ISLAM melalui syariahnya telah menetapkan sesuatu perbuatan bukan berdiri sendiri tetapi mengandungi kesan-kesan atau natijah kepada perkara yang lain. Syariah merupakan undang-undang yang disyariatkan oleh Allah kepada makhluknya melalui al-Quran dan juga as-Sunnah.

Tidak ada pertikaian yang boleh dibuat terhadap syariah dan hukum-hukumnya kerana ia jelas daripada Allah Yang Maha Mengetahui segala apa yang diciptakan-Nya berbanding dengan hukum dan undang-undang ciptaan manusia. Bagaimanapun, masih ada manusia yang mempertikaikan kerelevanan syariah Islam dalam memelihara kesejahteraan manusia pada zaman ini.

Zaman semakin dewasa dan manusia pula semakin bijak mengatur hidup dengan segala kemudahan dan kebebasan yang ada. Namun, hukum syariah tidak boleh diabaikan atau dipermudahkan mengikut acuan semasa. Ini kerana syariah itu sendiri telah lengkap, malah meliputi segala aspek yang berkaitan dengan dunia dan akhirat. Bagaimanapun, banyak perkara yang melibatkan hukum Islam diperlekehkan sedangkan segala hukum itu telah jelas terkandung di dalam al-Quran. Firman Allah s.w.t melalui surah al-Ahzab, ayat 36 yang bermaksud:

“Dan tidaklah patut bagi seorang lelaki yang beriman dan juga perempuan, bilamana Allah dan Rasul-Nya tetapkan suatu ketetapan, ada bagi mereka pilihan yang lain. Dan sesiapa sahaja yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata”.

Undang-undang syariah diasaskan di atas prinsip menghasilkan ‘maslahah’ (kebaikan) dan menolak ‘mafsadah’ (keburukan). Oleh hal yang demikian itu, apa-apa perkara pun yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t mempunyai sebab-sebab tertentu dan bukan dibuat secara sewenang-wenangnya. Al-Quran menjadi panduan kepada manusia dalam memahami dan menghayati syariah yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Hari ini, masyarakat mula memperkatakan tentang pelaksanaan syariah. Itupun kerana beberapa perkara yang dirasakan hak mereka tertindas seperti isu penceraian, hak kebebasan untuk beragama, hak penjagaan anak dan perkara-perkara yang bersangkutan dengan perkahwinan semata. Padahal, syariah meliputi segala aspek yang berkaitan dengan hubungan antara manusia dengan Penciptanya, manusia dengan manusia, dan juga manusia dengan alam sekeliling. Tahukah bahawa arak merupakan salah satu perkara yang terkandung dalam hukum syariah?

Suatu waktu dulu, pada zaman nabi, telah disyariatkan oleh Allah s.w.t melalui perutusannya, Nabi Muhammad s.a.w bahawa arak merupakan minuman yang memabukkan dan boleh membawa kepada kemudaratan. Pengharaman arak juga dilakukan secara berperingkat-peringkat melalui beberapa peristiwa yang berlaku ketika itu.

Arak merupakan sejenis minuman kegemaran bangsa Arab jahiliah. Malahan sesudah kedatangan Islam, para sahabat Rasulullah masih lagi meminumnya kerana pada waktu itu larangan meminum arak masih belum berkuatkuasa walaupun Rasulullah sendiri telah mengetahui kemudaratannya kepada pertimbangan akal.

Pernah terjadi suatu waktu dahulu ketika Abdul Rahman bin Auf mengadakan kenduri dan mengundang para sahabat termasuklah Saidina Ali bin Abi Talib. Semua tetamu telah dihidangkan dengan minuman arak dan ketika masuk waktu Maghrib, Saidina Ali telah mengimamkan solat dan telah membaca surah al-Kafirun ayat 1-3 dalam keadaan mabuk, lantas mengubah makna ayat tersebut menjadi seperti yang berikut:

“Katakan wahai orang-orang kafir, aku akan menyembah apa yang kamu sembah dan kami telah pun menyembah apa yang kamu sembah.”

Begitu juga dengan peristiwa seorang lelaki Ansar bernama Utban bin Malik yang telah mengadakan jamuan yang dihadiri oleh kaum Ansar dan Muhajirin. Jamuan yang menghidangkan arak sebagai minuman itu, telah menyebabkan seorang lelaki Muhajirin, Saad bin Abi Waqas mabuk sambil bersyair memuji-muji kaumnya dan menghina serta mencaci kaum Ansar. Mendengar cacian itu, seorang lelaki Ansar terus memukulnya sehingga berdarah dan seterusnya menyebabkan huru-hara.

