ISU Pendatang Asing Dengan Izin (PADI) atau Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bukan satu isu baru atau fenomena yang akan tenggelam dalam tempoh tertentu. Hakikatnya, ia merupakan isu lapuk yang tiada berkesudahan dan sentiasa berkembang dari hari ke hari. Lapuknya isu ini bersangkut hal kebergantungan Malaysia kepada guna tenaga asing dan juga kesan-kesan kedatangan warga asing ini ke Malaysia demi memenuhi tuntutan ekonomi yang sedang berkembang pesat di negara ini.

Tidak mengejutkan apabila dikatakan jumlah pekerja asing dalam pelbagai sektor di negara ini kini lebih ramai daripada masyarakat India, iaitu kaum ketiga terbesar di Malaysia. Berdasarkan statistik sehingga 30 Jun lalu yang dikeluarkan Jabatan Imigresen dan Bahagian Perangkaan Demografi, Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pekerja asing mencecah 1.91 juta, manakala masyarakat India 1.88 juta. (Berita Harian, 12 Ogos 2007)

Kebergantungan Malaysia terhadap pekerja asing amat tinggi terutama dalam sektor perkhidmatan, pembinaan, perladangan, dan pembuatan. Keadaan itu amat menguntungkan kedua-dua belah pihak, iaitu negara Malaysia dan juga pekerja asing yang datang dari pelbagai negara seperti Indonesia, Nepal, Myanmar, Bangladesh, Vietnam, China, Sri Lanka, Thailand, Kemboja, Pakistan, dan lain-lain lagi. Bagaimanapun, kemasukan secara beramai-ramai dengan izin dan tanpa izin ini menjadikan negara kita semakin pening dengan kesan-kesan yang wujud.

Sepanjang tahun 2005, Malaysia menghantar sekurang-kurangnya RM 5 bilion hingga RM 7.2 bilion wang ke negara asal masing-masing. Jumlah itu pula semakin meningkat dari tahun ke tahun. Jumlah yang besar ini harus ditanggung oleh Malaysia memandangkan keperluan sumber manusia di Malaysia yang tidak mencukupi.

Dikatakan suatu waktu dahulu, Malaysia menyenaraikan jumlah pengangguran di kalangan warga tempatan dengan angkanya agak membimbangkan. Adakah jumlah ini berkaitan dengan pengambilan warga asing yang tidak dikawal?

Daya saing dan semangat bekerja tanpa mengira penat, bahaya atau kotornya sesuatu pekerjaan membuatkan warga asing menjadi pilihan majikan di Malaysia. Daya saing di kalangan warga asing juga amat tinggi berikutan kemiskinan di negara asal ataupun desakan hidup yang semakin menghimpit yang membuatkan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan pekerjaan di Malaysia.

Majikan di Malaysia pula cenderung menggaji pekerja asing kerana memerlukan tenaga pekerja yang ramai seperti di kilang, tapak pembinaan, dan sektor pembuatan.Ditambah lagi dengan pembayaran gaji yang agak rendah dan kebajikan warga asing yang tidak begitu diambil kira, menjadikan kedatangan warga asing dialu-alukan oleh majikan-majikan di Malaysia.

Apatah lagi, warga tempatan sendiri tidak berminat mengisi kekosongan kerja-kerja yang dianggap berisiko, kotor, bahaya dan menawarkan gaji yang rendah. Mereka lebih rela menganggur daripada melakukan kerja-kerja berat dalam sektor pembinaan atau perladangan. Kerja sebagai pembantu rumah pula hanya dipandang sebelah mata kerana dianggap terkongkong, waktu kerja yang panjang dengan gaji yang murah, layanan seperti hamba dan membosankan berada di rumah sepanjang hari.

Bagi yang berpendidikan pula, kerja kilang atau buruh kasar di tapak pembinaan sudah semestinya tidak sepadan dengan pendidikan yang mereka terima. Terdapat juga majikan yang mengambil pekerja asing kerana kepakaran mereka (selalunya dalam bidang sains dan teknologi) tidak terdapat pada warga tempatan.

Pekerja asing tidak releven dengan isu pengangguran yang berlaku di Malaysia. Namun, kita tidak boleh memandang sebelah mata kesan kebanjiran pekerja asing di negara ini meliputi masalah sosial dan penyakit yang dikhuatiri berpunca daripada pendatang tanpa izin yang sudah semestinya tidak menggunakan saluran dan prosedur yang betul memasuki Malaysia.

