INDUSTRI peruncitan di Malaysia semakin pesat berkembang. Kewujudan pasar raya besar semakin mendapat tempat di hati para pengguna. Pelabur asing pula semakin yakin dan berani menanam modal dengan membina banyak pasar raya besar di negara ini yang menyebabkan persaingan dalam industri peruncitan meningkat hari demi hari.

Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, kebanjiran pasar raya besar bagaikan ‘orang mengantuk di sorongkan bantal’. Ini kerana gaya hidup yang serba- serbi cepat dan pantas memerlukan warga bandar berbelanja dengan bijak. Bijak dari aspek tuntutan masa dan juga wang ringgit. Nama seperti Carrefour, Tesco, Jusco, Giant, dan sebagainya sudah tidak asing lagi.

Konsep hipermarket atau pasar raya yang dinaungi oleh pelabur asing dikatakan berjaya menarik perhatian pengguna dan pembeli di Malaysia. Melonggokkan atau mempamerkan pelbagai barangan keperluan harian, perkakasan dan peralatan, automobil, perkhidmatan, dan juga hiburan dalam satu bumbung yang berkeluasan 80,000 kaki persegi, memberi kelebihan terutama bagi pengguna yang berkeluarga. Ditambah lagi promosi secara besar-besaran, keselesaan mendapatkan barangan dan kemudahan tempat meletak kereta, menjadikan hipermarket ini menjadi pilihan utama pengguna dan pembeli.

Secara tidak langsung, perkembangan sebegini memberi kesan terhadap golongan peruncit tempatan khususnya peruncit Melayu terutama dalam aspek keuntungan, pinjaman/modal, kos pengurusan, pembekal dan pekerja, pelanggan serta tempoh perniagaan. Walaupun terdapat kajian yang menunjukkan pembukaan hipermarket memberi kesan yang sederhana terhadap perniagaan peruncit Melayu, sesuatu harus dilakukan oleh peruncit Melayu agar aliran perniagaan mereka berjalan dengan lancar atau sekurang-kurangnya tidak bankrap.

Umum mengetahui bahawa masyarakat Melayu bukanlah dilahirkan sebagai peniaga. Kelebihan mempunyai tanah yang luas, bermastautin dan juga diberi keistimewaan tertentu sejak zaman kesultanan membuatkan orang Melayu cenderung kepada ekonomi pertanian, hasil laut dan mencari hasil hutan. Sejarah juga ada menyebut bahawa, pada era Inggeris, mereka mengamalkan dasar terbuka iaitu menggalakkan kedatangan orang Cina dari Tanah Besar China dan juga orang-orang India untuk mengisi kekosongan sebagai buruh atau membuat jalan raya.

Oleh hal yang demikian itu, orang Cina dan India berlumba-lumba bekerja di lombong-lombong, menjalankan perniagaan keluarga yang dibawa dari China serta menjadi buruh untuk membina jalan raya. Kemiskinan negara asal serta tawaran gaji yang lebih besar di Malaysia membuatkan mereka menjadi pendatang yang berjaya sehingga mendapat taraf kewarganegaraan selepas Malaysia merdeka.
Orang Melayu pula lebih selesa mengerjakan tanah tani, menjadi nelayan dan juga mencari hasil hutan. Ini adalah pekerjaan tradisi nenek moyang mereka. Malahan selepas merdeka juga mereka lebih terarah kepada bidang pertanian dan bekerja sendiri. Pekerjaan yang berlandaskan makan gaji juga menjadi pilihan masyarakat Melayu waktu itu seperti menjadi posmen, mata-mata, kerani dan yang lebih baik menjadi guru. Jika mereka berniaga pun, perniagaan itu bukan berlandaskan keuntungan utnuk mengumpul harta tetapi sekadar berniaga secara kecil-kecilan untuk menyara hidup.

