat atau hanya sekali sekala kita buat], tak perlu mengharapkan peralatannya lengkap. Jika tiada acuan, guna sahaja plastik putih yang digunting hujungnya. Hasilnya tetap sama. Roti jala.

Itu adalah contoh  mudah yang Nurul ajarkan kepada saya. Nurul bukan lah orang kaya, tetapi dia boleh mengharungi hidupnya dengan mudah dan baik. Caranya, dengan mengamalkan “Hendak seribu daya”.

Banyak contoh lain yang boleh kita temui dalam hidup tentang pilihan, tentang kemahuan, tentang cara atau jalan penyelesaian sesuatu masalah. Cuma terpulang kepada kita untuk menggunakan cara yang bagaimana yang boleh disesuaikan dengan keadaan diri kita.

Terima kasih Nurul!