blogbmp.jpg

UMUM mengetahui bahawa setiap manusia berbeza daripada semua aspek dalam kehidupan. Hati dan akal yang dianugerahkan dalam diri setiap individu menghasilkan pelbagai perkara yang berbeza seperti pemikiran, tanggapan, budaya, agama, bahasa, dan lain-lain lagi.

Merujuk kepada aspek keragaman bahasa, kita sedia maklum bahawa manusia berbahasa dengan pengaruh latar belakang diri pengguna sesuatu bahasa tersebut. Kita juga dapat mengaitkan perbezaan ragam bahasa itu dengan tempat asal penutur, latar belakang pendidikan, kumpulan sosialnya, generasinya atau kadangkala pekerjaannya. Jelasnya, perlakuan bahasa dipengaruhi oleh perlakuan manusia (sikap, tanggapan, dan nilai hidup).

Jika pada zaman dahulu, iaitu zaman masyarakat Melayu menjunjung kuat budaya dan adab bermasyarakat, penggunaan bahasa yang digunakan amat halus dan indah. Tutur kata yang dikeluarkan amat berhati-hati dan seterusnya melambangkan kesopanan dan ketajaman akal. Usaha menegur dan memberi nasihat dilakukan dengan penggunaan bahasa halus, kiasan, pantun dan bahasa sindiran. Contohnya, pantun di bawah yang menegur sikap manusia yang suka memandang kepada luaran, sedangkan apa yang wujud di sebalik luaran itu lebih baik dari apa yang mereka sangkakan:

Anak Melayu belayar pagi,
Nampak angin menentang pelangi;
Bunga layu jangan dikeji,
Sungguh layu baunya wangi.

Seperti manusia, bahasa juga mempunyai ragam tersendiri. Ragam bahasa yang pelbagai memberi peluang kepada kita untuk memilih penggunaan perkataan dan bahasa yang betul dan baik dalam situasi yang berlainan. Kita juga telah diajar di sekolah tentang pelbagai aspek yang berkaitan dengan adab berbahasa. Ini kerana, dalam hidup bermasyarakat penggunaan bahasa yang baik dan betul amat penting untuk menjaga dan memelihara keharmonian dalam masyarakat. Kerana itulah wujudnya pepatah, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Pepatah itu sekali gus memberi maksud betapa pentingnya penggunaan bahasa yang betul pada situasi yang betul.

Banyak lagi aspek yang boleh disentuh jika dikaitkan dengan isu ‘tahu berbahasa’. Dahulu, orang yang tidak beradab ketika berbahasa akan dilabel sebagai orang yang ‘tak tahu bahasa’. Istilah ‘tak tahu bahasa’ bukan bererti si penutur daif akan soal nahu dan tatabahasa ayat yang dituturkan. Mesej di sebalik ‘tak tahu bahasa’ ini ialah orang yang berkenaan tidak peka terhadap agama, adab dan susila, tingkahlaku, dan budaya masyarakatnya.

Eufemistik dalam berbahasa mungkin boleh mengelak seseorang dari dilabel sebagai ‘tidak tahu bahasa’. Eufemistik merupakan penggunaan bahasa yang lebih manis , lembut dan sederhana, menyenangkan, tidak berterus terang dan sudah pasti tidak menyinggung perasaan orang lain. Turut bersama-sama memperjuangkan ‘kemanisan’ berbahasa ialah bahasa sindiran, kias ibarat dan juga ‘circumlocution’ (bahasa yang berbelit-belit untuk melindungi maksud sebenar).

Eufemistik atau eufemism wajar digunapakai oleh penulis weblog demi memelihara keharmonian budaya dan bangsa. Kadangkala menggunakan perkataan eufimistik seolah-olah kita menjadikan sesuatu yang buruk dan jelik sebagai baik dan boleh diterima oleh masyarakat seperti ‘pelacur’ yang digantikan dengan ‘pegawai perhubungan tetamu’. Selain itu, perkataan ‘mampus’ boleh digantikan dengan ‘meninggal dunia’, ‘bodoh’ boleh ditukar kepada ‘kurang tahu’, ‘cacat’ ditulis sebagai ‘orang kurang upaya’ dan sebagainya.

