moon.jpg
TAHUN baru menyingkapkan tirainya. Lembaran baru diari harian juga telah memulakan tugasnya. Pelbagai perancangan mula disenaraikan. Ramai yang telah mula menyenaraikan segala impian, cita-cita dan perkara yang perlu dilaksanakan sepanjang tahun ini. Kebarangkalian juga ada individu yang tidak mempunyai impian atau cita-cita yang perlu dilunaskan pada tahun baru ini. Diari lama ditutup.

Kata orang lama, “tak ada yang lama, manakan ada yang baru”. Kata-kata itu sesuai direnung oleh generasi masa kini tidak kira sama ada pemimpin, rakyat dan sesiapa sahaja. Pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang tahun yang lepas dan sebelumnya menunjukkan kepada kita bahawa manusia bukanlah ciptaan yang sempurna. Manusia itu lemah. Harus belajar dan sentiasa berfikir untuk mengubah diri kepada yang lebih baik.

Perkara-perkara yang lepas bukan untuk ditangisi atau dilihat sebagai hal picisan. Juga setiap peristiwa yang menggembirakan, sebaiknya jangan tenggelam dalam tawa yang tiada batasnya. Setiap perkara yang kecil walau sekecil zarah, harus dinilai kesan dan implikasi kepada diri dan masyarakat.

Malam 31 Disember 2007 menjadi detik yang dinanti oleh ramai orang. Detik untuk mengira jarum saat ke pukul 12 tengah malam. Detik masa meninggalkan masa lampau ke suatu masa yang baru. Persoalan detik tidak akan habis selagi kita masih bernafas.

Seperti tahun ini, tahun 2007, dan tahun-tahun sebelumnya, sambutan tahun baru diadakan dengan meriah. Malam diisi dengan acara-acara yang berbentuk hiburan. Konsert di mana-mana dengan tajaan daripada pelbagai pihak.

Dan akibatnya, selepas sambutan tahun baru ini, segala macam sampah bertebaran di atas bumi. Pesta muda-mudi yang liar dan tidak terkawal juga wujud, menandakan acara hiburan sebegini mengundang kesan yang tidak baik kepada masyarakat. Hal ini telah berlaku tahun-tahun sebelumnya. Ia menjadi peristiwa ulang tayang yang memualkan. Dan pihak-pihak yang berkenaan membiarkannya berlaku lagi tahun ini.

Hal ini boleh diumpamakan seperti peribahasa lama yang berbunyi “apa tampangnya, itulah tumbuhnya”. Tampang bermaksud benih. Konsert-konsert dan hiburan yang berlebihan umpama benih yang menghasilkan pokok yang bagaimana. Adakah pokok yang akan tumbuh itu adalah pokok yang berbuah ranum? Atau sekadar bunga yang menghiasi jalanan. Mungkin juga pokok yang tumbuh itu berduri, tidak berbuah dan seterusnya tidak bermanfaat kepada sesiapa pun. Adakah konsert-konsert dan hiburan seperti ini merupakan benih yang baik?

Selain sambutan tahun baru sebenarnya banyak lagi perkara harus diberi perhatian tajam oleh setiap masyarakat terutamanya pemimpin. Antaranya aspek perpaduan, masalah sosial, pendidikan dan isu pendatang asing.

Isu perkauman yang menghiasi kamar 2007 membabitkan seorang pelajar berbangsa Cina yang sedang belajar di luar negara, mengkritik Malaysia melalui lagu kebangsaan ‘Negaraku’. Video klip yang tersebar mengandungi luahan perasaan beliau terhadap negara Malaysia. Ada kebenaran yang harus kita teliti melalui luahan rasa itu. Ada kelemahan yang perlu diperbaiki agar isu sebegini tidak akan wujud lagi.

Begitu juga perhimpunan Hindu Rights Action Force (HINDRAF) yang menggemparkan negara. Perhimpunan dan pergolakan yang wujud menyimpulkan rasa ketidakpuasan hati pihak terbabit dengan kerajaan dan perlembagaan Malaysia, meminta kita menilai semula istilah ‘masyarakat majmuk’ yang kita bangga-banggakan. Perundingan yang aman dan matang harus diwujudkan secara konsisten agar keadilan yang didambakan dapat dinikmati sebaiknya.

