Sabtu dan ahad merupakan hari yang baik untuk melangsaikan kerja-kerja rumah; membeli barang dapur, membetulkan apa-apa yang rosak, mengemaskini jadual harian, merehatkan otak dan sebagainya. Itu adalah rutin warga bandar yang 5 daripada 7 hari dalam hidupnya dipersembahkan kepada kerja-kerja pejabat.

Kepada mereka yang tidak bijak membahagikan kerja pejabat atau terlalu sibuk mengalahkan pak menteri, kerja pejabat akan dibawa ke rumah. Maka, anak dan isteri/suami pun menarik muka melihat ibu/isteri/suami masih bergelumang dengan segala bagai kertas dan ber’peluk’ dengan lap top sepanjang hari minggu.

Berbalik kepada hari minggu untuk bersantai dan melunaskan segala kerja rumah yang terbengkalai, sudah pasti dua hari yang ada itu digunakan sebaiknya -menjahit butang baju yang tertanggal. Membasuh pakaian, mengemas rak pakaian atau buku, mengemas keseluruhan rumah, mencantas atau mengemas taman bunga di sekeliling rumah, membersihkan tempat membuang sampah, membeli barangan dapur, membeli belah keperluan peribadi dan sebagainya.

ITU Lumrah yang berlaku sejak dahulu, sejak Isnin-Jumaat dihabiskan dipejabat [mungkin Jumaat dan sabtu juga bagi negeri di sebelah pantai timur].

Tetapi kenapa peniaga kita tak ambil peluang mengaut keuntungan dan beribadah [melalui perniagaan] pada hari itu?

eee, saya geram, hasrat untuk membeli barangan di kedai Melayu di kampung saya [Tampin] tak kesampaian. Berderet kedai Cina…semua beroperasi dengan senyum hingga ke telinga sebab kedai Melayu semua tutup.

Peniaga Melayu harus banyak belajar. Bukan sahaja  mengaplikasi cara Nabi berniaga pada zaman dahulu malahan juga belajar cara peniaga Cina mengekalkan perniagaan mereka.