pekak-1.jpg

“Yang pekak pembakar meriam,
Yang buta penghembus lesung,
Yang lumpuh penghalau ayam,
Yang pekung penjemuran,
Yang kurap pemikul buluh.”
(petikan daripada “Hikayat Awang Sulung Merah Muda”)

BAHASA berirama jenis ‘runs’ ini terdapat di dalam hikayat sastera klasik Melayu. Rangkap bahasa berirama di atas menyatakan setiap anggota masyarakat mempunyai peranan masing-masing sesuai dengan keadaan diri masyarakatnya. Penggunaan bahasa sebegini bukan sahaja mempelbagaikan lagi penggunaan bahasa di dalam karya klasik Melayu, tetapi juga dapat melambangkan dengan jelas dan baik apa yang berlaku dalam masyarakat zaman dahulu.

Apa yang ingin dijelaskan di sini bukanlah persoalan bahasa atau sastera lama. Rangkap bahasa berirama di atas, terutama baris pertama “yang pekak pembakar meriam”, membuatkan fikiran menyongsong sebuah rencana di akhbar Harian Metro bertarikh 9 November 2007.

Rencana yang bertajuk “Dakwah Melalui Bahasa Isyarat” disusun oleh Idris Musa, menggambarkan suasana di Kaherah, Mesir yang mempunyai dua hingga empat juta golongan bermasalah pendengaran di sana. Mesej Islam yang ingin disampaikan amat jauh dari golongan ini kerana kekurangan jurubahasa isyarat.

Beberapa persoalan juga dilontar melalui rencana itu seperti masalah pengajaran fardhu ain, menterjemah isi kandungan al-Quran, mendengar khutbah Jumaat, menunaikan haji di Mekah dan persoalan-persoalan agama yang lain yang tidak sampai kepada golongan yang bermasalah pendengaran.

Rencana ini mengingatkan penulis tentang beberapa kejadian dan insiden yang melibatkan golongan orang pekak di Malaysia. Melalui pemerhatian sendiri, orang pekak sering mempunyai masalah berurusan di kaunter-kaunter jabatan kerajaan dan juga semasa mendapatkan rawatan di hospital. Begitu juga di institusi pengajian tinggi tempatan, orang pekak menjadi golongan yang terpinggir dan terus tidak terbela.

Masalah bagi golongan ini bukan sahaja semasa berurusan di kaunter-kaunter atau mendapatkan rawatan di hospital, malah segala aspek dalam kehidupan mereka amat terpisah dari dunia nyata. Nasib mereka lebih malang dan terkebelakang daripada golongan orang kurang upaya (OKU) yang lain, golongan ibu tunggal, golongan miskin ataupun masyarakat asli di daerah pedalaman.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan pendaftaran warga pekak menjangkau 26,294 orang pada tahun 2005. Itu yang mendaftar. Dipercayai ramai lagi yang tidak mendaftar kerana tidak tahu atau mereka tidak nampak keperluan untuk mendaftar kerana percaya nasib mereka tidak akan berubah.

Masalah komunikasi dengan masayarakat normal menyebabkan orang pekak kehilangan hak untuk sama-sama merasai kenikmatan hidup di bumi yang merdeka, maju dan membangun ini. Banyak perkara yang tidak dapat dinikmati atau terpaksa dilupakan kerana tiada komunikasi antara mereka dengan dunia luar. Seterusnya, Dasar Integrasi Nasional ke arah interaksi dan komunikasi menyeluruh tidak kesampaian.

Seperti manusia biasa, orang pekak harus menjalani kehidupan sehari-hari. Dari aspek pendidikan, kerajaan telah menyediakan kemudahan seperti sekolah pendidikan khas, sekolah integrasi dan juga guru-guru yang mengajar bahasa isyarat kepada mereka. Kemudahan ini bertambah dari semasa ke semasa selaras dengan pertambahan golongan pekak di Malaysia.

Namun, masih terdapat masalah yang wujud. Pertama, sistem bahasa isyarat yang sangat rencam, yang digunakan sejak zaman dahulu tidak efektif untuk membawa golongan pekak sebaris dengan masyarakat yang normal. Ada kepincangan pada sistem itu yang perlu diperbaiki agar sistem komunikasi dua hala antara orang pekak dan mereka yang normal berjalan dengan telus.