Perhimpunan BERSIH pula dikatakan terjadi akibat unsur ketidakadilan yang berlaku di Malaysia terutamanya berkaitan aspek kepimpinan dan demokrasi. Ketidakadilan manakah yang harus diteliti dan dikemaskini?

Berkaitan dengan aspek pendidikan, masalah sosial yang melibatkan pelajar sekolah serta keciciran dalam pelajaran merupakan isu yang sudah lapuk dan tidak harus berulang. Begitu juga juga kualiti pelajar IPTA yang dipertikaikan apabila pengangguran yang berlaku, melibatkan golongan terpelajar ini.

Namun, untuk melahirkan pelajar yang cemerlang, bukan terletak pada sistem pendidikan semata tetapi melibatkan hal-hal yang lain seperti sistem kekeluargaan, kemasyarakatan, kepimpinan negara dan polisi yang digunakan di negara kita. Benarkah sistem pendidikan Malaysia kolot? Terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga mengenepikan aspek intelektual, perwatakan, budaya dan nilai-nilai murni dalam diri pelajar?

Kebanjiran pendatang asing dalam memenuhi keperluan negara melaksanakan dasar-dasar pembangunan sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat tempatan. Kebanjiran ini bukan sahaja dipertikaikan kerana mengakibatkan pengangguran di kalangan rakyat tempatan malah melibatkan aspek-aspek jenayah yang mereka lakukan di sini. Antara keperluan dan pembaziran, pihak yang berkenaan harus meneliti semula penggunaan tenaga buruh asing di negara kita.

Setiap apa juga perkara yang berlaku di Malaysia memberi kesan kepada pemimpin dan rakyatnya. Kerjasama yang baik antara pemimpin dan rakyat akan menghasilkan satu jalinan yang mantap “bagaikan aur dengan tebing”. Setiap perkara yang berlaku juga memberi pengajaran kepada manusia. Ini jelas dinyatakan melalui surah Al-Imran, ayat 13 yang bermaksud:

“….dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dengan memberikan pertolongan-Nya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).”

Tahun 2008 baru menjengah. Bagi mana-mana individu, menyenaraikan perkara-perkara yang perlu dilaksanakan sepanjang tahun bukanlah satu tindakan yang salah atau sia-sia. Senarai kerja atau impian ini boleh dijadikan landasan untuk kita bergerak mencapai apa yang dicita-citakan. Bukankah hidup hanya sekali? Isikan kehidupan ini dengan perkara yang bermanfaat kerana dihujung perjalanan nanti ada sesuatu yang dijanjikan oleh Allah s.w.t untuk orang-orang yang beriman dan sentiasa berfikir. Firman Allah s.w.t dalam surah at-Tiin, ayat 4 hingga 6 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.”

Bagi pemimpin pula, bertindak sebagai ketua yang baik dan mulia akan menghasilkan negara yang makmur dan sentiasa dilindungi oleh Allah s.w.t. Malaysia merupakan salah sebuah negara Islam yang maju dan dicontohi oleh negara luar. Isu-isu yang berulang kali berlaku boleh dielakkan dengan kerjasama yang baik antara pemimpin dan rakyat. Kemakmuran sesebuah negara tidak terpamer melalui sambutan tahun barunya. Kejayaan sesebuah negara juga tidak bergantung kepada tingginya bangunan yang dibina. Budaya dan nilai-nilai yang berteraskan agama menjanjikan kemakmuran dan kejayaan yang seimbang sampai bila-bila.

… Aku cari bukan harta bertimbun-timbun
untuk hidup kaya
Aku cari bukan wang berjuta-juta
untuk hidup bergaya
Aku cari bukan kawan-kawan
untuk hidup berfoya-foya

Aku cari
Mana dia Al-Ghazali
Aku cari mana dia Al-Shafie
Kita bongkar rahsia sunnah nabi

Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi

Dialah Teman
Dialah Wali
Dia mencukupi
Aku hidup bererti
Menikmati Damai Abadi…

Puisi oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
(Malam Puisi Utusan ke-10)