Dasar pecah dan perintah oleh Inggeris benar-benar memberi kesan kepada masyarakat Melayu sehingga kini. Masyarakat Cina terus berjaya dengan perniagaan mereka, India dengan estet-estetnya serta Melayu dengan kerja kampung (pertanian), makan gaji atau berniaga secara kecil-kecilan. Tetapi itu tidak bermakna masyarakat Melayu harus mengikut atau terikut dengan budaya yang ditetapkan oleh Inggeris suatu waktu dahulu.

Tidak dinafikan masyarakat Melayu kini tidak lagi tertumpu kepada satu pekerjaan tetapi telah melewati pelbagai sektor pekerjaan termasuk bekerja dengan kerajaan dan swasta dalam pelbagai bidang serta yang paling utama telah menceburi bidang perniagaan. Ramai peniaga Melayu telah dinobatkan sebagai peniaga yang berjaya, malah ramai juga yang kecundang dan diisytiharkan bankrap.

Jika dulu peruncit Melayu menghadapi persaingan dengan peniaga Cina, kini mereka sekali lagi terpaksa bersaing dengan pelabur-pelabur asing yang datang membawa satu episod baru kepada dunia niaga iaitu membuka gedung perniagaan yang besar yang memuatkan pelbagai barangan untuk pengguna.

Kemunculan hipermarket dan persaingan dengan peniaga bukan bumiputera memberi kesan secara mental, fizikal dan sikap kepada peniaga Melayu. Begitu juga dari segi psikologi dan kemahiran. Hipermarket mempunyai sistem pengurusan yang sistematik dan lebih baik dan ini merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kejayaan hipermarket dalam menguasai industri peruncitan tempatan.

Umum mengetahui bahawa peniaga Melayu sering diperlekehkan atas isu produk yang tidak berkualiti, sikap dan layanan kepada pelanggan, terlalu mudah menghabiskan modal, mempunyai sifat dengki dan khianat yang tinggi terhadap pesaing dan sebagainya. Pendek kata peniaga Melayu tidak pandai berniaga.

Peniaga Melayu sebenarnya mampu bersaing dengan peniaga bukan Melayu dalam dunia perniagaan masa kini. Apatah lagi dengan kemudahan dari aspek peminjaman modal dan tempat berniaga yang disediakan oleh kerajaan, menjadikan peruncit Melayu tidak harus menuding jari kepada mana-mana pihak atas kegagalan perniagaannya. Situasi masa kini juga mengajar mereka bahawa ‘siapa yang berani dan berusaha akan berjaya’.

Malahan kewujudan hipermarket juga tidak begitu memberi kesan kepada untung rugi peruncit tempatan kerana di dalam hipermarket tersebut juga diletakkan banyak produk-produk tempatan hasil dasar dan langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan tempatan dalam memelihara kesinambungan peruncit tempatan.

Berbanding dengan produk niaga lain, barangan makanan merupakan produk yang paling mudah diselenggara dan dijual. Ini kerana kita mempunyai sumber makanan yang mencukupi dan mudah diperolehi. Apatah lagi bagi masyarakat Melayu yang amat mementingkan soal pemakanan yang dikaitan dengan aspek halal-haram dan seterusnya membentuk keberkatan dalam hidup.

Jika diteliti, premis menjual makanan oleh peniaga Melayu boleh dikunjungi oleh pelbagai kaum, berbeza dengan premis yang diusahakan oleh kaum Cina dan India. Budaya dan agama membataskan makanan-makanan tertentu untuk masyarakat Melayu dan seterusnya menjadikan mereka memilih hanya kedai makanan yang diusahakan oleh orang Melayu. Sudah pasti dalam aspek ini peniaga makanan Melayu beroleh kelebihan apabila dikunjungi oleh pelbagai kaum.

Bagaimanapun, terdapat peniaga atau peruncit Melayu yang tidak mengambil peluang yang telah disediakan. Produk yang ditawarkan kepada pelanggan bersifat ala kadar. Sekadar mencari keuntungan dan mengurangkan kos, menggunakan bahan yang murah dan tidak terjamin kualitinya seterusnya memberi kesan tidak baik kepada pembeli. Tidakkah mereka sedar bahawa kejayaan sesuatu perniagaan bergantung kepada produk yang diniagakan? Lokasi perniagaan walau diceruk mana pun akan dijejak oleh pembeli jika kualiti produk terjamin.

