daisies2.jpg

Hampir seminggu saya tidak bersama blog ini dan dunia pelayaran maya tanpa sempadan ini. Ini semua akibat proses perpindahan pejabat yang sudah pasti melibatkan aspek pemunggahan barang, mengemas atur barang di pejabat baru, menunggu talian internet yang kadang mengambil masa agak lama dan sebagainya.

Alhamdulillah, sebenarnya proses perpindahan itu tidak mendatangkan masalah. Cuma bantuan dari teman sepejabat dari tingkat yang berlainan sangat diharapkan. Bukan untuk menolong mengangkat barang, cukup sekadar memberi perhatian dan ucap selamat kepada bahagian atau jabatan kami yang akan berpindah. Namun itu tidak berlaku. Sedikit rasa tersingggung di hati jabatan kami sehingga melabel rakan pejabat dari jabatan lain sebagai tidak prihatin.

Alhamdulillah, talian internet dapat di sambung semalam, dan hari ini, saya mula menyusun atur jadual kerja semula. Mungkin ada rasa cemburu di hati seorang rakan yang juga baru berpindah pejabat tetapi masih tiada talian internet. Saya ucapkan takziah.

Namun, percaya atau tidak, hidup saya tidak terganggu dengan ketiadaan internet. Mungkin sedikit rasa janggal kerana rutin harian yang membaca akhbar secara online dan mencari maklumat secara tanpa sempadan dan kesahihan.

Sebenarnya aktiviti mengemaskini dan memasukkan artikel ke dalam laman web rasmi kami agak terganggu. Namun itu bukan bidang tugas saya. Saya hanya perlu menyediakan berita tempatan dan juga artikel untuk dimuatkan dalam web kami.

Tidak bersama dunia siber membuatkan ruang waktu saya agak lapang. Saya telah mula menulis cerpen dan menyiapkan artikel dengan tenang. Membaca beberapa buah buku ilmiah tentang sejarah dan kebudayaan bangsa Malaysia serta menghabiskan bacaan novel “Ayat-Ayat Cinta” karya Habiburrahman El Shirazy yang telah lama dicadangkan oleh seorang teman untuk di baca. Ulasan tentang novel itu akan saya luahkan jika ada kelapangan.

Hari ini, dunia saya kembali seperti sediakala. Datang ke pejabat lebih mudah dari sebelumnya. Hanya menggunakan bas di hadapan rumah sehingga ke depan pejabat. Tidak perlu bersesak menggunakan perkhidmatan komuter dan tidak perlu berjalan sekitar 10 minit dari KTM KL ke pejabat induk yang terletak di sebelah Masjid Negara. Itu semua tinggal sejarah.

Kehidupan yang baik seperti sekarang harus saya manfaatkan. Walaupun persekitaran pejabat baru tidak begitu tenang seperti di tempat lama, sekurang-kurangnya saya tidak perlu berasa tertekan dengan perjalanan pergi balik ke pejabat.

Pernah seorang teman bertanya, “bagaimana kehidupan di tempat baru? Pasti membosankan dan kelam kabut kan?”

Saya hanya tersenyum dan ingatan kepada kata-kata ibu menerpa dengan tenang.

“Tidak kira di mana pun kamu dicampakkan, pastikan hati kamu tidak mati. Hati yang bersih membawa kepada akal yang sihat. Jangan biar diri ditelan keadaan. Biar kita yang menguasai keadaan itu.”

Dan saya hanya diam seperti biasa. Menelan kata-kata ibu dengan hati yang hidup dan bersemangat. Diam-diam juga saya memuji kejadian ikan di laut yang masin. Walaupun hidup di air yang masin, ikan tetap tawar. Maknanya keadaan sekeliling langsung tidak mempengaruhi ikan tersebut. Kecuali jika ikan itu mati dan manusia menjadikannya ikan masin.

Ayat-ayat cinta dari ibu meniupkan hati yang baik buat saya. semoga hati ini kekal hidup dan akan berusaha menghidupkan hati-hati lain yang semakin layu dan rebah menyembah bumi.

*Saya kagum dengan penghasilan novel Ayat-Ayat Cinta Itu.

Advertisements