Semalam saya bangun awal. Selesai solat, saya mengemas apa yang patut. Ita dan Yaya belum bangun. Mereka Adik-adik perempuan saya yang harus dibebat dengan rotan. Biar mengenal erti keberkatan dan rahmat di waktu pagi.

Berbalik kepada kisah tadi, saya mengemas ruang tamu. Mata melirik pada kediaman si dia yang kelihatan tenang. Mungkin dia juga sedang tidur. Dia belum makan sejak semalam. Sebentar lagi saya akan bawakan sarapan untuk dia.

Saya mula menyapu. Habuk dibersihkan dengan hati-hati. Saya menarik sofa dan membetulkan langsir. Semasa saya menyapu tepi sofa, barulah saya perasan dia terbaring di situ.

Lutut saya menggeletar. Tubuh sejuk. Peluh dingin mula merenik. Mata terpaku pada tubuhnya yang terbaring kaku di situ.

Kepala mula pening. Perbagai persoalan wujud. Bagaimana dia boleh ada di situ. Sejak bila? Kenapa jadi begini? Sebab tidak makan kah? Atau dia sakit kah?

Saya berlari menuju ke bilik air. Mengambil air penuh satu tangan. Berlari semula ke ruang tamu. Saya cuba titiskan air dengan berhati-hti ke wajahnya, badannya…tapi sudah terlambat. Dia telah tiada.

Dia telah pergi meninggalkan saya dalam keadaan terseksa. tanpa ada sesiapa di sisinya. Saya menangis menyesal. Mungkin ada sesuatu yang ingin disampaikannya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Tapi apa?

Saya tersedu seketika di sofa. Saya harus berfikir secara tenang. Apa yang perlu dilakukan? Hal ini tidak boleh dihebahkan. Jika polis tahu sudah tentu saya akan di soal siasat. Jika wartawan tahu sudah pasti saya terpaksa menjawab soalan bodoh mereka yang berbunyi “ada tak perkara-perkara pelik yang berlaku sebelum kematiannya?” huh…saya benci soalan bodoh itu!

Saya perlu selesaikan perkara ini secepat mungkin. Saya kejutkan Ita dan Yaya. Mereka masih menggeliat, saya luku kepala mereka supaya bergerak pantas. Saya ceritakan apa yang berlaku. Mereka ternganga.

Saya panggil jejaka yang tidak tidur sekatil dengan saya itu. saya minta jejaka itu membungkus mayat itu serapinya. Jejaka yang tidak tidur sekatil dengan saya sempat bergurau, “Kita mesti buat autopsi, kenalpasti siapakah dalang di sebalik kejadian ini”. Saya merenung jejaka yang tidak tidur sekatil dengan saya itu. Saya luku kepala dia dua kali.

Akhirnya mayat itu berjaya di sempurnakan. Oleh kerana tiada tanah. Kami buang sahaja mayat itu di dalam tong sampah.

245a.jpg Saya masih tergamam dengan apa yang berlaku. Sudah dua tahun ikan puyu itu saya pelihara. Semalam dia meninggalkan saya. Saya kesepian. Saya kemuraman. Siapa yang akan menemankan saya berjaga menyiapkan artikel selepas ini?