130605.jpg

Kisah 1

Membaca akhbar dengan isu warden yang menghukum pelajar kerana tuala wanita, mengingatkan saya pada kisah yang sama. Bezanya, yang menghukum itu bukanlah warden, tetapi guru lelaki biasa yang baru dinaikkan pangkat kepada guru disiplin.

Berikutan tandas wanita di sekolah yang ‘banjir’ teruk dan tersumbat pada hari itu, guru berkenaan membuat siasatan dan mendapati punca ‘banjir’ itu adalah tuala wanita. Dengan tegas beliau mengarahkan semua pelajar perempuan berbaris dari tandas ke tong sampah besar dan menyuruh kami mengutip tuala wanita dalam mangkuk tandas tersebut serta sampah-sampah di sekitarnya. Setiap orang harus memegang ‘sampah’ itu sehingga tiba ke tong sampah.

Saya tidak marah diperlakukan sedemikian walaupun cara itu mengandungi unsur-unsur penghinaan iaitu kata-kata makian daripada guru lelaki berkenaan, serta memperlekehkan kami sebagai wanita yang pengotor. Banyak pengajaran yang wujud selepas peristiwa itu. Belajar menjadi lebih bertanggungjawab, mungkin (bagi orang yang bersalah).

Pada saya, banyak cara untuk menegur perbuatan seseorang. Ia bukan sahaja bergantung kepada zaman (situasi semasa) tetapi juga sikap dan penerimaan orang yang ditegur. Jika sudah banyak kali teguran dibuat, mungkin ini cara yang terbaik untuk memberi pengajaran pada mereka.

Kisah 2

Melihat keganasan dan emosi tidak terkawal guru yang kerapkali dipaparkan di dalam surat khabar (kadangkala akhbar juga menipu, membesar-besarkan hal yang kecil serta menokok tambah cerita), saya benar-benar terluka apabila mengenang nasib sama yang menimpa saya suatu waktu dahulu.

Semasa tingkatan 4, saya dilantik menjadi penolong ketua Perpustakawan sekolah. Antara tugas saya ialah memastikan peminjaman dan pemulangan buku, aliran keluar masuk pendapatan dan juga memastikan harta benda perpustakaan dalam keadaan baik. Hari itu, merupakan hari isnin, saya dapati surat khabar masih tiada di rak. Saya ke kantin sekolah (pakcik kantin tolong belikan surat khabar sekolah), dan bertanya pada pakcik. Katanya, cikgu Happian Pilus (memang nama sebenar), telah mengambil surat khabar itu awal pagi lagi. Saya katakan pada pakcik supaya selepas ini surat khabar itu harus diserahkan kepada perpustakaan kerana perpustakaan membayar suratkhabar itu.

Saya ke perpustakaan semula dengan harapan surat khabar itu telah diletakkan di tempat yang sepatutnya oleh cikgu Happian.

Memang ada, tapi dengan kesan guntingan pada sebuah iklan peraduan yang menawarkan sebiji motorsikal. Saya kesal.

Keesokannya, pakcik kantin mengotakan janjinya untuk menyerahkan surat khabar pada perpustakaan. Tapi saya menerima nasib buruk pada hari itu.

Cikgu Happian memanggil saya ke bilik koperasi dan mula marah pada saya kerana menyuruh pakcik kantin menyerahkan surat khabar ke perpustakaan. Cikgu Happian memukul belakang dan sisi bahu saya (terkena kepala juga) dengan menggunakan surat khabar.

Beberapa orang pelajar lalu di situ, tapi dia terus memarahi saya kerana tindakan saya itu membuatkan dia tak berpeluang mengambil surat khabar seawal pagi. saya katakan pada cikgu Happian bahawa surat khabar itu hakmilik perpustakaan dan jika dia ingin membacanya, dia boleh ke perpustakaan.

Cikgu Happian bertambah marah dengan jawapan saya. selepas puas membebel serta mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati, saya di arahkan balik ke kelas. Saya tidak terus masuk ke kelas. Dalam keadaan masih menangis, saya bertemu dengan guru penyelia perpustakaan, Cikgu Abdul Rahman. Saya adukan pada dia tentang perbuatan cikgu berkenaan. Cikgu Abdul Rahman hanya diam dan memberi nasihat pada saya supaya jangan ambil kisah tentang peristiwa itu.

Ya, saya sangat terkejut. Saya tidak mahu jawapan sebegitu. Tapi bila saya stabil kembali, saya pun diam juga. saya campakkan (memang campak betul-betul) nametag perpustakawan depan Cikgu Abdul Rahman. Saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan kerana tidak mahu memandang wajah mereka lagi. Tindakan saya itu bukanlah bijak tetapi perasaan marah dan dendam menguasai diri. Saya sungguh sedar bahawa ada percaturan politik dan kronisme di situ. Saya lupa bahawa, Cikgu Happian kawan baik kepada Cikgu Abdul Rahman, serta sebab-sebab sulit lain yang tak perlu saya sebarkan di sini.

Kerana kehancuran etika dan akhlak guru sebegini, maka terjadinya pelbagai jenayah di kalangan remaja sekolah. Remaja hari ini bukanlah jahat sangat tetapi memberontak dan dendam dengan segelintir guru yang sebegini.

Namun masih ada guru yang benar-benar dedikasi terhadap tugasnya. Terima Kasih kepada mereka kerana mengajar saya erti hidup dan kehidupan!

Advertisements