200px-kuliah_cinta_01.jpg ali-setan.jpg cinta_movie.jpg mukhsin.jpg orang-minyak.jpg p5rempit.jpg sembilu_ii1b.jpg sepet.jpg

REMAJA menjadi aset negara yang paling bernilai. Melalui kumpulan ini (remaja), negara terbentuk berdasarkan acuan yang telah diberi kepada mereka. Jika acuan itu berbentuk pendidikan, maka remaja yang terhasil adalah remaja yang berpendidikan. Jika acuan yang diterima remaja berkisar seputar budaya berhibur tanpa batasan, maka mereka akan terlahir sebagai remaja yang hanya memikirkan hiburan semata.

Remaja melewati batas usia 15-25 tahun merupakan kumpulan yang paling berpengaruh dan penting dalam masyarakat. Usia remaja menjadi sebuah medan pertempuran timbang menimbang sesuatu perkara yang begitu atau begini. Dalam aspek ini, mereka akan menyerap dan menerima apa juga bentuk budaya yang dihadapkan kepada mereka. Tidak hairanlah remaja menjadi golongan sasaran pelbagai pihak dari pelbagai bidang komodifikasi.

Di kala remaja sedang terhimpit dengan arus globalisasi dan mengalami krisis identiti mengenai halal-haram serta perlanggaran nilai salah-benar, maaruf-mungkar, kita sewenangnya menuding kepada pembudayaan yang dibawa oleh Barat. Kononnya, Barat bijak menusuk jarum yang halus ke dalam jiwa anak-anak remaja agar mereka terpesong dari landasan dan seterusnya lupa kepada tanggungjawab membina sahsiah dan jati diri demi meneruskan riwayat kenegaraan. Inilah yang dikatakan “kuman di seberang laut nampak, gajah di hadapan mata tidak kelihatan”. Kita nampak apa yang barat sogokkan kepada remaja kita tetapi kita tak pernah selidik apa yang kita beri kepada remaja kita. Siapa perosak yang sebenarnya?

Remaja mengenal dunia melalui persekitarannya. Apa yang diacu kepada remaja melalui aspek pendidikan, hiburan, sosial, ekonomi dan politik membentuk remaja yang sebegitu. Arus globalisasi yang telah merempuh sempadan komunikasi, autonomi ekonomi, politik dan sosial menjadikan negara kita seperti sudah tiada sempadan atau ‘pagar’ untuk menapis, apatah lagi menghalang apa-apa juga anasir negatif dari pelbagai pihak. Itu diakui dan tidak boleh dielakkan dalam usaha seiring dengan negara-negara membangun yang lain.

Apa yang membimbangkan, masyarakat setempat seolah-olah sudah buta dan tuli daripada melihat dan menilai budaya asing yang menular pantas dalam masyarakat. Mahu tidak mahu, budaya itu sudah pun berkampung dan mendarah dalam tubuh anak-anak remaja. Apa yang boleh dilakukan ialah dengan menilai semula apa yang harus ditanam dalam jiwa remaja dan bukannya melayan apa yang diminta oleh jiwa remaja.

Salah satu arus globalisasi yang popular di kalangan remaja dan masyarakat setempat ialah budaya hiburan yang pelbagai. Hiburan berbentuk visual dan audio yang terhidang begitu banyak dan pelbagai. Melalui gajet-gajet yang dihasilkan oleh teknologi, remaja boleh menikmati hiburan dalam apa jua bentuk melalui apa jua jenis media, sebesar skrin wayang gambar sehingga sekecil telefon bimbit.

Melalui televisyen yang semakin berkembang isi kandungannya, remaja dan masyarakat boleh menikmati apa jua bentuk hiburan seperti nyanyian, konsert, filem, drama, dan sebagainya. Melalui komputer atau komputer riba pula, pelbagai jenis bentuk hiburan boleh di muat turun dan dinikmati tanpa mengira masa. Manakala telefon bimbit yang dahulunya berfungsi sebagai alat perhubungan dan pengerat silaturrahim, kini telah berbagai fungsi. Bukan sahaja untuk berbual tetapi juga menghantar pesanan ringkas (SMS) dan gambar (MMS) dan akhirnya menjadi fungsi yang merosakkan apabila digunakan dengan cara yang salah atau tidak terkawal.

