100_2127-copy.jpg

Suatu waktu dahulu, kita dihadapkan dengan kes penderaan anak-anak kecil semuda 6 tahun ke bawah. Penderaan bukan sahaja dilakukan oleh ibu bapa sendiri malah juga pembantu rumah.

Penderaan yang dilakukan tidak mengenal erti kasihan kepada si cilik yang tidak mengerti apa-apa. Mereka dipukul sehingga lebam, luka parah, dibakar dengan api, ditekap dengan seterika, dicucuh puntung rokok, dan banyak lagi sehingga menyebabkan kecederaan kekal, kecacatan kekal dan akhirnya kematian.

Bukan sedikit kes yang dilaporkan. Pada waktu itu, ramai pihak yang marah. Maka, ramai juga pihak-pihak yang berkenaan melancarkan program itu ini, membuat kempen itu ini.

Saya ingatkan kes ini sudah berhenti atau sekurang-kurangnya tidak akan ada lagi berita tentang penderaan kanak-kanak di dada akhbar. Saya silap!

Shahrizat berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 1,999 kes penderaan dilaporkan pada 2006 berbanding 1,242 kes pada 2002 yang merangkumi penderaan fizikal, seksual, emosi, sumbang mahram dan buang bayi.

“Kes penganiayaan kanak-kanak turut meningkat daripada 123 kes pada 2002 kepada 141 kes tahun lalu manakala kanak-kanak hilang mencatatkan angka membimbangkan, iaitu 6,533 dilaporkan sejak Januari 2004 sehingga Ogos tahun ini.

Aduhai, ada yang tak kena dengan jiwa mereka yang diamanahkan memelihara kanak-kanak ini.

Baca ini : Ramuan maut untuk anak 

PETALING JAYA: Menakutkan. Seorang pembantu rumah warga Indonesia dikatakan dengan sengaja mencampurkan serbuk simen, pekatan mandian antiseptik dan cecair pencuci ke dalam susu sebelum memberi minum kepada dua anak majikannya…..[Harian Metro, 3 Januari 2008]

Ini juga : Bayi 18 bulan patah tangan 

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Polis kini sedang menunggu keputusan laporan perubatan Hospital Serdang (HS) berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan yang patah tangan kanannya dipercayai akibat didera, semalam….[Utusan Malaysia, 3 Januari 2008]

Dan, cari sahaja di enjin carian google, enjin carian utusan Malaysia dan lain-lain. Pelbagai cerita mengenainya diperkatakan. Hukuman jenis bagaimanakah yang sewajarnya diberi kepada si pendera?