auburnisland.jpg

RAMADAN hampir tiba ke penghujungnya. Setiap Muslim dan Muslimah berusaha sebaik mungkin melaksanakan rukun Islam ketiga, iaitu berpuasa. Ramadan yang menjanjikan ganjaran pahala, membuatkan mereka yang benar-benar menghayatinya dapat menjalani ibadah puasa ini dengan tenang dan gembira. Begitu juga dengan sambutan Hari Raya yang bakal menjelang. Sudah pasti seperti bulan Ramadan, bulan Syawal juga menjanjikan ganjaran yang pelbagai untuk mereka yang mengisi ruang itu dengan segala amalan kebajikan dan sentiasa mensyukuri nikmat yang Allah s.w.t berikan.

Puasa dari segi syarak bermaksud menahan diri daripada segala perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar sehingga matahari terbenam disertai dengan niat untuk berpuasa.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)

Daripada Sahl Ibn Sa’d, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan pintu ‘al-Rayyan’ yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa. Ditanyakan (oleh pintu tersebut) ; Di manakah orang-orang yang berpuasa? Maka mereka pun masuk dari pintu tersebut. Setelah semua orang yang berpuasa memasukinya, pintu itupun ditutup dan tidak ada siapa lagi yang masuk melaluinya.” (Riwayat Muslim)

Bulan Ramadan adalah penghulu segala bulan. Bulan ini dikatakan sungguh istimewa kerana dalam bulan ini terkandung segala rahmat dan keberkatan. Pintu-pintu syurga akan dibuka, manakala pintu-pintu neraka akan ditutup serta iblis dan syaitan akan dirantai pada bulan ini.

Bulan Ramadan amat berkait rapat dengan amalan-amalan yang akan diberi ganjaran tidak ternilai. Menghayati al-Quran dan menanti malam Lailatulqadar yang dikatakan lebih baik daripada 1000 bulan yang lain ( amalan satu malam yang menyamai amalan selama 1000 bulan) menjadi intipati penting yang tidak harus diambil ringan.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar? Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada tuhan mereka dengan setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar.”
Puasa, tidak kira sama ada puasa wajib di bulan ramadhan atau puasa-puasa sunat pada bulan-bulan yang lain, bukan sahaja memberi kesan kepada keimanan dan ketakwaan. Puasa merupakan anugerah kepada dunia kesihatan kerana ia mampu meningkatkan taraf kesihatan seseorang. Melalui kajian sains, didapati berpuasa akan menurunkan kadar glukos darah, tekanan darah, khasnya tekanan darah sistolik dan juga lipid darah. Puasa juga turut menurunkan berat badan.
Di samping manfaat dari segi fisiologi badan, ibadah puasa turut menambahkan kesihatan jiwa setelah dikaji dari sudut psikologi. Bacaan al-Quran dikatakan boleh meningkatkan daya ingatan di samping memperolehi ketenangan jiwa. Solat tarawih pula melalui suatu kajian mendapati akan membakar rata-rata 10 kalori tenaga setiap rakaat, di samping meningkatkan kesihatan tulang, otot, sendi, dan lain-lain.

Selain itu, didapati 70 peratus dari perokok-perokok ternyata telah pun mencuba berhenti merokok dan 40 peratus dari perokok-perokok mencuba berhenti setiap tahun. Punca utama yang menyukarkan seseorang untuk berjaya berhenti merokok ialah sifat ketagihan terhadap nikotin, suatu bahan yang terdapat dalam kandungan asap rokok. Perokok mengalami kesukaran berhenti merokok kerana tubuhnya yang telah terbiasa dengan dadah nikotin yang mana ketiadaannya dalam masa dua hingga empat jam akan menyebabkan gejala ‘gian’.

Walau bagaimanapun, pada bulan Ramadan al-Mubarak seorang perokok yang kuat sekalipun boleh berhenti merokok mulai dari sahur hinggalah masa berbuka yang melebihi 12 jam. Ini adalah satu perkara yang tidak dapat dijawab dengan ilmu sains kerana mengikut keadaan biasa setelah dadah nikotin dalam darah menurun beberapa jam, otak akan memberi arahan meminta tambahan nikotin. Perkara ini tidak berlaku semasa bulan Ramadan kerana perokok-perokok boleh berhenti melebihi 12 jam tanpa merokok.

Apabila bulan Ramadan dijanjikan dengan pelbagai ganjaran pahala kerana keistimewaannya, maka bulan Syawal juga memberi nikmat yang tidak kurang hebatnya jika dihayati dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Dalam bulan Syawal, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Bulan ini dikenali sebagai bulan kemenangan bagi umat Islam yang berjaya menunaikan puasa dengan sempurna. Kemenangan yang dimaksudkan ialah kemenangan melawan nafsu dan mendidik jiwa (rohani) dan juga fizikal (jasmani) untuk taat dan sentiasa mengingati kebesaran Allah s.w.t.

Hari raya disulami dengan jiwa yang gembira kerana dapat menunaikan puasa selama sebulan. Sambutan hari raya lebih indah apabila disertai dengan amalan memuji kebesaran Allah melalui takbir, tahmid, dan tasbih di sepanjang malam raya serta pagi raya sebelum menunaikan solat hari raya.
Selain daripada bertakbir, bertahmid, dan bertasbih umat Islam digalakkan berpuasa enam hari di bulan Syawal.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian ia berpuasa pula enam hari pada bulan Syawal adalah seperti berpuasa sepanjang masa.” (Riwayat Muslim)

Hadis tersebut menjelaskan bahawa salah satu keistimewaan pada bulan Syawal ialah peluang berharga untuk orang-orang yang mengejar nikmat dan kemurahan Allah sepanjang hidup, iaitu puasa enam hari.

