busana.jpg
PENJENAMAAN dan pemasaran merupakan dua entiti penting dalam bidang perniagaan dalam usaha memperkenalkan sesuatu produk atau perkhidmatan. Antara dua entiti itu, produk dan pengguna menjadi pertaruhan.

Selalunya, seseorang peniaga akan menetapkan produk atau perkhidmatan apakah yang dimiliki yang boleh dipasarkan. Sebelum dipasarkan, peniaga atau pengeluar juga akan mengenalpasti sasaran pengguna yang akan membeli produknya atau menggunakan perkhidmatan yang ditawarkannya. Apabila produk itu sudah dipastikan sasaran pembelinya, pengeluar akan cuba memasarkan produknya dengan pelbagai cara atau strategi. Dalam usaha memperkenalkan produk itu, pengeluar akan cuba memilih penjenamaan yang lain dari yang lain untuk menjadikan produk keluarannya unik dan mempunyai ciri-ciri tertentu.

Pasaran ekonomi sebegitu wujud di mana-mana. Produk, pengguna, jenama dan pasaran saling berkaitan antara satu sama lain bagi memastikan berjaya tidaknya sesuatu perniagaan.

Perkembangan dunia semasa melalui letusan globalisasi tanpa sempadan menjadikan dunia pasaran ekonomi menjadi lebih aktif dan pantas bergerak. Dengan globalisasi, segala kemustahilan menjadi kemungkinan. Pemasaran produk menjadi agenda yang bukan main-main. Setiap perkara diteliti dan diselidiki termasuklah gelagat pengguna, strategi pemasaran, kualiti produk dan juga penjenamaan produk yang bakal menentukan sama ada produk tersebut baik atau tidak.

Gelombang globalisasi juga menjadikan pasaran ekonomi menjadi lebih baik dari semasa ke semasa. Setiap perkara mencetuskan idea dan peluang kepada pengeluar untuk mencipta dan mengeluarkan produk atau perkhidmatan sesuai dengan permintaan setempat. Namun, terdapat juga produk yang sedia ada, dibaikpulih atau dinaiktaraf untuk tujuan komersial.

Dunia Islam semakin berkembang pesat sejajar dengan perkembangan dunia globalisasi. Islam berjalan seiring dengan perkembangan dunia kerana Islam bukanlah agama yang jumud atau ketinggalan zaman. Dikatakan pasaran yang melibatkan masyarakat Islam melebihi 2 bilion di serata dunia.

Islam melalui al-Quran dan sunnah menggariskan perkara-perkara yang dituntut oleh Allah s.w.t. Inilah yang membezakan Islam dengan agama yang lain. Oleh hal yang demikian itu, Islam amat menitikberatkan segala hal yang berkaitan dengan umatnya seperti makanan, pakaian, cara hidup, amalan seharian dan pelbagai perkara lagi. Hal-hal ini telah diterangkan secara jelas melalui ummul kitab al-Quran dan juga hadis Nabi.

Bagaimanapun, banyak perkara yang berlaku sejak akhir-akhir ini yang melibatkan keseluruhan hidup umat Islam sehingga terlihat seolah-olah Islam merupakan agama yang cacamerba. Kehadiran pelbagai produk dan perkhidmatan yang berlabel Islam banyak mengelirukan umat Islam itu sendiri dan seterusnya Islam dipandang serong oleh masyarakat bukan Islam.

Sebelum produk berjenama ‘Islam’ wujud, kita telah dihadapkan dengan segala macam penjenamaan Islam yang membawa kepada pertikaian agama dan akidah. Antara istilah yang wujud ialah “Islam Asia”, “Islam Amerika”, “Islam Nabawi”, “Islam Thawri” (revolusi), “Islam radikal dan klasik” dan sebagainya. Kewujudan istilah atau label sebegini menunjukkan pecah belah yang sangat ketara. Apa bezanya Islam yang sebenar dengan Islam yang dilabel dengan pelbagai nama sebegitu?

Kepentingan penjenamaan dan pemasaran masa kini juga menyaksikan Islam sekali lagi dijadikan sebagai simbol untuk memasarkan sesuatu perkhidmatan atau produk. Buktinya, dengan kehadiran pelbagai produk berlabel Islam seperti kereta bercirikan ‘Islam’, busana Muslim, fesyen ‘Islam’, pinjaman secara ‘Islam’ dan sebagainya. Itu belum lagi konsep halal-haram yang menjadi pegangan bagi umat Islam menjalani kehidupan sehariannya.

Penggunaan label sebegini tidak lain tidak bukan hanya mahu menarik perhatian masyarakat Islam untuk menggunakan produk atau perkhidmatan tersebut. Padahal, yang ditawarkan hanyalah kulit yang berlabel ‘Islam’, sedangkan isinya tetap sama malahan mungkin tiada nilai keislaman langsung.

Membaca rencana seorang penulis mengenai kereta bercirikan Islam yang diisytiharkan oleh syarikat automotif negara, menjadikan kita terfikir; apa lagi selepas ini yang akan diislamkan? Cukup sudah masyarakat Islam dimomokkan dengan makanan dan minuman yang kononnya berlabel halal, namun, hakikatnya tetap tertipu apabila logo halal itu hanya sekadar logo. Sedangkan isi kandungan bahan makanan tersebut tetap haram.