Masalah yang kedua pula ialah hubungan kemasyarakatan dan hak bersama golongan pekak amat jauh dari masyarakat normal. Ini kerana, mereka hanya dapat berkomunikasi dengan orang yang tahu berbahasa isyarat. Masalah bertambah rumit apabila jumlah jurubahasa isyarat amat kurang, iaitu hanya 15 jurubahasa isyarat profesional yang berkhidmat sepenuh masa.

Kedua-dua masalah ini seterusnya menyumbang kepada keampuhan jatidiri dan seterusnya menyebabkan golongan pekak mula membina dunia mereka sendiri yang terpisah daripada masyarakat normal.

Kesan daripada kedua-dua masalah itu, golongan pekak keciciran dalam aspek pendidikan. Selain itu, mereka gagal dalam mendapatkan hak seperti berurusan dengan sektor-sektor awam, mengakses maklumat terkini tentang dunia semasa, hak untuk menyuarakan pendapat, hak untuk membuat pilihan dan juga hak untuk mendapatkan keperluan asas.

Paling menyedihkan, golongan pekak yang beragama Islam tidak dapat mendalami agama Islam dengan baik. Tidak menghairankan jika dikaji, terdapat banyak kes yang berkaitan salah laku akhlak, masalah perkahwinan dan penceraian, kemurtadan dan hal-hal lain yang berkaitan agama Islam berlaku di kalangan warga pekak di Malaysia.

MESEJ ISLAM DAN WARGA PEKAK

Islam tidak pernah memandang umatnya berbeza dari segi paras rupa atau fizikal. Islam memandang amal dan takwa serta menyanjung sifat Muslimin dan Muslimah yang sejati terutamanya dalam hal menuntut ilmu. Tidak kira sama ada seseorang Muslim itu normal atau cacat, kesungguhan dalam mendalami Islam merupakan suatu tuntutan.

Pernah diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah didatangi oleh Ummu Maktum, iaitu seorang yang cacat penglihatan. Pada ketika itu Rasulullah s.a.w. sedang sibuk melayani para penguasa Quraisy dan mendakwah mereka kepada agama Islam. Melihat kehadiran Ummu Maktum, baginda pun memalingkan muka baginda daripada beliau kerana ingin menumpukan perhatian kepada para penguasa Quraisy tersebut. Dengan kejadian itu, Allah s.w.t pun mewahyukan ayat 1-11, Surah Abasa yang bermaksud:

“Ia memasamkan muka dan berpaling kerana ia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapati daripadamu)! ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasakan keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi ( kepada ajaran al-Quran), maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (daripada keingkarannya). Adapun orang yang segera datang kepadamu, dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah) maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).”

Kisah di atas, walaupun menyebut tentang ‘orang buta’, ia merangkumi golongan kurang upaya yang lain yang seharusnya tidak ketinggalan dalam proses mendapatkan ilmu pengetahuan dan dakwah Islamiah. Kesungguhan mereka yang mendapatkan ilmu agama dan juga keprihatinan guru yang mengajar membawa kepada keberlangsungan sesuatu ajaran itu masuk ke dalam jiwa orang yang menuntut ilmu.

Berbalik kepada golongan pekak, mereka hanya bergantung kepada bahasa isyarat untuk memahami apa yang disampaikan oleh pendakwah. Alhamdulillah, media eletronik masa kini sudah mula menempatkan jurubahasa isyarat semasa khutbah Jumaat yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen. Medium yang digunapakai oleh warga pekak hanyalah yang berbentuk visual dengan jurubahasa isyarat di sampingnya.

Malangnya, kekurangan jurubahasa isyarat menjadi penyebab utama mesej dakwah itu sampai kepada warga pekak dengan cara yang tidak sempurna. Mereka masih memerlukan jurubahasa isyarat untuk menghayati ceramah-ceramah agama yang diadakan di masjid-masjid dan tempat-tempat tertentu. Mereka juga perlu memahami isi kandungan al-Quran yang menjadi pelengkap kepada Islam yang mereka sanjungi. Selain itu, komunikasi berkesan juga amat diperlukan ketika mereka mahu menyuarakan pendapat dan persoalan tentang sesuatu perkara terutamanya apabila berurusan dengan jabatan agama atau institusi keagamaan yang ada.

