Adik-adik saya. Hmmm…saya teringat kepada mereka dan sumbangan saya kepada mereka. Sumbangan? Tak banyak!

Ita merupakan nama adik saya yang bekerja di Jusco, Mid Valley. Lepasan STPM dan tak dapat panggilan IPTA. Namun, sebuah kolej (kolej Felda) menawarkan tempat kepadanya dalam bidang pemakanan. Dia menolak tawaran itu dengan alasan tidak berminat dengan bidang yang ditawarkan. Perkara ini dirahsiakan daripada saya. Saya marah, kerana peluang ini susah nak diperolehi apatah lagi kolej Felda memberi ruang itu secara percuma kepada anak Felda. Dia diam.

Dia bekerja selama lebih 8 jam dengan gaji lebih kurang RM700. Pada mulanya saya marah. Sangat marah pada dia kerana tidak memikirkan masa depan, tidak mahu berusaha dan sifat rendah diri yang melampau. Sejak Tingkatan empat hingga tingkatan enam atas, dia banyak memeningkan kepala saya dan keluarga. Bukan sosial. Ya, dia tiada masalah sosial. Tiada istilah ‘boyfriend’ dalam bab persekolahannya. Itu amat saya banggakan dan percaya dia boleh jaga diri. Cuma dia malas dan main-main ketika belajar. Terlalu mengikut kawan serta tidak boleh berdikari sendirian. Akibatnya, keputusan peperiksaan sekadar cukup makan.

Bila saya kenang kembali diri saya suatu waktu dahulu, ya, saya pun sama seperti dia. Bezanya, saya di sini seorang. Tiada saudara mahupun kawan yang boleh menjadi tempat mengadu nasib.

Baru-baru ini Ita datang ke rumah saya. Kami berbual agak panjang. Dia memang berhasrat untuk menyambung pelajarannya, tapi menunggu masa dan kewangan yang baik. Saya sedih kerana terlalu banyak memarahi dia.

Memang zaman banyak berubah. Zaman saya dan zaman Ita berbeza. Cabaran dan halangan tak sama. Persepsi tentang masa depan juga sering bercanggah. Apapun saya harus memastikan dia ‘selamat’ dan ‘baik-baik’ sahaja berada jauh dari pemerhatian saya dan ayah bondanya. Bagaimana?