merdeka.jpg

SEBULAN lagi Malaysia akan menyambut kemerdekaannya yang ke-50 tahun. Ia merupakan satu masa yang agak lama dan panjang. Jika usia itu diletak pada diri seorang manusia, angka 50 tahun merupakan usia yang mantap. Usia di mana seorang manusia telah mengharungi pelbagai liku kehidupan, matang, dan bersedia menghadapi apa jua rintangan yang bakal melanda. Namun, tidak kira berapa lama pun usia tersebut seperti manusia, sesebuah negara juga sentiasa dalam proses belajar dan mengambil iktibar daripada masa lampau dan masa kini, sama ada baik atau buruk.

Mengubah dan membina sebuah negara menjadi ideal tidak semudah mencatatkan pelan pembangunan dan tindakan di atas kertas. Kita mampu mencatat seberapa banyak perkara yang ingin kita lakukan, tapi untuk melaksanakannya harus mengambil kira pelbagai aspek, ditambah lagi dengan halangan-halangan tertentu.

50 tahun menyambut kemerdekaan mengajak kita melihat isi kandungan tempoh kemerdekaan itu. Sudah pasti isi kandungan kemerdekaan yang selalu dilihat oleh mata kasar ialah berkaitan dengan pembangunan infrastruktur serta material yang wujud di Malaysia merangkumi aspek kemajuan, perkembangan dan peningkatan tahap ekonomi, politik, pendidikan, sosial, pemantapan nilai hidup melalui agama serta anjakan paradigma dan daya fikir masyarakat.

Mengimbas kembali zaman sebelum kemerdekaan, memberi banyak pengajaran kepada Malaysia. Era penjajahan dan peperangan memberi kesan yang besar kepada jiwa, semangat dan anjakan pemikiran masyarakat zaman dahulu. Kadangkala perubahan pemikiran itu berlebih-lebih sehingga mewujudkan rasa nasionalisme serta berpuak-puak. Pada masa ini, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dalam melempar jauh semangat perkauman rakyatnya dengan mewujudkan suasana politik, budaya dan kepercayaan yang menggabungkan semua kaum di bawah satu negara.

Mengimbas kembali sejarah perjuangan Malaysia hari ini, ia bermula dengan pembabitan orang Barat (Raja Putih (1841-1946), penaklukan Jepun pada tahun 1942 dan seterusnya mencetuskan Perang Dunia Kedua serta ancaman komunis. Ia menjadi suatu bab yang amat pedih dalam sejarah Tanah Melayu (suatu ketika dahulu). Penjajahan dan peperangan yang berlaku sekitar tahun 1940-an itu memberi kesan yang pelbagai kepada negara serta rakyat.

Antara peristiwa penting yang tidak mungkin dilupakan ialah pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Parit Sulong (1942), kawat kematian di Sandakan (1945), penubuhan Malayan Union oleh British (1946-1948), peristiwa darurat di Tanah Melayu (1948-1960) dan tidak lupa juga peristiwa tanah berdarah Bukit Kepong (1950) serta beberapa peristiwa yang lain. Kemusnahan berlaku di mana-mana, rakyat mengalami tekanan dan trauma akibat kematian, penyakit dan kemiskinan. Perpaduan semakin renggang. Kepercayaan antara pelbagai kaum semakin menipis dan hilang.

Malaysia merdeka pada tahun 1957 di bawah nama Persekutuan Malaya dan pada 16 September 1963, nama itu ditukar kepada Malaysia. Walaupun sudah mencapai kemerdekaan secara mutlak daripada penjajah Inggeris, Malaysia masih merangkak mencapai perpaduan dan keharmonian. Dalam usaha untuk mentadbir Negara sendiri, Malaysia diuji dengan beberapa peristiwa yang tragis seperti konfrontasi dengan Indonesia (1962-1966), rusuhan kaum (1964), penyingkiran Singapura dari Malaysia, peristiwa berdarah 13 Mei 1969, krisis perlembagaan Malaysia 1988 dan juga krisis kewangan Malaysia (1997-1998).

Namun, semua itu memberi pengajaran yang amat bermakna kepada Malaysia dalam usaha membangun serta mentadbir negara melalui kepimpinan pribuminya. Malah, berbekal keyakinan dan kesungguhan, Malaysia menjadi sebuah negara yang pesat membangun dan bersama-sama mengharungi era kemodenan dengan segala sumber yang ada.

Kini, kita semakin bangga menjulang nama Malaysia di persada dunia berbekalkan kemajmukan dan keamanan negara serta kestabilan politik dan juga perkembangan ekonomi yang membanggakan. Kita sudah berani mengatur langkah bersama negara-negara lain dalam usaha mengisi ruang dalam negara dengan aspek teknologi terkini, isu semasa dan juga bersama-sama menyusuri arus kemodenan dan globalisasi. Kita juga tidak gentar dalam melaungkan prinsip, pendirian dan juga pandangan kita terhadap apa yang kita perjuangkan di sini. Malahan suara kita menyelar tindak tanduk negara-negara besar dalam isu-isu tertentu seperti kekejaman peperangan, isu keagamaan, hak asasi dan sebagainya, turut kedengaran di mana-mana.

