Simposium yang dihadiri minggu lepas masih berbekas. Banyak perkara yang tumbuh dalam minda apabila diri didedahkan dengan hal-hal yang menuntut pemikiran waras dan kehadapan.

Simposium ini adalah tentang sastera sebagai wadah terbaik membudayakan bangsa dan menaikkan taraf sesebuah negara. Pembudayaan yang menyeluruh berlaku pada zaman Tun Abdul Razak yang mewarisi negara kucar kacir, kemudahan yang terhad dan penuh dengan pelbagai konflik. Aspek bahasa dan kebudayaan yang ditekankan menjadikan Malaysia mencapai kemajuan yang baik pada hari ini.

Akan saya tulis satu artikel tentang Tun Abdul Razak dan isu kebudayaan, bahasa serta sastera.

pict1648.jpg

 

Faisal Tehrani diapit oleh sang bayan dan dua orang penulis muda – Dia Azura (novel) dan Lya Myllya (cerpen)

 

Kepada penulis muda di luar sana [dan yang saya temui di kuantan], semoga kita akan lebih bersemangat dalam membudayakan masyarakat dalam usaha menghasilkan negara dan bangsa yang boleh di banggakan.

Tatkala DPMP [Dewan Persuratan Melayu Pahang] mengedarkan pelekat menyeru kita membantah penggunaan Bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik, terdengar hebahan di radio mengatakan bahawa Bahasa Inggeris telah diluluskan sebagai bahasa untuk mengajar dua subjek berkenaan.

Tiba-tiba jiwa menjadi kacau dan sedikit terguris dengan kedaan yang melanda apatah lagi mendengar kata-kata tokoh Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said,

“Bahasa Melayu adalah perjuangan Tun Abdul Razak. Dan Bahasa Melayu merupakan akar yang membina bangsa dan kebudayaan Melayu. Sekarang, akar ini sudah mula reput. Pada apa pohon bangsa ini akan bertahan?”

“Salahkah kita bernostalgia jika nostalgia itu boleh membangkitkan rasa kecintaan terhadap bangsa kita yang semakin lupa pada akar tunjangnya”