Berbicara soal urusan dengan jabatan agama Islam, warga pekak sering diketepikan atas alasan tiada komunikasi yang baik antara kakitangan sektor awam ini dengan warga pekak. Mana mungkin warga pekak dapat menyuarakan persoalan agama kepada kakitangan jabatan agama Islam dengan menggunakan kaedah isyarat tangan yang tidak difahami oleh kakitangan tersebut.

Bagaimana pula keadaan warga pekak yang berkeinginan menunaikan ibadah haji atau menunaikan umrah di Mekah? Bagaimana mungkin mereka dapat menjalani ibadah itu dengan sempurna tanpa jurubahasa isyarat membantu aktiviti keagamaan mereka di Tanah Suci itu.

Masalah orang pekak dan aktiviti dakwah Islamiah pernah dikaji oleh seorang pensyarah dari Jabatan Dakwah dan Antropologi, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Kampus KUSZA Gong Badak, melalui kajiannya, “Bahasa Isyarat Malaysia (MySL) sebagai Wahana Dakwah: Kepentingannya Dalam penghayatan Agama Warga Pekak”.

Kajian beliau telah dibentangkan semasa Seminar MySL pada 23 hingga 25 Ogos 2007 di Johor Bahru. Melalui kajian itu, beliau mendedahkan bahawa warga pekak juga terlibat dengan beberapa kes keruntuhan akhlak, bermasalah dengan institusi keagamaan dan sukar mendekati dakwah Islamiah tanpa kemahiran berbahasa isyarat yang baik.

SISTEM PENYAMPAIAN BAGI WARGA PEKAK

Bahasa isyarat merupakan komunikasi yang tidak menggunakan ucapan atau tulisan. Mengimbau sejarah penggunaan bahasa isyarat di Malaysia, ia melalui suatu kronologi perubahan penggunaan bahasa isyarat yang pelbagai bergantung kepada negara yang memperkenalkannya.

Bermula pada tahun1954, di mana Federation School of the Deaf ditubuhkan pada tahun itu di Pulau Pinang dengan menggunakan kaedah oralisme. Pelajar pekak di situ menggunakan isyarat untuk berkomunikasi di antara mereka. Pada masa itu juga sebuah Sekolah Pekak wujud di Singapura dan bahasa penghantarnya ialah Bahasa Isyarat Shanghai (SSL).

Pada tahun 1964, Kelab Pekak diasaskan oleh Lam Beng Heng di Petaling Jaya, Selangor. Isyarat pada masa itu digunakan lebih cenderung kepada SSL dan isyarat tempatan. Tahun 60-an bahasa isyarat asing, American Sign Language (ASL) di perkenalkan di Malaysia oleh En. Tan Yap yang belajar di Gallaudet College dan juga anggota Registry of Interpreter for the Deaf (RID). Pada tahun 80an pula, Dr. Francesa Parson dari Amerika Syarikat memperkenalkan Kaedah Komunikasi Menyeluruh (Total Communication).

Kod Tangan Bahasa Melayu yang berasaskan ASL dibukukan digunakan di sekolah-sekolah. Amerika dan British menggunakan bahasa Inggeris tetapi isyarat mereka adalah berlainan. ASL di gunakan di USA dan BSL digunakan di negara Komanwel seperti India, Pakistan, Australia, New Zealand, dan Fiji dan ditambah dengan isyarat tempatan mengikut budaya mereka.

Pada tahun 1996, Malaysia sebagai tuan rumah menganjurkan dua aktiviti di peringkat antarabangsa, iaitu “5th Asia Pacific Deaf Games” dan “World Federation of the Deaf Asia Pacific Conference: Bilingualism in Deaf Education” di PWTC. Pada waktu itu, orang pekak dari luar negara mempersoalkan mengapa kita menggunakan bahasa isyarat asing.

Oleh hal yang demikian itu, pada tahun yang sama juga komuniti orang pekak Malaysia sepakat memulakan projek Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi orang pekak pada tahun 2000 oleh komuniti orang pekak Malaysia. Ia seterusnya diiktiraf oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dengan memperuntukkan kewangan sebanyak RM230,000.