Walaupun peniaga Melayu semakin bijak serta berani mengendalikan perniagaan masing-masing, masih ramai lagi yang berada di tahap yang sama. Perkembangan perniagaan mereka tidak begitu banyak berubah dan tidak begitu pelbagai. Situasi sebegini mungkin juga berlaku kerana sikap mereka sendiri yang terlalu bergantung kepada bantuan dari kerajaan atau mempunyai minda ‘cukuplah apa yang ada’.

Peluang memasarkan produk memang banyak terutama yang berbentuk makanan. Walaupun kedai makan mamak menjadi pilihan, peniaga Melayu masih mempunyai produk makanan sendiri yang harus dibanggakan kerana ia dihasilkan oleh orang Melayu sendiri, dengan jaminan halal-haramnya.

Dengan cara memasarkan, mengembangkan dan mengukuhkan kedudukan peniaga Melayu di dalam pasaran antarabangsa, masyarakat Melayu tidak perlu lagi bergaduh atau memeningkan kepala memikirkan masalah halal-haramnya sesuatu produk.

Melalui situasi semasa ini, peruncit tempatan seharusnya mengambil peluang dengan mengkaji selok belok bidang perniagaan secara meluas sebelum melibatkan diri secara serius. Persaingan dengan rakan niaga bukan bumiputera, kejayaan ‘restoran mamak’ serta kemasukan pelabur-pelabur asing melalui kewujudan hipermarket menjadi suatu ruang yang sihat untuk peniaga tempatan mengasah bakat dan memperbaiki kesilapan masa lalu.

Bidang pertanian yang menjadi sumber pendapatan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu juga telah dikomersialkan diperingkat global dan menjadi salah satu bidang yang boleh diniagakan. Malah, petani-petani moden masa kini bukan terdiri daripada orang kampung semata, tetapi di pelopori oleh generasi muda yang mempunyai kelulusan dari universiti dalam negara dan luar negara. Usaha kerajaan dalam mempromosi pertanian sebagai suatu perniagaan membuka ruang baru kepada peniaga tempatan untuk menjadi perintis kepada perniagaan berasaskan sumber pertanian yang mewah di negara kita.

Kesungguhan peniaga tempatan yang berbangsa Melayu dalam bersama-sama menerajui bidang perniagaan di tempat sendiri amat dipuji. Untuk mengembangkan perniagaan secara global, mereka memerlukan bukan sahaja modal yang mencukupi tetapi ilmu yang baik serta sokongan dari pelbagai pihak. Kekuatan dan sikap bijak menggunakan peluang yang ada akan memperbaiki tanggapan bahawa ‘orang Melayu tidak pandai berniaga’.

Kehadiran pesaing tidak kira dari luar ataupun di kalangan peniaga tempatan sendiri seharusnya membuka mata peniaga Melayu untuk meluaskan ilmu pengetahuan mengenai perniagaan, bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk memperbaiki kelemahan, lebih cekap dan kerap dalam aspek komunikasi dengan pelanggan, pembekal dan pekerja. Selain itu, mereka juga harus peka dengan situasi semasa serta berfikiran kreatif dan inovatif dalam melaksanakan perniagaan.

Kerajaan juga harus mengawalselia dengan baik kemasukan pelabur asing ke Malaysia agar kedudukan dan perniagaan peruncit tempatan terjamin. Gaya hidup berbelanja yang semakin berubah dan cenderung ke arah hipermarket boleh dikawal dengan memupuk semangat membeli barangan tempatan yang terdapat di pasar raya tempatan seluruh Malaysia. Dengan itu, nasib peniaga tempatan terutamanya yang baru bertatih berniaga akan terjamin, seterusnya meningkatkan semangat mereka untuk terus menawarkan produk dan perkhidmatan yang terbaik.