Selain itu, telefon bimbit juga sudah boleh memberi hiburan yang maksima dengan kemudahan radio berfrekuensi, video dan sebagainya. Internet yang menjadi kunci kepada keterbukaan dan keluasan dasar globalisasi telah memainkan peranan yang besar dalam aspek hiburan kepada remaja.

FILEM KITA WAJAH REMAJA KITA

Filem sebagai satu bentuk media eletronik yang mempunyai peranan penting dalam membentuk sosiobudaya malah turut menjadi penyumbang penting dalam pembangunan ekonomi dan politik. Remaja melihat dunia mereka dengan lebih jelas apabila hadirnya filem-filem yang berkisar seputar tema remaja.

Kebanjiran filem-filem bertema remaja amat membimbangkan apabila watak remaja yang dipaparkan tidak seimbang dari aspek fizikal dan mental. Remaja dipaparkan sebagai manusia yang bertenaga (energetik) dan berdaya saing tetapi aspek mental atau rohani pula, remaja yang dipaprkan melalui filem adalah remaja yang lemah dan mudah terpengaruh dengan budaya negatif. Malahan sering juga dipaparkan perwatakan remaja yang tersalah haluan, tidak bijak memilih atau membuat keputusan dan sering bertindak melulu seolah tidak memikirkan langsung masa hadapan.

Jika memang benar itu adalah paparan remaja Malaysia masa kini, filem seharusnya bertindak sebagai penapis atau wadah yang bertanggungjawab membetulkan apa yang silap. Lebih tepat, filem harus betindak sebagai cermin diri yang boleh memberi contoh dan pengajaran kepada masyarakat remaja. Harus diingat, apa-apa sahaja medium yang bergerak dalam masyarakat mempunya tanggungjawab sosial yang besar dalam membawa masyarakatnya ke arah yang lebih bertamadun dan bukannya menjatuhkan martabat atau merosakkan masyarakat.

Persoalan filem dan remaja telah di bentangkan dengan kritis oleh Dr Abu Hassan Hasbullah melalui makalahnya bertajuk “Filem Sebagai Lensa Identiti Budaya – Potret Remaja Dalam Filem-filem Malaysia Dari Perspektif Future Studies”, semasa Kongres Sebudaya Serumpun yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka November lepas.

Melalui makalahnya, Dr. Abu Hassan yang merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya itu, mengkritik filem-filem yang dihasilkan di Malaysia. Menurut beliau, filem-filem bertema remaja dihasilkan sejak zaman filem Adik Manja (tahun 1980), Ali Setan (1982) dan seterusnya membawa kepada filem Harry Boy (1991), Sembilu (1994) dan sehingga kini seperti Gila-Gila Pengantin Remaja (2004), Cinta Kolesterol, Main-Main Cinta, dan banyak lagi.

Sejak itu, filem-filem Malaysia mengangkat tema remaja (236 filem daripada 860 penerbitan bermula dari 1930 sehingga November 2007), melalui pemaparan remaja sebagai alam yang dipenuhi dengan percintaan, alam riang ria dan gundah gulana, menjadi manusia popular, hebat dan menguasai kekayaan ekonomi, politik dan sosial seperti menjadi penyanyi, pelakon dan usahawan sehingga boleh dikatakan sebagai dunia yang penuh dengan angan-angan dan harapan.

Dr. Abu Hassan memaparkan kajian yang dibuat oleh Pemuafakatan Gerakan Generasi Intelektual Muda Malaysia (MANGGIS), Biro Gerakan Remaja Melayu (BAGRU) dan Persatuan Pencinta Wayang Gambar Melayu (PIWAGAM), tentang filem-filem di Malaysia yang berkaitan dengan remaja.

Hasil kajian itu menunjukkan, 181 daripada 236 buah filem yang berkisar soal keremajaan adalah berbentuk hiburan kosong semata iaitu tiada nilai yang boleh diambil oleh remaja. Selain itu, kandungan potret remaja dalam 236 filem tersebut juga memaparkan kehidupan penuh populariti berkaitan pemujaan artis dan hiburan sebanyak 42%. 21% daripadanya pula memaparkan kebejatan sosial dan selebihnya mengangkat unsur jenayah, gagsterisme dan tidak peduli masyarakat.