Bukan sedikit kes yang berkaitan dengan jenayah yang dilakukan oleh pendatang asing ini. Di penjara sahaja, dikatakan 24,000 daripada 49,000 penghuninya adalah warga asing dengan pelbagai kesalahan termasuk merompak, meragut, membunuh, dan memperkosa. Itu belum lagi kos penyelenggaraan yang terpaksa dikeluarkan untuk ‘menyara’ lebih daripada 10,000 warga asing yang berada di depoh tahanan Jabatan Imigresen kerana ketiadaan visa dan permit.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan melihat semula situasi yang berlaku ini dan memantau serta menyelesaikan dengan bijaksana segala kesan yang wujud akibat kebanjiran tenaga asing di Malaysia. Umpama menarik rambut dalam tepung di mana rambut tidak putus, tepung pula tidak berselerak, begitulah juga kaedah yang harus digunapakai oleh kerajaan dalam memelihara keharmonian dan kepentingan kedua-dua belah pihak.

Perkara ini perlu difikir sedalam-dalamnya dengan bukan hanya memandang kepada majikan yang memerlukan pekerja asing bagi memenuhi keperluan ekonomi mereka, malah melihat semula bagaimana modal insan tempatan harus dijana untuk mengisi kekosongan sektor pekerjaan di Malaysia.

Sudah tiba masanya kerajaan melihat statistik pengangguran warga tempatan di Malaysia yang dikatakan mencecah 90,000 orang. Begitu juga statistik yang memaparkan kira-kira 242,190 atau 3.8 peratus daripada 6.3 juta pelajar sekolah di seluruh negara gagal menamatkan persekolahan mereka sehingga ke tingkatan lima. Di manakah mereka ini?

Pemaparan statistik ini bukan untuk dipolemikkan di dewan persidangan parlimen atau menjadi perbalahan di pejabat –pejabat menteri ataupun menjadi topik hangat di kedai-kedai kopi. Statistik itu menunjukkan bahawa pihak yang bertangggungjawab untuk menjana modal insan demi kepentingan ekonomi, harus bangkit dan menjejaki golongan yang tercicir ini untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing.

Mengambil contoh sektor perkhidmatan seperti pembantu rumah, banyak perkara boleh dilakukan untuk mengurangkan kadar penggunaan pekerja asing. Menurut Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho, terdapat kira-kira 310, 661 pembantu rumah di Malaysia. Manakala, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar pula menyatakan negara masih memerlukan 100,000 pembantu rumah dalam masa terdekat ini untuk mengisi permintaan semasa.

Mungkin juga cadangan menaikkan taraf kerjaya pembantu rumah kepada profesion yang dihormati boleh dikaji dengan lebih mendalam (Berita Harian, 3 Ogos 2007). Pembantu rumah yang seringkali dilayan seperti hamba, gaji yang rendah, wujud unsur-unsur deraan secara fizikal (mencederakan dan mangsa seksual) dan mental serta fenomena skeptikel yang lain harus dihentikan.

Majikan dan pembantu rumah harus diikat dengan kontrak atau undang-undang sosial. Ini seterusnya akan mengubah persepsi masing-masing terhadap peranan yang dipertanggungjawabkan dan seterusnya mengubah pandangan masyarakat terhadap kerjaya sebagai pembantu rumah.

Menaikkan taraf pembantu rumah dengan anjakan gaji yang lebih baik daripada RM 450 sebulan kepada RM700 sehingga ke RM 900, mungkin boleh menarik minat warga tempatan yang menganggur. Insentif-insentif lain seperti kos penginapan, perubatan, cuti dan makanan boleh dibincangkan dengan lebih mendalam dalam usaha menaikkan taraf pembantu rumah.

Manakala rekod layanan buruk majikan di Malaysia terhadap pembantu rumah dan juga jenayah yang dilakukan oleh pembantu rumah terhadap majikan, boleh dihapuskan apabila kedua-dua pihak (majikan dan pembantu rumah) diwajibkan menandatangani satu kontrak undang-undang bagi memelihara keharmonian kedua-dua belah pihak.

