teacher.gif
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

PANTUN empat kerat di atas membawa maksud: menuntut ilmu biarlah dengan cara yang betul dan bersungguh-sungguh. Jika tidak, ilmu yang dituntut akan hilang atau sia-sia begitu sahaja. Manusia dituntut mencari ilmu sehingga ke akhir hayat. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:

“Sesungguhnya menuntut ilmu itu merupakan kewajipan bagi setiap Muslim.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Ilmu diperoleh dari pelbagai sumber antaranya melalui pembacaan, penelitian, pentaakulan (pengertian atau kebolehan berfikir dengan logik, pertimbangan yang teliti, keadilan dan kesaksamaan), belajar daripada pengalaman lepas serta yang paling utama menuntut ilmu daripada seseorang yang pakar dalam bidang tertentu yang digelar guru.

Konsep guru merujuk kepada seseorang yang mengajar dan mendidik sama ada untuk mencapai kejayaan akademik atau kemuliaan akhlak. Guru ada di mana-mana. Ibu bapa boleh menjadi guru yang paling baik buat anak-anaknya. Seorang kakak atau abang boleh menjadi guru kepada adik-adiknya.

Masyarakat juga boleh bertindak sebagai guru sekiranya wujud kerencatan dalam kelompok sosialnya. Hakikatnya, semua orang bertindak sebagai guru dalam kehidupannya. Guru dalam konsep ini lebih kepada tugas ingat-mengingati, saling mencerna pemikiran melalui pengalaman, mendidik dan mendisiplinkan diri sendiri dan orang lain serta mengajar sesuatu yang berlaku dalam hidup dengan penerimaan yang baik.

Pada zaman dahulu, tugas guru cukup luas. Mereka bebas menggunakan apa cara sekalipun untuk mendidik anak bangsanya. Guru menjadi antara orang yang paling penting dalam masyarakat dan negara. Apatah lagi pada masa dahulu peranan media cukup terhad. Penggalian ilmu tidak sehebat sekarang. Dulu, guru adalah satu-satunya sumber pengetahuan dan menjadi tempat rujukan bagi semua pihak. Guru dipandang mulia. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan, pada zaman dahulu guru setaraf dengan seorang ulama.

Jika seorang guru merotan pelajar, tidak lain tidak bukan, pelajar itu memang bermasalah. Ibu bapa merasa malu dan terhina kerana anaknya dirotan. Mereka merasa seolah-olah mereka tidak menjalankan tugas sebaiknya sebagai ibu bapa semasa anak-anak berada di rumah. Oleh itu, mereka bertindak merotan anak mereka walaupun anak tersebut sudah menerima hukuman di sekolah.

Itu adalah situasi pada zaman dahulu. Kini sekolah seolah-olah bukan menjadi tempat menuntut ilmu yang baik seperti zaman dahulu. Guru-guru yang mengajar pula dipandang sebagai seseorang yang digaji untuk menjaga anak-anak muridnya. Kehormatan pihak sekolah dan guru tercalar akibat tindakan sesetengah pihak yang tidak faham tugas dan peranan sebenar sekolah iaitu satu institusi untuk menjadikan seseorang itu sebagai manusia yang bertamadun.

Hari ini, sekolah sudah tidak dapat berfungsi dengan sepatutnya. Sekolah menjadi tempat menghabiskan masa selama setengah hari. Sekolah juga menjadi ‘medan pertempuran’ kaki samseng dan perosak akhlak yang akhirnya merosak jiwa pelajar-pelajar yang lain. Pendek kata, sekolah menjadi lokasi terbaik untuk membuang masa. Ilmu yang digali bukan bersumberkan guru yang mengajar di sekolah semata-mata tetapi pelajar masa kini lebih teruja dengan ledakan teknologi maklumat yang menjanjikan pelbagai ilmu baru, perkara baru, pengalaman baru dan juga dunia baru kepada mereka walaupun kebenaran sesuatu yang ‘baru’ itu tidak jelas.

Begitu juga dengan guru-guru yang kadangkala bertindak mengikut emosi sehingga kreadibiliti mereka sebagai pendidik anak bangsa tercalar teruk. Kedegilan dan kelakuan ‘kurang ajar’ pelajar semakin menggila sehingga guru-guru yang menanam azam untuk mendidik anak bangsa dengan ikhlas sejak dari awal kerjayanya, menjadi bungkam dan seterusnya menjalankan tanggungjawab untuk mengajar seadanya sahaja.