Pada tahun 2005, Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) telah menubuhkan Pusat Latihan Bahasa Isyarat Malaysia (MySL training Centre) yang bertujuan untuk memenuhi keperluan komunikasi tanpa halangan dalam semua bidang antara orang pekak dan bukan pekak. Pada awalnya ia dijalankan dengan tajaan Tabung Amanah Tan Sri Othman Yeop (Redtone International Berhad).

Melalui Bajet 2007, pusat ini berjaya menuju objektif yang disasarkan, iaitu menjadi sebuah pusat latihan yang lengkap dan setanding dengan pusat pembelajaran yang lain. Matlamat utamanya diterusnya seperti melatih Jurubahasa Isyarat Profesional dengan kerjasama International University College of Technology Twintech (IUCTT), membantu meningkatkan penguasaan bahasa isyarat kepada guru-guru, kaunselor sekolah pendidikan khas serta kakitangan sektor kerajaan yang berurusan dengan orang pekak.

Selain itu MySL juga bermatlamat mewujudkan komunikasi tanpa halangan di semua agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan kepada orang pekak dan membangunkan Perkhidmatan Penterjemahan Dalam Talian (online) serta Kamus Bahasa Isyarat Maya untuk manfaat semua rakyat.

pekak-2.jpg

MySL dikatakan lebih efektif dan mudah difahami dan dipelajari berbanding dengan Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) dan Pertuturan Kiu Bahasa Melayu (PKBM) yang digunapakai sebelum ini. Ini kerana bahasa orang pekak tidak menyerupai mana-mana bahasa yang ditutur, ditulis atau dibaca. (http://mysltc.org)

Ini dapat dibuktikan melalui kajian yang telah dibuat sebelum ini yang menunjukkan penguasaan warga pekak dalam aspek keagamaan meningkat dengan adanya sistem MySL dan inisiatif warga pekak menghadiri kelas bimbingan agama dan juga kerjasama kaum keluarga warga pekak dalam membantu mereka mendalami aspek keagamaan.

Kesimpulannya, usaha yang dijalankan oleh MySL seharusnya mendapat pujian dan kerjasama dari pelbagai pihak. Pusat seumpama ini yang pertama ditubuhkan di Malaysia dan rantau ASEAN telah menawarkan kursus pengajian secara percuma kepada individu yang berminat dan juga kakitangan kerajaan. Sasaran melahirkan sekurang-kurangnya 300 Jurubahasa Isyarat Profesional dalam tempoh lima tahun ini merupakan usaha yang murni yang bukan sahaja membawa warga pekak kembali kepada masyarakat sekitarnya, malah mengembalikan warga pekak yang beragama Islam untuk mendalami Islam dengan lebih sempurna.

Walau bagaimanapun, usaha pusat ini untuk menyeimbangkan populasi warga pekak dan Jurubahasa Isyarat Profesional berdepan dengan pelbagai masalah seperti perpepsi masyarakat tentang kepentingan mengisi keperluan itu (jurubahasa isyarat). Ini kerana warga pekak jarang tampil ke hadapan menyuarakan masalah mereka seperti warga kurang upaya yang lain (cacat penglihatan dan anggota badan).

Peranan media yang semakin berkepentingan dalam menyuarakan suara hati masyarakat harus diambil kira dalam memaparkan situasi sebenar yang melanda warga pekak di negara ini. Selain itu, usaha pusat pengajaran bahasa isyarat seperti MySL harus diteruskan dengan konsisten agar matlamat yang ditetapkan dapat dicapai dengan jaya.

Bagi warga pekak pula, mereka harus mengambil kesempatan ini untuk menguasai bahasa Isyarat ini dengan baik selain berusaha melibatkan diri dengan program atau kelas-kelas agama yang dijalankan disekeliling mereka dalam usaha mendalami ilmu agama atau ilmu keduniaan yang lain. Hal ini bukan sahaja mendekatkan diri mereka ke dalam dunia warga yang normal, malah membantu mereka memajukan diri dan seterusnya menjadi warga yang tidak keciciran dalam masyarakat yang semakin pantas mengejar arus kemodenan dan kemajuan.

*terima kasih Encik JIMADIE yang membuka mata saya tentang kehadiran warga pekak di dunia ini. Juga terima kasih atas sumbangan gambar.