Rencana tersebut dengan lantang membicarakan konsep intipati dan nilai islam yang tidak harus dijadikan label untuk sesuatu penjenamaan barangan jika barangan tersebut secara jelas tidak mampu mengikat penggunanya ke arah Islam. Antara lain yang dibicarakan ialah tentang ciri keislaman yang diberikan kepada kereta tersebut seperti dilengkapi kompas sebagai penunjuk arah kiblat serta ruang penyimpanan al-Quran dan tudung. Adakah entiti kompas sebagai penunjuk arah kiblat serta ruang penyimpanan al-Quran dan tudung itu sudah cukup untuk melabel kereta tersebut sebagai Islam?

Selain kereta ‘Islam’ tersebut, terdapat juga beberapa produk lain yang turut dilabel sebagai ‘Islam’ sedangkan hakikat sebenar produk tersebut tidak melambangkan Islam dengan baik atau sempurna. Cukup sudah masyarakat Islam dimomokkan dengan makanan dan minuman yang kononnya berlabel halal, namun, hakikatnya tetap tertipu apabila logo halal itu hanya sekadar logo. Sedangkan isi kandungan bahan makanan tersebut tetap haram.

Selain itu, lihat juga betapa rakusnya pereka fesyen dan syarikat pemasaran serta orang perseorangan menggunakan fesyen berpakaian atau busana sebagai alat untuk menarik pemasaran umat Islam. Maka, mereka merekacipta pakaian yang mengikut pasaran semasa dan mengambil sedikit sahaja ciri keislaman seperti pakaian yang direka agak longgar dan labuh. Selain itu, tudung yang dikenakan juga hanya menutup sebahagian kepala dan mendedahkan leher serta dada. Fabrik yang digunakan juga agak jarang sehingga menampakkan sebahagian bentuk badan.

Inikah fesyen Islam yang ingin diperkenalkan kepada masyarakat dunia bukan Islam?
Hal ini berlaku hanya berlandaskan hujah bahawa fesyen Islam sering dilihat sebagai tidak menarik, ketinggalan dan hanya dalam satu dimensi serta pengguna Islam tidak sedar tentang kepelbagaian gaya fesyen Islam terkini di pasaran dan kebimbangan vendor fesyen Islam dalam membuat pelaburan pada aspek penjenamaan dan pemasaran.

Berkaitan dengan fesyen Islam atau busana muslim, banyak pihak telah terkeliru. Tanpa merujuk kepada al-Quran dan ulama, cara berpakaian umat Islam telah dikomersilkan dengan gambaran yang menyimpang dari syariat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Memperkenalkan produk atau perkhidmatan berlabel Islam merupakan satu tujuan yang murni dan tidak ada cacat celanya. Malah setiap manusia dituntut untuk memartabatkan Islam dan menyebarkannya sebaik mungkin. Pada zaman dahulu, Nabi Muhammad s.a.w mengembara meredah gurun untuk menyebarkan Islam, kemudian disambung oleh para sahabat sehingga meredah lautan. Kini, dengan kemudahan yang pelbagai, tugas menyebar Islam sepatutnya lebih mudah dan berjaya.

Namun, apa yang berlaku, penyebaran Islam menjadi suatu penyebaran kesesatan yang nyata. Islam yang digambarkan masa kini menjadi satu bahan untuk masyarakat bukan Islam menuding jari tentang pelbagai perkara yang negatif. Ini kerana, Islam tidak dihayati dengan baik oleh umatnya dan seterusnya Islam diperlakukan seperti agama yang ketinggalan zaman. Maka, usaha memodenkan Islam berlaku dengan jaya ditangan mereka yang tidak kenal Islam sebaiknya.

Mengaplikasikan nilai dan intipati Islam dalam aspek penjenamaan dan pemasaran produk merupakan satu tuntutan sebagai Muslim. Penjenamaan atau pelabelan harus membawa kepada peningkatan kualiti sesuatu produk atau perkhidmatan. Konsep Islam harus dijelaskan dengan sebaiknya. Jika tidak ia akan mengundang bahaya dan seterusnya membawa kepada kesesatan kepada individu yang baru bertatih mengenal Islam dan masyarakat bukan Islam yang akan menganggap perkara yang sesat itu sebagai Islam yang sebenar.

Jika mempunyai peluang memasarkan dan menjenamakan produk seperti pakaian muslim atau muslimah, harus dipaparkan pakaian sebenar masyarakat Islam. Ini penting untuk membezakan gaya hidup masyarakat Islam dan bukan Islam. Peluang untuk mempromosikan Islam dengan cara sebegini bukan sahaja membuka mata dunia tentang Islam yang indah malahan membawa hati mereka dekat dengan Islam yang sempurna.

Tidak kira apa jua produk atau perkhidmatan yang bercirikan Islam yang ingin kita pasarkan, pastikan ia benar-benar mengikut ketetapan Islam. Jika tidak boleh mengikut ketetapan dan syariat Allah s.w.t, tidak perlu melabel produk itu sebagai Islam. Pasarkan dan jenamakan dengan seadanya kerana Islam membawa konotasi dan makna yang mendalam serta tidak boleh diselewengkan sewenang-wenangnya.

Dengan adanya cetusan globalisasi, peluang Islam mengembangkan syiarkan seharusnya lebih mudah dan sempurna. Ambil peluang yang ada untuk mempromosikan Islam sebaiknya. Jadikan peluang ini untuk mengetengahkan Malaysia sebagai halal-hub dunia dan seterusnya membudayakan aspek halal merangkumi seluruh kehidupan umat Islam dan masyarakat di dunia.

Advertisements