Ganjaran pahala diberikan oleh Allah kepada mereka yang berpuasa enam di bulan ini seperti ganjaran pahala kepada yang berpuasa sepanjang masa. Ganjaran yang begitu tinggi nilainya diberikan oleh Allah untuk hamba-Nya. Ini adalah setimpal dengan keikhlasan umat Islam dalam melaksanakannya, dengan memperhatikan dimana kebanyakan manusia tidak dapat melakukannya disebabkan keadaan sekeliling mereka lebih menguji keimanan seseorang yang menunaikan puasa pada waktu kemeriahan Hari Raya.

Melalui keistimewaan dan nikmat yang dijanjikan oleh Allah ini, amat rugi sekiranya kita tidak mengambil kesempatan dengan mempergunakan bulan Ramadan dan Syawal sebagai medium untuk mendidik diri dan orang lain untuk memantapkan akhlak dan akidah.

Bagi ibu bapa, bulan Ramadan adalah bulan yang terbaik untuk mendidik anak-anak untuk menjadi manusia yang dilingkungi nilai-nilai murni dan terpuji. Amalan-amalan seperti berbuka bersama keluarga boleh memberi nilai kasih sayang dalam mengukuhkan ikatan dan persefahaman antara ibu bapa dan anak-anak ataupun sesama adik beradik.

Melalui budaya berbuka puasa secara sederhana boleh memberitahu anak-anak bahawa mensyukuri nikmat Allah adalah dituntut. Puasa yang menahan lapar sekaligus memberi bayangan kepada mereka bagaimana kehidupan orang miskin dan mereka yang kurang berkemampuan membeli makanan. Oleh itu, mereka akan belajar untuk menghargai setiap makanan yang dihidang dan tidak membazir sesuka hati.

Solat berjemaah atau solat terawih pula memberi gambaran bahawa Ramadan adalah bulan di mana manusia paling dekat dengan Allah. Segala doa dan permintaan akan dikabulkan. Jadikan solat berjemaah amalan dan budaya keluarga sekalipun bukan pada bulan Ramadan. Sekaligus, nilai kasih sayang, hormat menghormati dan bersyukur dengan pemberian Allah akan ditanam dalam jiwa anak-anak.

Semasa di dalam bulan Ramadan juga, anak-anak harus dilatih bukan sahaja berpuasa makan dan minum tetapi juga berpuasa dari melihat perkara-perkara yang tidak elok serta mengawal percakapan dan suara mereka dengan baik. Katakan pada mereka bahawa “bau mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah s.w.t daripada bau kasturi.” Ingatkan juga kepada mereka agar sentiasa bersabar dan melakukan amal kebaikan.

Mungkin juga ibu bapa boleh membawa anak-anak melawat rumah kebajikan, rumah anak-anak yatim dan orang kurang upaya untuk memberitahu kepada anak-anak bahawa mereka harus bersyukur dilahirkan sebagai insan yang bahagia dan sempurna. Amalan sebegini lebih memberi kesan berbanding dengan cara bercerita sahaja.

Apabila menjelang Hari Raya, pelbagai perkara boleh dijadikan contoh yang baik untuk anak-anak. Antaranya amalan bermaafan pada pagi raya yang menumbuhkan rasa kasih sayang dan menanam sifat merendah diri. Ini seterusnya akan mendidik hati agar membuang sifat ego dan keras hati dengan memafkan kesalahan orang lain.

Begitu juga dengan amalan menziarahi pusara sanak saudara yang telah meninggal dunia. Sudah pasti amalan ini akan memberi gambaran bahawa walaupun kematian wujud, ikatan persaudaraan tetap terjalin. Oleh itu, setiap manusia harus berusaha memperbaiki diri dan menambah amalan agar tergolong di kalangan orang yang beriman dan mendapat keistimewaan di akhirat kelak.

Mengunjungi rumah saudara mara semakin dipinggir dalam masyarakat hari ini. Peranan media eletronik seperti televisyen yang menyiarkan rancangan menarik sudah tentu memaku diri anak-anak agar terus berada di hadapan televisyen.

Ibu bapa harus mendidik anak-anak agar sentiasa mewujudkan ukhuwah sesama saudara atau jiran tetangga dengan saling kunjung mengunjungi. Begitu juga dengan amalan rumah terbuka yang sudah menjadi gaya hidup masyarakat di bandar atau di kampung. Rumah terbuka memperlihatkan satu titik pertemuan yang tidak menghiraukan perbezaan agama, fahaman, politik dan ideologi.

Jadikan majlis rumah terbuka sebagai pentas mengukuhkan silaturrahim dan mengukuh perpaduan antara kaum. Walau bagaimanapun, pastikan majlis tersebut tidak mengandungi unsur-unsur pembaziran dan maksiat.

Sebagai ibu bapa, banyak lagi perkara yang boleh dijadikan unsur-unsur pengajaran kepada anak-anak. Selain seperti yang disebutkan di atas, ibu bapa sendiri boleh menjadi model terbaik untuk menanam sifat mulia dalam jiwa anak-anak.

Bertindak seperti yang sepatutnya, berpuasa dengan sempurna serta melaksanakan amalan-amalan yang diwajibkan dan disunatkan dengan konsisten boleh memberi gambaran yang baik dalam diri anak-anak.

daisies.jpg

Begitu juga dengan sambutan hari raya yang semakin hilang nilai tradisinya. Amalan kunjung mengunjung dan saling bermaafan harus diwujudkan dengan bersungguh. Begitu juga dengan persiapan menyambut raya yang sederhana memberi gambaran bahawa Hari Raya bukanlah hari untuk berseronok-seronok sahaja.

Advertisements