masjid.jpg

gambar sekadar hiasan

Entri yang saya tulis sejak akhir-akhir ini bertemakan KOSONG. Atau dalam bahasa Inggerisnya ‘EMPTY‘. Entah mengapa terlalu banyak kekosongan yang saya alami semasa sambutan Aidil Fitri baru-baru ini. Mungkin kedewasaan mengajar saya supaya lebih peka dengan alam dan isinya.

KOSONG berdasarkan tafsiran saya adalah sia-sia dan tidak mempunyai nilai.

Sebelum ini saya menulis satu entri yang juga berkaitan dengan kosong iaitu jiwa yang kosong dan majlis kahwin yang kosong.

Senibina menurut Kamus Dewan adalah seni mengenai bangunan [penyediaan reka bentuk dan penyeliaan pembinaan bangunan].

Masa kini terdapat pelbagai bentuk senibina yang ditonjolkan serta dibina di Malaysia. Saya tidak akan mempersoalkan senibina-senibina yang besar dan megah yang banyak didirikan di Malaysia termasuklah masjid, bangunan pentadbiran ataupun bangunan – bangunan yang lain. Memang cantik tetapi nilainya kadangkala kosong.

Mungkin inilah yang perlu ditonjolkan di bandar-bandar besar demi menarik perhatian pengunjung dari luar negara. Mungkin senibina begini seharusnya diwujudkan di bandar besar agar terserlah kemodenan dan kemajuan sesebuah bandar di Malaysia atau di mana-mana negara besar sekalipun.

Teori saya ada kepincangan.

Bukan di bandar besar sahaja ‘kegilaan’ membina bangunan cantik dan besar dirasai malahan di daerah kecil dan kampung-kampung juga tidak kurang hebatnya.

Kampung saya merupakan sebuah tanah rancangan Felda yang menempatkan lebih kurang seribu hingga 1500 kepala/penduduk. Penyediaan dua buah masjid memang menyelesakan ditambah dengan beberapa buah surau kecil. Masjid itu pula sering diubahsuai dan dibesarkan mengikut keperluan setempat. Malangnya kurang aktiviti agama seperti kelas mengaji atau fardhu ain yang banyak manfaat kepada penduduk. Abah kata, kalau nak adakan kelas, kena mohon guru daripada pihak yang berwajib. Walaupun, di kampung memang ada guru yang ingin mengajar mengaji atau fardhu ain, beliau tidak dibenarkan menggunakan masjid sebagai kelas kecuali diizinkan oleh jabatan agama negeri. Dan proses itu sangat sukar.

Selain itu, kampung saya juga menempatkan kemudahan infrastruktur yang baik seperti sekolah [rendah, menengah, agama, tadika dan taska], balai raya, pejabat pengurusan felda, dewan serbaguna [ada dua buah yang besar dan jarang digunakan], bilik gerakan wanita dan belia yang kosong dan uzur, padang permainan kanak-kanak yang semak serta beberapa buah bangunan kedai yang terbiar kerana dibina di kawasan yang tidak komersial. Di kampung saya juga terdapat sungai dan jeram yang cantik serta dikunjungi ramai suatu waktu dahulu. Kini jeram itu terbiar, semak dan menjadi tempat maksiat muda-mudi dan pelajar sekolah.

Kalut dengan pemandangan begini di kampung sendiri yang suatu waktu dulu segala kemudahan hanya tangkap muat tetapi berbaloi dan bernilai buat kami. Sekolah agama berkongsi dengan masjid menjadikan penghayatan terhadap apa yang diajar lebih baik. Dewan serbaguna suatu waktu dahulu hanya sebuah tetapi cukup meriah dengan segala aktiviti seperti majlis perkahwinan Melayu dan India, pameran buku, pertandingan, sukaneka dam juga pusat bacaan yang sentiasa penuh dikunjungi penduduk.

Saya tidak menjangkakan yang indah dan baik-baik dari penduduk dan pihak pengurusan kerana saya semakin jarang pulang ke kampung. Penduduk kampung semakin pandai dan berani memilih hala tuju masing-masing dengan turut serta dengan ledakan teknologi masa kini. Di rumah masing-masing sudah ada astro yang memuatkan pelbagai bentuk hiburan tanpa perlu berkumpul mengeratkan silaturrahim seperti dahulu. Juga di rumah masing-masing sudah lengkap dengan permainan untuk anak-anak dari taman mini sehingga kepada permainan maya dan mereka tak perlu keluar rumah untuk bermesra dengan rakan sebaya atau jiran tetangga.

Itulah andaian saya mengapa dewan yang besar-besar dan semakin cantik yang disediakan oleh felda begitu sepi dan kosong.

Pemandangan terhadap bangunan yang sepi ini turut terbawa-bawa sepanjang perjalanan saya pulang ke Kuala Lumpur. Singgah di Ulu bendol, Kuala Pilah untuk menunaikan solat asar. Keluar dari kereta terlihat anak-anak muda kita sedang berhari raya di Ulu bendol yang menempatkan tempat mandi terbuka. Mereka bergelak ketawa, menjerit-jerit, memakai pakaian mandi dan berpelukan lelaki dan perempuan. Ohhh, di sini rupanya pasangan remaja kita berhari raya. Sungguh erat ‘silaturrahim’ antara mereka.

Surau di Ulu Bendol merupakan salah satu contoh senibina yang kosong. Surau itu kecil. Hanya boleh memuatkan kurang daripada 10 jemaah. Bukankah ini kawasan rekreasi yang dikunjungi ratusan malahan mungkin ribuan orang?

Tempat mengambil wudhu bagi wanita juga sangat dikesalkan. Tempat wudhu itu bersifat terbuka. Bagaimana caranya bagi wanita muslim yang ingin mengambil wudhu tanpa membuka tudung?

Arah kiblat di dalam surau tidak kelihatan. Mungkin sudah dilarikan oleh sang cicak. Kedudukan rak menyimpan telekung dan sejadah juga tidak praktikal kerana terletak di hadapan orang yang bersembahyang. Biasanya rak itu membelakangkan kiblat agar jemaah lain yang ingin mengambil telekung tidak mengganggu jemaah yang sedang bersolat.

Aduhai, saya hanya membayangkan yang rekabentuk surau ini dan juga mungkin yang membinanya bukan beragama Islam.