Ini menunjukkan filem remaja di Malaysia menghidangkan sesuatu yang tidak sihat, merosak seterusnya menghancurkan jati diri remaja dengan budaya hedonis yang keterlaluan, memuja artis dan menganggap pendidikan bukan tunjang utama dalam menjalani kehidupan. Dunia remaja digambarkan secara tidak bermoral dan kosong apabila jatuh ke tangan pembuat dan penghasil filem.

Menurut Dr.Abu Hassan lagi, melalui filem-filem ini remaja seakan diberi makna sebagai sebuah kumpulan yang kehidupan sehari-harinya adalah dalam lingkungan tunamoral dan tunasosial (kebejatan masalah moral dan sosial), yang seterusnya tidak peduli terhadap kepentingan pendidikan, tanggungjawab kepada masyarakat atau tidak berperanan sebagai sektor yang mempunyai potensi dalam proses pembangunan dan peradaban bangsa.

Jika inilah senario perfileman di Malaysia untuk remaja, filem yang bagaimanakah yang mampu memancarkan senario pemikiran, budaya dan cita-cita remaja? Adakah zaman remaja adalah zaman untuk bersuka ria dan berhibur semata sebelum memasuki fasa kedewasaan? Fenomena filem sebeginikah yang wajar kita hidangkan untuk menjadi bekalan mereka memasuki alam kedewasaan dan alam pekerjaan?

Penelitian dan rombakan isi kandungan filem remaja sangat penting dilaksanakan hari ini dan pada waktu begini memandangkan situasi hari ini memberi kesan kepada remaja yang akan datang terutama untuk remaja yang kita dambakan pada tahun 2020 kelak.

Malahan perlu dilihat kembali Misi Nasional yang menekankan aspek pembangunan modal insan ‘minda kelas pertama’ dan bina upaya untuk melonjak sebagai status negara maju. Melalui Pelan Integriti Nasional pula, negara mendambakan modal insan yang menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual termasuk ilmu sains dan teknologi, keusahawanan, pembudayaan sikap progresif, pengamalan nilai etika dan juga menitik beratkan aspek moral yang tinggi.

Filem sebagai suatu medium yang berpengaruh harus lebih bersifat seperti sebuah lembaga pendidikan yang memberi tunjuk ajar atau menjadi cermin kepada remaja untuk membangunkan kebudayaan dan nilai kebangsaan. Filem-filem yang berteraskan nilai materialisme, liberalisme, hedonisme dan jugaa kapitalisme harus dihentikan dan dikaji isi kandungannya. Oleh itu, pembikin filem, mahupun penulis skrip, juga pengeluar bajet yang akhirnya menghasilkan filem harus lebih berbudaya dan berfikir secara baik dalam menghasilkan karya yang sehebat Anakku Sazali (P.Ramlee, 1956), Semerah Padi (P.Ramlee 1956) dan juga filem-filem senagkatan dengannya pada tahun 1950-an.

Potret remaja yang lumpuh dari aspek pemikiran dan tindakan yang terdapat dalam filem-filem di Malaysia tidak menyumbang kepada budaya berfikir mereka yang menontonnya. Hal ini jika tidak dikekang serta-merta akan menambahkan lagi fenomena ‘rempit’, ‘nurin’ dan fenomena-fenomena lain seperti hal-hal yang berkaitan nilai dan etika seorang manusia.

Remaja adalah stuktur masyarakat yang baru membentuk sebuah tiang seri. Tiang seri itu harus kukuh dengan nilai jatidiri yang baik. Jika tiang seri itu rapuh, maka bangunan atau rumah budaya yang ingin dihasilkan akan runtuh menyembah bumi.

Filem dan media eletronik yang lainnya sebagai salah satu wadah utama remaja mengenal diri, harus distrukturkan semula dari aspek isi kandungan, tema, penggunaan bahasa Melayu yang konsisten, adab dan nilai, budaya dan sebagainya. Filem juga harus menjadi ejen penggerak kepada pengukuhan perwatakan, emosi dan budaya remaja yang baik demi membina negara pada masa hadapan.