Begitu juga dengan sektor-sektor lain seperti pembuatan, pembinaan dan perladangan yang memerlukan kajian secara tuntas untuk menarik minat warga tempatan mengisi kekosongan sumber manusia di sektor-sektor berkenaan. Polisi yang disediakan oleh kerajaan juga harus komprehensif dan seragam agar tidak berlaku percanggahan undang-undang yang melibatkan kebajikan pekerja.

Apa yang difikirkan lebih baik ialah majikan yang memerlukan tenaga kerja yang ramai dan tidak mendapat sambutan di kalangan warga tempatan harus berusaha sendiri membawa warga asing ke Malaysia. Usaha ini termasuklah menyatakan jumlah warga asing yang diperlukan, mendaftarkan mereka secara terus dengan pihak berkuasa serta urusan levi, visa dan permit yang dilakukan sendiri oleh majikan. Oleh hal yang demikian itu, tidak timbul isu lebihan pekerja asing yang akhirnya tidak bekerja dan melakukan jenayah untuk meneruskan hidup di Malaysia.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar, berkata pertambahan pekerja asing memang tidak dapat dielakkan, terutama dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) yang memerlukan lebih 1.2 juta pekerja baru bagi memastikan semua sektor dapat digerakkan dengan lancar.

Jelas di sini bahawa, Malaysia amat memerlukan warga asing untuk mengisi keperluan sektor-sektor yang kritikal seperti perkhidmatan, pembinaan, dan perladangan. Namun, kebanjiran warga asing yang tidak dikawal menjadi satu musibah dan kerugian yang ditanggung oleh Malaysia melalui pengaliran wang yang keluar dan juga kesan-kesan akibat jenayah yang dilakukan oleh mereka.

Begitu juga dengan warga tempatan yang dikatakan ‘merempat di bumi sendiri’ (menganggur) dan hilang entah ke mana (mungkin di penjara). Keengganan warga tempatan dan kemanjaan mereka dalam memenuhi kekosongan sektor-sektor tertentu, menyebabkan kerajaan menanggung kerugian. Malah kita sendiri melenting apabila warga kita terbunuh, diperkosa atau teraniaya oleh warga asing, tanpa menyedari bahawa kita yang mempelawa mereka datang ke Malaysia, mengaut keuntungan dan memijak kepala kita. Siapa sebenarnya yang menjadi keperluan dan menyebabkan pembaziran. Mereka yang dihidangkan dengan ‘menu’ lazat dari Malaysia atau kita yang menyediakan ‘menu’ itu?

Melihat kepada situasi terkini, tindakan yang diambil oleh kerajaan dalam membendung atau mengurangkan kebanjiran pekerja asing seolah-olah menangkap bayang-bayang. Jangan kerana hendak meneruskan program pembangunan, kita mengenepikan sumber manusia yang merempat di bumi sendiri.

Warga tempatan tidak seharusnya terlalu memandang rendah kepada sesuatu pekerjaan. Tidak salah mencuba bidang-bidang seperti pembantu rumah, pembuatan, perladangan atau pembinaan jika tiada pilihan selain menganggur. Bukanlah itu lebih baik daripada kita melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah dan memudaratkan orang lain. Sudah tiba masanya warga tempatan mengubah persepsi terhadap pekerjaan yang dimonopoli warga asing. Fikirkan pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan terhadap warga asing. Fikirkan juga keamanan dan kedaulatan negara yang semakin dipinggir oleh warga asing.

Bagi majikan pula, jangan kerana keuntungan mereka lebih rela mengambil warga asing sedangkan warga tempatan tidak langsung ‘dipelawa’ atau ditolak untuk mengisi ruang kosong itu. Malahan, kerana keuntungan sesetengah pihak juga, warga asing tidak dijaga sepenuhnya sehingga menjadi kudis dalam masyarakat dan seterusnya memerlukan ubat yang mahal untuk mengubati kudis tersebut.

Kerjasama antara kerajaan, majikan-majikan serta warga tempatan dalam mengurangkan penggunaan pekerja asing memerlukan perancangan yang teliti. Bukan sahaja negara dapat menjimatkan kos-kos tertentu melalui usahasama ini, malah pihak polis dan jabatan imigresen juga tidak perlu memeningkan kepala menyelesaikan jenayah yang dilakukan oleh mereka. Keperluan yang wujud di antara majikan dan pekerja harus di isi dan pembaziran yang berlaku akibat kemasukan pekerja asing dapat dikurangkan.