Perut saya sakit. Sakit yang bukan main-main, kerana hari ini bukanlah hari untuk main-main. Banyak kerja tertangguh. Saya salahkan keadaan semasa kerana mengekang saya dari bergerak seperti yang dijdualkan dan juga akhirnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengelak kekangan itu.

kekangan yang saya maksudkan ialah ‘Jamuan hari raya’ yang berlangsung setiap hari dan memerlukan saya terlibat sama. Bukan sebagai penghidang makanan, ataupun jurugambar ataupun penyambut tetamu apatah lagi tukang masak. Saya cuma pemakan tegar.

Inilah yang dimaksudkan dengan

Saya salahkan keadaan semasa kerana mengekang saya dari bergerak seperti yang dijdualkan dan juga akhirnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengelak kekangan itu.

Ya, saya boleh sahaja tidak menghadiri jamuan-jamuan itu, tetapi, bukankah memenuhi undangan itu suatu kewajipan selagimana majlis itu menepati syariat.

Minggu ini, pejabat saya [pejabat saya hanya satu bangunan ini, 3 tingkat] mengadakan jamuan hari raya. Isnin lepas, kami dijemput ke rumah rakan sepejabat yang membuat majlis rumah terbuka di rumah beliau di Kota Damansara. Selasa pula jamuan anjuran rakan sepejabat tingkat bawah. Rabu pula tingkat 3 mengambil tempat memeriahkan suasana. Dan hari ini, rakan -rakan pekerja tingkat 1 pula menganjurkan majlis yang sama. Esok pula, kami bakal dijamu oleh dua majlis yang berlainan tempat. Aduhai, jadual untuk minggu depan juga sudah penuh dengan majlis jamuan hari raya.

Ermm..Bila difikirkan memang tidak salah mengadakan majlis sebegini. Silaturrahim terjalin, senyum terukir dan paling penting bagi individu yang telah mengosongkan akaun dan dompet untuk berhari raya, pastinya jamuan seperti ini dapat melegakan sikit perbelanjaan untuk makan tengah hari.

Tetapi, majlis yang dibuat berulang kali, ditempat yang sama, menjadikan saya terfikir aspek pembaziran masa. Apatah lagi kami juga akan mengadakan jamuan hari raya yang merangkumi seluruh cawangan kami di seluruh Malaysia. Jadi apa tujuannya mengadakan majlis untuk setiap tingkat?

Aduhai, saya taidak dapat membayangkan jika kakitangan kami mendiami 13 tingkat dalam bangunan ini. Sudah pasti jamuan yang akan berlangsung juga mencapai jumlah 13 buah jamuan hari raya…

Hahahha…saya sakit perut lagi!

Advertisements