Mengenal budaya dan adab sesuatu bangsa boleh mengajar kita supaya menggunakan bahasa dengan bijak mengikut situasi. Jelasnya, penggunaan bahasa tidak boleh secara sewenang-wenang selagi kita hidup sebagai sebuah komuniti yang mementingkan keharmonian dan sentimen kesopanan.

Tidak kira apa juga bentuk bahasa yang digunakan, ragam bahasa yang diselitkan mahupun laras bahasa yang digunapakai, masyarakat harus berpegang kepada asas berbahasa iaitu menyampaikan sesuatu maksud tertentu untuk tujuan tertentu. Sudah pasti asas ini ditunjangi oleh adab dan budaya sewaktu berbahasa. Telah dijelaskan bahawa orang yang menggunakan perkataan yang salah pada situasi yang salah akan dianggap ‘kurang ajar’.

Baru-baru ini, pengguna internet di Malaysia telah dikecam oleh pihak-pihak tertentu akibat aktiviti mereka yang tiada kawalan. Aktiviti yang dimaksudkan ialah menggunakan weblog sebagai wadah melepaskan geram. Apabila menyebut istilah ‘geram’, sudah pasti emosi yang tergambar adalah marah, tidak puas hati, benci, meluat, dan menyampah. Dan sudah tentu perkataan atau bahasa yang terlontar dari emosi ‘geram’ itu bersifat kesat, melampau, berlebih-lebih, kasar dan lucah.

Aktiviti `berblog` telah lama wujud di Malaysia, yang pada awalnya berkembang sebagai jurnal peribadi seseorang yang menceritakan apa sahaja perkara yang berlaku pada diri mereka dan orang sekeliling. Di Malaysia, weblog wujud dengan tujuan yang pelbagai, merangkumi isu yang bervariasi seperti memaparkan hal-hal yang berkaitan dengan politik, isu semasa, artis, makanan, teknologi terkini dan sebagainya. Juga terdapat individu yang membina weblog untuk mencari pendapatan sampingan. Malah telah wujud beberapa orang usahawan dan jutawan hanya dengan berniaga melalui internet dan weblog. Sejarah dan perkembangan weblog di Malaysia boleh didapati di wikipedia.

Perkembangan weblog memberi dimensi baru kepada gaya hidup dan pemikiran masyarakat Malaysia. Jika dahulu media cetak seperti suratkhabar memainkan peranan penting dalam menyebar maklumat kepada umum, kini, weblog mengambil tempat, malah peranannya lebih berkesan dan pantas daripada media cetak yang ada sekarang.

Weblog mempunyai keistimewaan tersendiri yang dikatakan bukan sahaja memberi maklumat terkini yang padat, malah pembaca boleh berinteraksi dengan penulis blog secara langsung melalui ruangan interaktif (komen). Dengan adanya kemudahan sebegini, maklumat bukan sahaja boleh dipertikaikan kebenarannya malah, isu tersebut boleh diperpanjangkan lagi. Sudah pasti weblog tidak mempunyai ciri-ciri ‘berat sebelah’ yang dikatakan wujud dalam media cetak biasa.

Perkembangan dan kemudahan menggunakan weblog sebagai wadah menyampaikan pandangan dan pendapat peribadi seseorang amat baik. Namun, isu yang menjadi perdebatan ialah isu kebenaran fakta dan kesopanan berbahasa. Weblog dikecam dengan isu tersebut kerana sifatnya yang terlalu bebas, tiada suntingan dan tiada kawalan oleh badan-badan tertentu sebagaimana yang berlaku kepada media cetak di Malaysia. Ini bermakna weblog boleh dibina oleh sesiapa sahaja dan tiada kawalan dari segi isi kandunganya. Di sini, pelbagai perkara boleh terjadi. Contohnya, fitnah yang ditimbulkan oleh pihak tertentu kepada pihak yang lain dengan tujuan untuk menjatuhkan pihak lawan.

