opis.jpg

Gambar sekadar hiasan

Selamat kembali bekerja kepada semua yang bercuti sempena Hari Raya Aidil Adha yang lalu. Saya tak sempat nak ucap selamat kerana telah bercuti sejak hari rabu, manakala hari sebelumnya saya sibuk menyiapkan beberapa artikel.

Hari Raya Aidil Adha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Haji dan Raya Korban merupakan sambutan hari yang mengandungi pelbagai nilai dan peristiwa di sebaliknya. Kisah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail, sudah pasti umum mengetahui tentang peristiwa di sebalik Raya Korban ini.

Tahun ini, 2007, Raya Korban mengandungi pelbagai peristiwa. Kemalangan yang biasa berlaku pada musim perayaan turut mencatatkan beberapa kes pada Hari Raya Korban.

Banjir yang berlaku di beberapa negeri seperti Johor, Pahang dan Kelantan, sudah pasti membuatkan Raya Korban tidak seperti yang dirancangkan.

Banjir juga melanda di saat-saat sesi persekolahan anak-anak yang sudah pasti tidak sempurna tanpa peralatan, pakaian dan perkakasan persekolahan yang bakal dibuka minggu depan.

Kesemua peristiwa itu sebenarnya memberi sesuatu yang harus direnung bersama. Mungkin apa yang telah ditentukan olehNya ini mengandungi nilai pengorbanan yang bukan boleh dipandang sebelah mata sahaja.

Apa yang berlaku tidak dapat menandingi pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya. Belajar dari peristiwa itu. sudah pasti kita akan dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik, iaitu sanggup berkorban demi redha Allah s.w.t. InsyaAllah…aminnnnnn.

Tapi saya? Nilai apakah yang saya perolehi secara peribadi melalui diri sendiri?

Sanggup korbankan disiplin “tak mahu makan banyak-banyak kerana berat dah meningkat”, demi kerana sup tulang lembu yang emak buat hari raya korban yang lepas! Aduhai, mana boleh lepas, setahun sekali je!