Ya, kerana belajar dan mendapat ilmu akhirnya saya berjaya set semula tarikh dan masa untuk setiap entri dan komen di blog ini.

Tinggalkan hal picisan itu” [bak kata pak Emha dan ibu Fatin Hamama].

Pagi tadi, semasa berada di dalam perut komuter yang sememangnya sesak, saya melihat sebaris (bukan sekumpulan) ayam sedang mematuk-matuk tanah di hentian Segambut.

chicken_hop.gif Hal itu mengingatkan saya kepada dua kisah yang datangnya dari ibu berkaitan ayam.

Kisah pertama telah lama saya lupakan kerana orang yang menjadi watak utamanya juga telah lama terpisah dari saya dan dunia nyata. Ia berkenaan dengan arwah nenek yang ketika masih hidup dahulu gemar duduk di pangkin di bawah pohon rambutan dan memberi jagung halus kepada ayam.

Saya tanyakan kepada ibu,

“kenapa nenek suka termenung ketika memberi ayam makan? Bukankah itu membuang masa dan apa faedahnya memerhati ayam-ayam itu?”

Dan ibu menjawab,

“Setiap apa yang ada di sekeliling kita mengandungi pelbagai cerita. Kita tak tahu cerita apa yang mengundang nostalgia pada nenek. Mungkin suatu waktu dahulu nenek ada pengalaman manis dengan keadaan itu. Mungkin juga suatu waktu dahulu, nenek pernah memberi ayam makan bersama-sama dengan atuk. Dan nostalgia itu, tahapnya tidak sama dengan nostalgia orang lain. Bagi kita, biasa sahaja, tapi bagi nenek, mungkin itu pengalaman yang paling manis”

Saya faham, dan diam. BEKU.

Kisah kedua pula berlaku agak baru. Dua bulan yang lepas, semasa saya pulang ke kampung, saya dikejar oleh seekor ibu ayam yang baru turun dari reban setelah menetaskan anak-anaknya. Sepuluh ekor anak ayam, bukan mudah nak menjaganya.

Mencicit saya lari sehingga terlanggar akar pokok rambutan. Saya terjatuh. Lutut luka. Agak tidak comel perempuan seusia saya jatuh dengan keadaan begitu.

Lalu, pada malam harinya, mimpi saya turut dipenuhi dengan ayam-ayam yang garang. Bukan itu sahaja, Alhamdulillah, saya terjaga dari mimpi ngeri tersebut, juga disebabkan oleh ayam.

Kokokan ayam yang bertenggek di pohon rambutan berdekatan dengan bilik saya sungguh menyebalkan hati. Kokokannya pada pukul 2 pagi itu, sangat kuat seolah-olah ayam jantan itu berada di sebelah telinga saya. Aduhai…

Paginya, saya berbual dengan ibu berkenaan ibu ayam dan ayam jantan tersebut. Sangat menyakitkan hati seekor ibu ayam yang comel dan katik berperangai garang seperti itu sehingga mencederakan orang. Dan sangat janggal ayam berkokok pada pukul 2 pagi. Saya labelkan ayam jantan yang jaguh itu sebagai ‘mereng’.

Jawab ibu :

“Tahukah kamu, bahawa ciptaan Allah itu adalah yang paling sempurna. Dan manusia adalah sesempurna ciptaan yang diberi akal untuk berfikir. Binatang dan tumbuhan Allah ciptakan bukan untuk menyusahkan manusia yang berakal. Binatang dan tumbuhan melengkapkan hidup manusia dan kita dituntut belajar dan mengamati perilaku ciptaan tuhan itu [tumbuhan dan binatang].”

bagaimana?” tanya saya lagi..[ini bukan soalan budak tadika. Saya fahami apa yang ibu jelaskan cuma saya mahu belajar sesuatu dari pengalaman ibu].

“Tahukah kamu, bahawa ibu ayam mempunyai naluri kasih sayang dan sifat melindungi lebih dari manusia. Mereka sanggup mencederakan orang lain untuk melindungi anak-anaknya. Manusia juga begitu. Cuma, tidak semua manusia yang bergelar ibu mempunyai keutuhan nilai keibuan yang tinggi. Kerana itulah ada yang sanggup membuang anak”.

“Dan kamu sendiri nampak betapa ayam yang comel begitu amat tak comel bila bertindak garang-garang. Macam kamu la, garang sangat.”

Sambung ibu lagi :

“Tahukah kamu, manusia selalu lupa dengan tanggungjawab dan amanah yang harus di langsaikan dengan Maha Pencipta?”

“Ayam jantan yang bertenggek di pohon rambutan yang kamu marah-marah dan label sebagai ‘mereng’ kerana berkokok sehingga mengganggu lena kamu itu, sebenarnya membawa pesanan dari Allah. Membangunkan kamu dari terus lena dan lena yang akhirnya akan membebalkan dan menaikkan ego kamu sebagai manusia.”

Saya menoleh kepada ibu. Ibu mengatakan saya bakal bebal dengan tidur lena. Dan ibu kata saya ego dengan tidur. saya betul-betul tidak memahami kata-kata ibu kali ini.

Ibu menyambung lagi tanpa memandang wajah saya yang kehairanan. Katanya :

“Sebelum kamu tidur, sudahkah kamu menunaikan solat lima waktu? Sudahkah kamu berdoa memohon ampun dari Allah dan orang sekeliling atas dosa yang kamu lakukan sepanjang hari? Sudahkah kamu laksanakan tanggungjawab yang Tuhan berikan kepada kamu sebagai khalifah Allah di muka bumi ini?”

“dan jika itu semua kamu sudah pasti lakukan dengan sempurna, ketahuilah bahawa kokokan ayam itu meminta kamu bangun untuk solat sunat, qiamullail atau sekurang-kurangnya bangun untuk melihat keindahan malam di kaki langit dan diserata bumi. Itu ciptaan Allah s.w.t yang maha indah yang sering kita tinggalkan demi mengejar keseronokan tidur yang tidak membawa banyak manfaat. Sesekali bangunlah tengah malam, dan lihat keindahan malam. Belajar dari alam untuk mengenal siapa kamu dan siapa Pencipta kamu”

Saya terdiam sambil melarikan pandangan mata daripada tertempa dengan mata ibu. Saya cuba menafikan tanggungjawab yang perlu saya laksanakan dengan Allah s.w.t. Dan keegoan serta kesombongan saya kepada maha Pencipta itu disedarkan oleh sang ayam jantan yang mahu membantu saya kembali pada tanggungjawab sebagai hamba kepada penciptanya.

Ya, ilmu itu ada di mana-mana. Cukup jika kita menjadi pemerhati dan pemikir yang bijak. Lihat tafsiran surah al-Alaq, ayat 1-5 yang berbunyi :

“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah yang beku, bacalah danTuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”

Benarlah yang tersebut dalam Surah al-Isra’ ayat 9 :

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar”.