Suatu waktu dulu saya pernah menulis satu entri yang berkaitan dengan muzik Malaysia dengan musik muzik Indonesia. Melalui entri tersebut saya mengatakan ‘keseronokan’ saya mendengar muzik dari Indonesia berbanding muzik dari Malaysia.

Saya jelaskan di sini, keseronokan itu bukanlah kerana muzik Indonesia lebih baik dari muzik di Malaysia. Saya berasa selesa dan kadangkala santai mendengar lagu-lagu Indonesia kerana pada waktu itu saya terasa nak mendengar dan lagu Indonesia itu memang kena dengan jiwa saya dan perasaan saya pada waktu itu.

Pada saya, tiada bezanya antara lagu Indonesia atau Malaysia atau lagu-lagu yang dihasilkan oleh mana-mana negara pun. Masing-masing ada kelemahan dan kelebihan tersendiri. Setiap lagu mempunyai cerita dan cara dinyanyikan. begitu juga dengan senikatanya. Untuk memperkatakan tentang ciri-ciri dalaman sesebuah lagu yang akhirnya mengangkat sebuah lagu itu menjadi lagu yang baik, saya bukanlah orang yang tepat untuk memperkatakannya.

Walau bagaimanapun, saya ingin berkongsi pandangan dengan pembaca di luar sana mengenai komen yang diberikan oleh warga Indonesia sendiri mengenai lagu mereka dan dunia mereka.

Kalo saya lihat dan dengar musik malaysia tidaklah jelek..tapi musiknya cenderung monoton begitu juga dengan liriknya (Maaf) terlalu cenggeng…so saya harap musisi malaysia harus lebih giat lagi mengexplore dan bereksperimen…

…….Tapi album malaysia pirates pun tak laku…apatah lagi original. Tak kira berapa harganya pendengar malaysia tetap membeli album indonesia, paling tidak pun, muat turun dari internet. Emmm sesuatu yang sangat mencabar bagi industri muzik kita untuk bersaing. Lagu indonesia…Formulanya segar+menarik+pelbagai variasi+lirik yang simple….

….rakyat Indonesia adan terasa sangat aneh bahkan tertawa jka mendengar Bahasa melayu yang benar2 sangat asing ditelinga. dengan dialek dad pengucapan yang sangat kental logat melayu akan terdengar sangat aneh. maka dari itu tak satupun film malaysia masuk pasaran perfilman Indonesia.

Malaysia memang harus banyak belajar banyak dari Indonesia mengenai musik. Kami memang memiliki musisi_musisi yang handal dan berkualitas. Dari mulai penyayi, pencipta lagu, komposer dll. Siti Nurhaliza pun “memakai” Erwin Gutawa saat konser di London. Begitu juga dalam pembuatan Video Clip. Bahkan beberapa penyanyi Malaysia ada yang minta dibuatkan lagu oleh Melly Goeslaw dan Ahmad Dhani. Lagu-lagu Malaysia monoton, tidak berkembang, mendayu-dayu, cengeng dan liriknya tidak berkualitas. Penyanyi rock tapi nyanyinya lembek dan cengeng… please deh… gak banget gitu loh… Apa cuma Siti Nurhaliza saja yang bagus? Jadi jangan cuma bisa protes dan menggerutu. Berkacalah dari musik kami. CAYO…MUSIK INDONESIA…!!!! ADA APA DENGAN MUSIK MALAYSIA????

tu soal karyanya itu sendiri,,,orang-orang indonesia suka sama sesuatu yang baru apalagi klo dari luar,,klo misalnya muzik or filem dari malaysia yang masuk ke indonesia itu sama aja kaya karya- karya dari indonesia knapa haruz dinikmati,,,soal lirik lagu malaysia,, saya pernah dengar salah astu penyanyi malaysia tapi saya lupa namanya,, selagi saya mendengarkan lagunya saya coba nikmati tapi gag bisa mungkin karna liriknya yang susah buad di cerna,, ibaratnya kalo kata orang indon,” berad banged bahasanya “..gitu jadi orang indonesai gag suka sama karya- karya yang terlalu banyak aturannya,,,

Ermm…Segala apa yang dilontarkan oleh mereka ada benarnya. Tetapi soal mengkritik lagu Malaysia sebagai tidak berkualiti, sukar di fahami dan cengeng, amat mengelirukan saya. Mungkin ada di luar sana pengkarya dari Malaysia yang boleh menjawab kata-kata sebegitu.