Kita benar-benar menghargai kemerdekaan yang telah kita gapai 50 tahun dahulu. Usaha, perit-pedih, tumpahan darah dan air mata generasi lama dalam mempertahankan negara dan bangsa dari dijajah amat kita hargai. Generasi hari ini amat sedar dan tahu kisah silam negara ini. Generasi hari ini juga sedar bahawa kemewahan dan keamanan pada hari ini bertitik tolak dari perjuangan generasi masa lampau.

Bagaimanapun, amat pedih apabila mendengar kata-kata ‘generasi hari ini tidak menghargai kemerdekaan yang ada’. Mereka juga menyebut, ‘generasi hari ini semakin lupa diri’. Apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘tidak menghargai’ dan ‘lupa diri’?

Memang benar generasi kini tidak begitu menghargai apa yang dikecapi pada hari ini. Mereka juga lupa bahawa suatu waktu dahulu negara dijajah oleh pelbagai pihak, kita ditindas, dibunuh dan diludah serta dicampak ke tepi. Malah setelah merdeka (beberapa tahun selepas merdeka), negara masih mencari-cari hala tuju serta berdepan dengan halangan-halangan tertentu. Ya, itu semua tiada dalam diari generasi hari ini. Mereka hanya tahu tetapi tidak pernah merasai keperitan masa lalu.

Adakah kerana generasi hari ini tidak mengalami atau merasai zaman peperangan dan penjajahan maka mereka boleh dilabel sebagai tidak menghargai kemerdekaan? Dari satu sudut, tuduhan itu amat melulu dan bersifat prejudis. Tetapi, bila dilihat pada situasi masa kini, istilah ‘tidak menghargai’ itu boleh dilihat melalui beberapa keadaan dan peristiwa.

Perbezaan masa lalu dan kini (50 tahun) merupakan suatu jangkamasa yang panjang. Oleh kerana negara kita merupakan sebuah negara yang melalui tempoh kemodenan yang agak pesat dan cepat, tempoh itu memang banyak bezanya terutama dalam aspek ekonomi, politik, sosiobudaya, dan pembangunan infrastruktur.

Oleh itu, amat tidak wajar untuk membandingkan generasi masa lalu dengan masa kini. Cabaran dan halangan yang wujud dalam dua era (sebelum dan selepas merdeka) ini, amat berbeza.

Dahulu, kita dikekang oleh penjajah dari aspek ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Bagaimana dari aspek ekonomi, Barat ‘membahagi-bahagikan’ rakyat Malaysia berdasarkan ekonomi tertentu. Kaum Melayu dengan pertaniannya, Cina pula bergiat dalam bidang perniagaan, manakala kaum India pula ditempatkan di estet-estet. Begitu juga dalam aspek politik, di mana wujud beberapa pertubuhan dan perikatan yang seterusnya membentuk komuniti yang berbeza. Masalah pendidikan seterusnya mewujudkan jurang yang amat besar antara pelbagai kaum.

Cabaran untuk membangunkan negara memang sukar. Kekurangan pengalaman dalam mentadbir negara mengikut acuan semasa (daripada sektor pertanian dan bahan mentah kepada sektor pelbagai), menyebabkan negara mengalami kesan akibat kegagalan sesuatu sektor. Contohnya dalam usaha mengejar kemajuan, Malaysia meneroka bidang baru iaitu teknologi maklumat dan eletronik. Namun, kegawatan ekonomi yang melanda pada tahun 1998 dan juga kemerosotan bidang teknologi maklumat pada tahun 2001 memberi pengajaran bahawa Malaysia harus meneroka bidang itu dengan ilmu yang mantap dan sumber kewangan yang mencukupi.

Sepanjang tempoh tersebut, cabaran bukan sahaja berlaku kepada cara untuk menyamatarafkan kedudukan Malaysia dengan negara-negara maju, malah yang lebih utama ialah cabaran untuk menyiapkan diri rakyat Malaysia ke arah setanding dengan mana-mana negara dari aspek pendidikan, ekonomi, politik, kebudayaan dan sosial.

Kini, Malaysia berbangga kerana berjaya mencipta arena tersendiri di persada antarabangsa. Kita sudah tidak malu untuk mengaku bahawa negara kita merupakan negara yang maju. Kejayaan anak bangsa dalam pelbagai bidang serta kejayaan negara sendiri menguasai bidang-bidang sains, perubatan, teknologi, pertanian, pendidikan dan banyak lagi benar-benar membuka mata negara asing yang dahulu pernah menjajah kita dan memeperlekehkan keupayaan kita.

Bagaimanapun, kita terlalu laju mengejar kemajuan dan menikmati kemerdekaan tanpa ragu-ragu. Kita juga mampu tersenyum lebar apabila mendengar pujian dari negara-negara maju tentang keupayaan kita yang boleh dibanggakan. Kita sibuk menelaah dan menerokai segala yang disogokkan oleh negara maju kepada kita sehingga kita lupa akar budaya kita.