Akibat daripada peristiwa itu, Allah s.w.t menurunkan wahyu yang mengharamkan arak sepenuhnya melalui surah al-Maidah ayat 90-91 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada Allah dan daripada mengerjakan solat. Masihkah kamu berdegil lagi?”

Dan selepas turunkan ayat yang melarang perbuatan meminum arak, masyarakat Islam pada ketika itu berlumba-lumba membuang botol-botol arak dan memecahkannya di jalan-jalan raya. Sesungguhnya kesan arak dan pengharamannya oleh Allah sungguh terkesan dalam hati mereka.

Suatu ketika dahulu juga, namun pada era moden, sekitar tahun 1930-an, Amerika syarikat telah mengesan keburukan arak. Mereka telah menggunakan segala kemudahan yang ada untuk memberitahu tentang keburukannya. 65 juta Dolar Amerika telah dihabiskan dan mencetak 9,000 juta helaian kertas untuk menyatakan keburukan arak dan juga hukuman yang akan dikenakan ke atas penjual, pembeli, dan pembekal arak. Sehingga tahun 1933, mereka telah membunuh 200 orang dan telah memenjarakan lebih kurang setengah juta orang dan mendenda mereka dengan jutaan ringgit. Namun, mereka gagal membendung gejala ini. Dan undang-undang pengharaman arak telah dibuang.

Apabila diteliti kembali, memang banyak bezanya antara kesan perundangan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t dengan undang-undang yang dicipta oleh manusia. Namun, beberapa pandangan yang mengatakan undang-undang syariah sudah tidak relevan pada zaman sains dan teknologi ini dan juga tidak bersifat universal adalah pandangan yang jahil, sesat lagi menyesatkan.

Hari ini, ada yang berpendapat, pengambilan arak adalah perkara biasa dan sudah menjadi budaya, terutama bagi remaja dan golongan belia. Kata mereka, arak bukanlah apa-apa selagi boleh dikawal pengambilannya. Penjualan arak di Malaysia juga sudah dilakukan secara terbuka tanpa meletak label HARAM bagi masyarakat Muslim.

“…Hari ini, seramai 2000 orang remaja Melayu terlibat dalam pesta tarian secara terbuka di Genting Highland (yang menyediakan arak sebagai minuman) yang bermula pada jam 6.00 petang hari Sabtu dan berakhir pada 4 pagi keesokan harinya. Lebih 10 ribu pengunjung telah hadir ke pesta tersebut…” (Berita Harian, 9 Mac 2005)

“… Hari ini juga, tiga orang anak muda Melayu telah berjaya memenangi pertandingan Belvedere Bartender of The Year 2007 (Malaysia) anjuran syarikat Malaysia Bervedere Vodka. Pertandingan ini merupakan acara yang melibatkan penyediaan koktail bagi minuman arak jenis Belvedere Vodka…” (The Star, 15 Jun 2007)

Itu baru sekadar dua contoh yang mendapat liputan di dada akhbar. Tidak termasuk beberapa pesta yang tidak dilaporkan dan dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu, yang dihadiri oleh belia dan remaja Islam. Apatah lagi kes-kes yang meminum arak sewenang-wenangnya di khalayak dan tempat-tempat umum.

Mereka kata tidak salah meraikan orang bukan Islam. Jadi, mereka tafsirkan hal sebegini sebagai dosa kecil yang boleh dihapus melalui amalan-amalan lain. Ada juga yang menyatakan alasan bahawa mereka terpaksa. Terutama bagi Muslim yang bekerja di hotel-hotel mewah. Penyediaan arak sudah menjadi suatu kebiasaan bagi mereka sehingga terlupa pada undang-undang Islam sejak dahulu sehingga kini.

Begitu juga dengan tumbuhnya pusat-pusat hiburan di bandar-bandar besar yang merangkumi pub, disko, bar, café, dan restoran untuk pengunjung dari luar. Bukan sahaja pengunjung dari luar berasa selesa apabila menjengah ke Malaysia dengan penyediaan pusat hiburan yang terlalu banyak ini, malah masyarakat tempatan juga mengambil peluang keadaan yang wujud. Masyarakat tempatan yang beragama Islam bukan sahaja menjadi pekerja di pusat-pusat hiburan, malah menjadi pengunjung tegar mengalahkan pelancong asing dengan bangganya menyediakan dan meminum arak dikhalayak ramai.

Ibnu Tarmizi dan Ibnu Majah pernah meriwayatkan:

“Rasulullah s.a.w melaknat sepuluh golongan yang berkaitan dengan arak: yang memerasnya (memerahnya), yang minta diperaskannya, yang meminum, yang membawa, yang minta dihantari, yang menuangkannya, yang menjual, yang makan harganya, yang membeli dan yang meminta dibeli.”