Ditambah lagi dengan campurtangan daripada pihak-pihak luar yang kadangkala tidak mengerti langsung konsep menuntut ilmu dan sistem pembelajaran yang syumul (menyeluruh). Campur tangan itu seterusnya memporakperandakan lagi institusi pendidikan yang sedia retak menanti belah. Karenah birokrasi dan peranan media yang tidak terkawal menjadikan guru semakin terhimpit, pelajar pula bebas melakukan apa sahaja tanpa bimbingan dan sistem sosialisasi yang betul dan ibu bapa pula dengan sewenang-wenangnya mencampakkan segala tanggungjawab mendidik itu kepada guru sepenuhnya.

Guru terhimpit antara tanggungjawab sosial yang harus dipenuhi dengan emosi yang tidak tenang. Perang dingin antara ibu bapa dengan guru disebarluaskan oleh media tanpa ada rasa bersalah kerana menjadi batu api antara pihak guru dengan ibu bapa. Sepatutnya hubungan ini tersusun bak batu bata yang sukar pecah walaupun dihempas ombak. Seharusnya hubungan ini juga bak aur dan tebing yang saling lengkap melengkapi dan perlu memerlukan antara satu sama lain.

Ibu bapa keluar bekerja, menghantar anak ke sekolah dengan harapan agar guru di sekolah dapat mengambil alih tugas mereka sementara mereka berhempas pulas mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak mereka. Kepercayaan antara ibu bapa dan guru sudah terbukti sejak dahulu lagi. Seringkali apabila membaca atau menonton cerita-cerita lama, kita akan dipaparkan dengan babak ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah dan memberi pesan kepada anak supaya mendengar kata guru. Kepada guru pula mereka berpesan anak mereka diajar sebaiknya, gunakan rotan jika anak mereka tidak mendengar kata.

Wajarkah guru menggunakan disiplin merotan sebagai cara mendidik pelajar pada zaman ini? Menurut bancian yang dilakukan oleh Utusan online, mendapati 57.2% pembaca bersetuju dengan kenyataan bahawa pelajar zaman sekarang terlalu manja. Sehubungan dengan itu, seramai 57.5 peratus pembaca juga bersetuju agar Kementerian Pelajaran mengkaji semula hukuman merotan pelajar yang mempunyai masalah disiplin di khalayak ramai (public canning).

Perang dingin antara guru, pelajar dan juga ibu bapa dipaparkan oleh media menjadi suatu santapan yang memedihkan hati dan mencalar jiwa banyak pihak. Segelintir guru yang dikuasai emosi didakwa mendera pelajar dengan hanya kesalahan kecil seperti tidak membuat kerja rumah, membuat bising dan sebagainya. Pelajar juga sudah berani mengangkat tangan mencederakan guru yang cuba menegur perilaku buruk mereka.
Manakala ibu bapa pula mengambil tindakan menyaman guru yang menghukum anak mereka.

Apa yang lebih mengejutkan baru-baru ini, terdapat ibu bapa yang sanggup memfitnah pihak sekolah melalui saluran media cetak. Tindakan melampau keluarga pelajar itu sudah pasti membangkitkan rasa marah pihak sekolah terutamanya Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Peng menegaskan bahawa mereka telah mengumpulkan bukti untuk mendakwa ibu bapa pelajar tersebut di mahkamah kerana membuat laporan palsu dan menjatuhkan maruah guru kepada pihak media.

Semuanya jadi serba tidak kena. Tujuan menuntut dan memberi ilmu terputus. Ini seterusnya membawa kepada kepincangan yang ketara. Guru berperang dengan pelajar, pelajar menjadi samseng dengan mencederakan guru dan rakan yang lain, ibu bapa menyaman guru, pihak sekolah menyaman ibu bapa dan sebagainya.