Benarkah kualiti lagu dan seni dari Malaysia begitu lakunya. Malah pengkritik ini juga mengatakan bahasa Malaysia amat ‘keras’ bunyinya pada pendengaran mereka.

Aduhai, saya sendiri hairan mengapa kebanyakan artis Indonesia ‘bisa’ bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik apabila ditemuramah oleh wartawan Malaysia. Malah lagu-lagu yang dinyanyikan yang selalu berkumandang di Malaysia juga tidak banyak bezanya dengan bunyi bahasa yang dituturkan oleh rakyat Malaysia. Malah, tidak keterlaluan dikatakan bahawa nasib mereka lebih baik di Malaysia berbanding di Indonesia. Mengapa harus dipertikaikan Bahasa Malaysia yang sememangnya serumpun dengan Bahasa Indonesia adalah berasakan induk yang sama iaitu Melayu?

Kebanjiran karya dari Indonesia di Malaysia mengandungi beberapa peristiwa di sebaliknya. Antaranya :

  • Peranan Media eletronik dan bercetak yang sering memutarkan lagu-lagu Indonesia
  • Permintaan yang tinggi menyebabkan lagu Indonesia diputarkan dengan kerap katanya…tanpa mereka menyelidik permintaan itu dari rakyat Malaysia sendiri atau warga Indonesia yang bergelar PATI dan PADI yang jumlahnya melebihi dua juta orang di MAlaysia.
  • Kata mereka lagu Malaysia cengeng. Kebanjiran lagu Indonesia memberi kesan kepada rakyat Malaysia bahawa ‘kita sebenarnya sama sahaja’. Lagu Indonesia sudah mula menampakkan kecengengannya juga.
  • Katanya filem dari Malaysia tidak berkualiti..alahai, lihat sahaja filem My Heart dan Love is CINTA yang mendapat kritikan dari pelbagai pihak kerana jalan cerita yang terlalu ringkas, tergantung, tak masuk akal dan sebagainya. Bukankah kita sama-sama sedang belajar.

Sebenarnya antara kita (Malaysia dan Indonesia), tidak banyak bezanya. Kita sama, serupa, dan serumpun. Bahasa kita atau bahasa mana-mana negara sekalipun mempunyai nilai tersendiri yang dinamakan ‘trademark’.

Pandangan negatif mengenai muzik Malaysia selalunya berlandaskan ‘rasa sendiri’ yang tidak suka pada rentak sebegitu atau sebegini.

Bayangkanlah jika kita tak suka mendengar lagu Melayu tradisional, sudah pasti kita akan kata lagu tradisional tersebut entah apa-apa atau terlalu lembik, mendayu dan tak bersemangat. Sedangkan lagu Melayu tradisional memang begitu sifatnya, ada nilai estetika tersendiri dan keunikan tersendiri. Begitu juga lagu rock. Bukan semua orang menyukai genre ini. Bagi mereka yang suka sudah pasti pujian setinggi gunung dapat diberi untuk menerangkan kehebatan muzik rock. Bagaimana pula dengan pakcik-pakcik atau makcik-makcik atau sebilangan orang yang tidak ‘masuk’ dengan muzik rock? Bukan sahaja kutukan dan pandangan negatif akan dilemparkan malahan mereka akan segera menutup radio jika muzik rock diputarkan oleh dj.

Persoalan baik atau buruk sesuatu muzik atau kualiti sesuatu lagu serta lembut kasarnya sesuatu bahasa bergantung kepada minat, citarasa, atau jiwa orang yang mendengarnya. Mengkritik berdasarkan rasa jiwa bukanlah kritikan yang baik. lebih baik jika kritikan tersebut disokong oleh fakta yang berupa ilmiah atau bukti konkrit.

Mungkin ada di kalangan pembaca blog saya yang pakar dalam bidang karya seni, bolehlah memberi pendapat agar tidak timbul persoalan siapa baik dan siapa buruk.