Jelas, apa sahaja perkara yang berkaitan dengan arak hukumnya adalah haram dan dilaknat oleh Allah s.w.t. oleh itu, adakah kita masih mahu ‘bertarik tali’ dengan hukum pengharaman arak?

Perjuangan menyedarkan masyarakat tentang keburukan meminum arak bukan mudah. Apatah lagi jika mereka menggunakan alasan bahawa arak tidak mendatangkan mudarat jika peminum itu sendiri boleh mengawal tahap ketagihannya. Berbalik kepada syariah yang ditetapkan oleh Allah s.w.t, setiap masyarakat Islam wajib memberi peringatan atau menegah saudaranya dari melakukan perbuatan itu, walau dengan apa cara sekalipun.

Kajian ilmiah menunjukkan arak memberi kesan yang serius dari aspek sosial, budaya, psikologi dan seterusnya membawa kepada kesan kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.

Seorang ilmuwan Barat, Profesor A.J Arberry, pernah menjelaskan, “peminum arak menghadapi bahaya penyakit darah beku dan pembekuan air hempedu, malahan mereka akan merepek seperti orang gila dan mudah sekali mendapat angin ahmar atau lumpuh. Selain itu, seorang yang mabuk arak juga akan hilang pertimbangan akal. Secara tidak sedar dia akan mmbuka rahsia keburukan dirinya sendiri kepada orang lain.”

Kajian sains juga mendapati secara jelas, arak apabila diminum secara berlebihan boleh merosakkan selaput lendir perut dan menjadi racun yang meresap dengan cepat ke dalam tubuh manusia, terutamanya jantung dan buah pinggang, sesak nafas dan boleh menyebabkan kematian mengejut akibat tekanan kuat kepada hati dan jantung. Pengambilan dua hingga tiga gelas arak, tidak kiralah jenis rum, wain, scotch, wiskey, khamar atau samsu, sudah memadai untuk menjadikan seseorang tidak stabil, sawan, dan halusinasi.

Dari aspek sosial, masyarakat boleh berpecah belah dan hancur hasil penangan arak. Lihat sahaja peristiwa kaum Ansar dan Muhajirin yang bertelagah akibat kesan pengambilan arak yang menyebabkan peminumnya hilang pertimbangan lalu mengeluarkan kata-kata yang mencalar hati pihak lain.

Hari ini pula lihat sahaja betapa banyak kemalangan jalan raya yang berlaku akibat pemanduan dalam keadaan mabuk. Rumahtangga musnah akibat arak yang menghilangkan daya siuman seorang bapa atau ibu, lantas melupakan tanggungjawab terhadap keluarga. Itu belum lagi beberapa kejadian zina dan bunuh yang berlaku akibat pertimbangan akal yang semakin beku kerana melanggar larangan Allah s.w.t – Arak itu haram! Masyarakat apakah yang akan terhasil nanti jika minuman jenis arak yang memabukkan ini tidak disekat pengambilannya.

Pendedahan tentang keburukan arak sejak dahulu sehingga kini belum mampu menegah masyarakat terutama belia dan remaja untuk menghindari arak. Didikan ibu bapa juga belum mampu menegah anak-anak mereka dari terpengaruh dan terjerumus dalam gejala ini. Malahan kempen-kempen yang dianjurkan oleh kerajaan dan badan-badan tertentu tidak begitu bermakna jika kemasukan dan pengeluaran arak ke dalam negara Islam tidak disekat.

Arak bukanlah aspek wajib yang harus disediakan untuk menggalakkan pelancong asing ke Malaysia. Malahan, kita tetap boleh maju dan berdaya saing jika meninggalkan budaya meminum arak sebagai satu cara menghilangkan tekanan. Bagi remaja, permulaan hidup sebagai warganegara yang sihat dan cemerlang adalah dengan mengatakan ‘tidak’ kepada minuman memabukkan ini. Banyak lagi cara yang lebih baik dan menguntungkan boleh dilakukan untuk menghindari tekanan atau mengisi masa lapang.

Melalui kesedaran menjauhi arak, bukan sahaja negara Islam bertungkus lumus menyekat masyarakatnya dari meminum arak tetapi negara barat juga sedaya upaya mengawal pengambilan arak dikalangan rakyatnya. Sebagaimana bahayanya candu sehingga menyebabkan negara China hancur dalam kemuflisan dan kebuluran pada tahun 1840, begitu juga dengan bahayanya arak jika dibiarkan keterlaluan menguasai budaya dan cara hidup masyarakat hari ini. Bagaimana budaya kita pada hari ini menentukan arah dan hala tuju masa depan yang sedang kita telusuri.

Advertisements