Hari ini merupakan hari terakhir saya menggunakan perkhidmatan komuter (KTMB). Hmmm…

Rupanya dah setahun saya menggunakan tren komuter sejak mula bekerja di sini. Dahulu, semasa di UM kenderaan utama saya ialah kereta. Menggunakan tren dan kadangkala bas merupakan suatu perkara yang menyusahkan saya ketika mula-mula bekerja di sini.

img_ktm4.jpg

Minggu depan saya akan berpindah pejabat ke Jalan Ipoh. Pengangkutan utama saya ialah bas. Tapi itu tidak bermakna saya tidak menjejak kaki langsung dalam perut tren komuter. Mungkin naik juga untuk tujuan rasmi atau peribadi sekali dua.

Sepanjang menggunakan komuter banyak betul perkara -manis-pahit-payau-masam-kelat-sendat-ketat yang saya alami. Oleh kerana ini sesi penggulungan 1 tentang ktm, maka saya akan ceritakan peristiwa itu sejauhmana yang saya ingat.

  1. Saya pernah terlajak stesen sebanyak dua kali. Pertama kali kerana saya ditimpa ilham (intuisi) untuk artikel terbaru dan yang kedua semasa saya tertidur.
  2. Saya pernah pitam a.k.a pengsan juga sebanyak dua kali dalam tren. Pertama sekali kerana saya keletihan dan tidak sihat dan kali kedua kerana keadaan dalam tren yang sesak dan panas sangat.
  3. Masyarakat Malaysia kurang beradab, tidak peka dan pentingkan diri sendiri. Hal ini boleh di lihat apabila pasangan muda mudi sewenangnya melampias keghairahan masing-masing dalam tren. Juga individu yang tidak memberi tempat duduk kepada wanita mengandung, warga tua dan warga kurang upaya. Masyarakat Malaysia juga suka menjerit jika tersepit dalam kesesakan, tidak suka berbual sesama mereka dan suka mengasingkan diri dengan mendengar muzik melalui telefon bimbit atau mp3.
  4. Sebahagian dari kesesakan yang dialami oleh tren disumbangkan oleh warga asing dari pelbagai negara.
  5. Remaja Malaysia paling tegar membuat kesalahan sosial di dalam tren termasuk bertemu janji, berpeluk, bercium, tidak peka terhadap warga tua dan ibu mengandung, membuat bising dan sebagainya.
  6. Beberapa kejadian melibatkan gangguan seksual juga pernah saya alami dan lihat.
  7. Beberapa kejadian ragut dan mencuri telefon bimbit berlaku di hadapan mata.
  8. Tren yang saya naiki juga pernah terhenti di tengah landasan kerana rosak. Kami terpaksa turun dari tren (tanpa tangga) dan menapak di atas batu yang besar sehingga kaki kejang.
  9. Tren mengumpulkan pelbagai jenis manusia, pelbagai agama, pelbagai warna kulit dan bangsa, pelbagai negara, pelbagai umur, taraf pendidikan, status, kekayaan dan sebagainya. Jadi, kita boleh lihat pelbagai pemikiran dan persepsi melalui perangai masing-masing.
  10. Tren selesa di naiki ketika bukan waktu pejabat (8 pagi dan 5 petang).

img_ktm8.jpg

 

Sebenarnya banyak lagi yang telah saya alami sepanjang menggunakan tren ini. Sebenarnya semua jenis pengangkutan mempunyai cerita [negatif dan positif] yang tersendiri. Pandai-pandai lah sesuaikan dengan diri empunya badan. Sekian, penggulungan 1 saya kali ini. Penggulungan II akan menyimpulkan perkhidmatan komuter kepada pengguna secara menyeluruh.