Rantaian krisis antara ibu bapa, guru dan juga pelajar tidak akan berhenti selagi ketiga-tiga pihak tidak mahu berbincang secara baik. Mereka harus berbincang dan mengimbas semula perjalanan seseorang individu dalam melengkapkan diri sebagai seorang manusia. Perjalanan yang jauh itu memerlukan suatu ikatan yang kukuh dan padu antara ketiga-tiga pihak. Ibu bapa, pelajar dan guru tidak seharusnya berada dalam situasi kekacauan kerana ini akhirnya akan memincangkan proses sosialisasi (hubungan kemasyarakatan) seseorang.

Ibu bapa harus berpijak di bumi nyata. Anak-anak adalah penyambung generasi yang harus dididik dengan sebaiknya walau sesibuk manapun anda mencari rezeki. Kembali kepada fitrah manusia yang ingin disayangi dan dikasihi melalui pendidikan yang sempurna dari aspek jasmani dan rohani. Ibu bapa harus sentiasa belajar untuk mengajar anak-anak. Tidak sesekali menurut emosi, sanggup menerima teguran dan nasihat dari guru mahupun anak-anak sendiri serta menjadikan al-Quran sebagai rujukan untuk menjadi ibu bapa yang baik dan bertanggungjawab.

Jadikan Nabi Muhammad sebagai model untuk melahirkan insan yang kamil. Imbas juga cara yang digunakan oleh orang-orang lama untuk mendidik anak-anak mereka. Ibu bapa dulu-dulu tidak berpelajaran, namun, anak yang dihasilkan cukup berkualiti dan berakhlak. Gunakan kaedah yang sesuai dalam mendidik anak-anak. Bukankah Ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dengan anak-anak? Sudah pasti proses pendidikan itu dapat dijalankan sebaiknya.

Guru harus bertindak bijak selaras dengan gelarannya –guru sebagai pendidik. Wujudkan hubungan akrab dengan semua pelajar. Ikhlas ketika mengajar dan sentiasa berdoa agar apa yang disampaikan kepada pelajar terus tersemat dan menjadi bekalan kepada mereka sehingga bila-bila. Jika berlaku perselisihan faham, selesaikan dengan cara yang berhikmah. Merotan bukan cara terbaik untuk mendidik pelajar zaman sekarang.

Menghukum pelajar bukan dengan memberi kesakitan tetapi faedah kepada kedua-dua pihak. Contohnya, pelajar yang membuat bising atau tidak membuat kerja rumah diminta mencabut rumput liar di padang, membersihkan kawasan tertentu ataupun membuat kerja-kerja kebajikan. Keterpaksaan pelajar akan mengubah mereka untuk menjadi manusia yang pandai berfikir. Guru harus membimbing pelajar bukan sahaja untuk berjaya dalam bidang akademik tetapi juga pembinaan akhlak yang mulia.

Sistem pendidikan dan Peraturan-Peraturan Disiplin (Pelajar) 1957 juga harus diubah mengikut situasi semasa. Sebagaimana kata Profesor Emeritus Dato’ Dr Khoo Kay Kim bahawa sistem pendidikan di Malaysia kolot. Beliau juga menjelaskan bahawa sekolah zaman sekarang tidak menanam keazaman, semangat juang, cintakan negara dan juga tidak mencabar daya fikir pelajar. Sistem pendidikan juga dikatakan telalu ‘exam-oriented’ sehingga menenggelamkan bakat dan peribadi sebenar seseorang pelajar, tidak kritikal dan intelektual serta tidak ada budaya. Sistem sosialis iaitu konsep sama rata, sama rasa yang diamalkan di sekolah melahirkan insan yang statik.

Penglibatan media dan individu tertentu yang bertindak dengan motif politik atau kepentingan peribadi harus dikawal. Media tidak seharusnya bertindak sesuka hati memaparkan sesuatu berita tanpa pengesahan daripada pihak sekolah mahupun pihak berkuasa yang berkaitan. Manakala, individu tertentu yang mencampuri urusan sistem pendidikan atas dasar kepentingan peribadi harus sedar tindakan mereka hanya mengeruhkan keadaan.

Berilah ruang kepada ibu bapa dan pihak sekolah merapatkan jurang antara mereka. Biarkan ibu bapa dan guru bertindak sebagai pendidik kerana anak atau pelajar adalah tanggungjawab mereka sampai bila-bila. Ibu bapa, guru, dan pelajar – mereka adalah guru walaupun pada diri sendiri.

* “Guru O Guru”

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

* Sajak karya SN Dato’ Dr Usman Awang