Generasi hari ini juga terlalu ghairah mengejar kemajuan dan kebendaan. Budaya bangsa diabaikan sehingga kita sendiri tidak kenal dengan identiti bangsa kita serta bercampur aduk dengan budaya asing yang kebanyakannya menyongsang arus pemikiran dan akal budi bangsa Malaysia. Inilah situasi yang dikatakan sebagai ‘tidak menghargai kemerdekaan dan juga lupa diri’.

Itulah juga yang diinginkan oleh barat iaitu memisahkan kemajuan dan kemodenan dari agama dan budaya. Kata mereka, budaya dan agama merupakan entiti yang berbeza serta tidak boleh seiring dengan kemodenan. Sudah tentu serangan pemikiran sebegini menyimpang dari prinsip dan budaya di Malaysia.

Mujurlah akhir-akhir ini, pemimpin negara menyedari hal itu dan melakukan pelbagai usaha untuk mengembalikan kemegahan rakyat kepada budaya serta sejarah bangsanya. Melalui pendidikan di sekolah, guru-guru harus menekankan aspek pembudayaan dan sejarah bangsa supaya generasi muda tahu asal usul dan sejarah silam mereka. Aktiviti –aktiviti semasa juga boleh diwujudkan dengan pengisian yang lebih menjurus kepada kebudayaan dan membabitkan penyertaan semua kaum di Malaysia. Selain itu, kurangkan kemasukan hiburan-hiburan dan konsert-konsert yang tidak kena dengan budaya kita. Dalam soal mengembalikan nilai budi rakyat Malaysia, kerajaan harus menolak ke tepi aspek keuntungan ekonomi semata-mata.

Semua pihak bermula dari peringkat kepimpinan sehinggalah kepada anak-anak kecil, harus sedar usaha ini dan bersama –sama berganding bahu mengembalikan semula jati diri bangsa dan seterusnya memelihara keharmonian negara.

Hasutan pemikiran sekular dan krisis identiti yang diwujudkan oleh anasir-anasir luar memang besar dan melalui pelbagai saluran terutama melalui teknologi maklumat yang amat pantas bergerak. Cabaran dan ancaman bukan sahaja mensasar kepada budaya bangsa Malaysia tetapi juga melibatkan aspek agama Islam. Bangsa Melayu dan agama Islam sudah sinonim dengan perlembagaan negara. Walau bagaimanapun, keistimewaan juga diberi kepada kaum-kaum lain.

Pertelagahan yang diwujudkan oleh bangsa asing sejak dahulu sehingga kini memang tiada penamatnya. Kita sebagai rakyat Malaysia tidak kira kaum, harus menyedari hakikat sejarah dan peruntukan perlembagaan yang memelihara keharmonian semua kaum di bawah satu bumbung. Hakikat itu yang semakin tidak difahami oleh generasi hari ini. Keterbukaan memebincangkan hak asasi dan isu semasa yang dicanang oleh barat benar-benar menjadi hasutan paling berbahaya kepada rakyat Malaysia.

Berbanggalah dengan negara kita. Kembalikan semula identiti bangsa serta maruah agama yang sedang diperlekehkan oleh barat. Kita terlalu cepat menerima dan ragu-ragu untuk menolak limpahan hedonistik dan materialistik yang dicipta oleh Barat. Betapa barat telah memukau pandangan kita dengan kemajuan dan kemodenan sehingga kita lupa kepada al-Quran dan sunnah yang benar-benar sempurna sifatnya.

Negara kita unik. Ada pelbagai kaum. Anutan agama berbeza namun mampu berlindung di bawah satu bumbung yang dinamakan Malaysia. Tidak perlulah mengulang sejarah pada masa lalu ketika zaman penjajahan dan peperangan di mana pada waktu itu kita ditindas dan tertipu dengan janji manis serta sogokan daripada mereka.

Memang benar, generasi masa kini tidak menghargai kemerdekaan. Mereka lalai dan sengaja membiarkan budaya bangsa hanyut ditelan arus kemodenan. Mereka juga lupa bahawa ikon yang harus dipuja dan disanjung bukanlah barat tetapi bangsa sendiri. Namun itu bukan alasan untuk kita menyerah kalah. Usaha pelbagai pihak harus bertitik tolak melalui budaya. Bangkitkan semula budaya bangsa Malaysia.

Dengan budaya yang tersendiri, kita mampu mengekalkan kemerdekaan sampai bila-bila. Hargai kemerdekaan dengan memperkaya negara melalui kejayaan dalam pelbagai bidang, keikhlasan dalam berbakti serta ketulusan dalam mempertahankan agama dan budaya. Berpada-pada dalam mengaplikasi budaya luar ke dalam budaya kita. Dengan itu, kemerdekaan akan sentiasa manis dan penuh kebanggaan untuk dikenang.