Seperti situasi di Malaysia, weblog sering dijadikan alat ‘medan perang’ antara kerajaan dan rakyat yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara, biasanya isu semasa dan politik. Baru-baru ini weblog dikecam kerana terdapat beberapa penulis yang menulis tanpa mengambil kira kebenaran dan kepalsuan maklumat yang disampaikan. Malahan kerajaan juga membidas gaya bahasa yang digunakan oleh sesetengah penulis weblog sebagai ‘kurang ajar’ dan terlalu kasar.

Kebebasan `berblog` memungkinkan penulis terbabit lupa kepada adab sopan dan keperluan berbahasa dengan baik. Apatah lagi tiada kawalan oleh mana-mana pihak menyebabkan mereka tidak memiliki rasa tanggungjawab terhadap apa yang ditulis.

Jika perang yang wujud ini berkaitan dengan kesan penurunan pembelian dan pengedaran akhbar dan buku-buku di Malaysia, cara penyelesaiannya bukan mudah. Ini kerana setiap orang mempunyai kebebasan sama ada untuk membeli akhbar atau tidak. Manakala, jika perang ini wujud kerana isu fitnah, penyebaran maklumat palsu kepada masyarakat dan penggunaan bahasa yang sangat ‘kejam’, kerajaan harus mengambil langkah bijak sama ada melalui perbincangan menyeluruh dengan penulis-penulis blog ataupun tindakan berlandaskan undang-undang untuk menyekat gejala ini. Malahan isu fitnah dan penyebaran maklumat palsu juga wujud dalam media cetak seperti suratkhabar dan majalah. Oleh hal yang demikian itu, pemantauan terhadap isu ini oleh mana-mana pihak harus ditimbang dengan bijak dan adil.

Apabila berbicara soal penggunaan bahasa yang baik, bukan sahaja penggunaan bahasa dan perkataan yang digunakan oleh penulis weblog harus diteliti malah pelbagai isu lain boleh dijadikan renungan. Lihat sahaja perdebatan yang berlaku di dewan parlimen setiap kali bersidang. Betapa bahasa yang digunakan oleh segelintir pemimpin boleh melenyapkan rasa hormat rakyat kepada mereka. Pembukaan persidangan itu kepada umum membuktikan setiap manusia akan lupa kepada adab berbahasa jika emosi mempengaruhi akal.

Selain itu, media eletronik di Malaysia seperti televisyen yang memaparkan drama, filem-filem tempatan, iklan-iklan serta bahasa yang digunakan oleh penyampai radio juga harus dipantau dan ditegur dari semasa ke semasa. Ini kerana media elektronik juga sering terseleweng antara kesopanan berbahasa dan keperluan menyampaikan pendapat.

Selain pemimpin, golongan sebegini (media elektronik) juga menjadi tumpuan masyarakat, bukan sahaja apa yang dipaparkan, malah bahasa yang digunapakai oleh mereka. Bukankah ‘bahasa melambangkan bangsa’?

Sebenarnya, sudah banyak peristiwa yang berlaku akibat tidak mengambil kira aspek adab berbahasa. Malahan kesan tidak beradab semasa berbahasa juga dapat dilihat di mana-mana. Kanak-kanak semakin bijak menggunakan teknologi. Janganlah teknologi yang membawa banyak manfaat ini menjadi suatu wadah yang memusnahkan budaya dan adab sopan. Dengan memaparkan bahasa yang tidak sihat, apa akan jadi kepada generasi muda ini dari segi budaya dan nilai hidup?

Bahasa tidak terhad sifatnya. Bahasa itu universal, dinamik, dan bervariasi. Kita sebagai penutur harus bijak dan peka terhadap penggunaannya. Masyarakat Melayu zaman dahulu pernah mengingatkan, “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Betapa kerana bahasa yang tidak ditimbangkira sebelum mulut menuturkannya, boleh memusnahkan diri sendiri dan orang lain.

Situasi berbahasa dalam dunia maya seperti weblog, amat berbeza dengan situasi berbahasa secara lisan (bersemuka) atau secara tulisan (yang dicetak seperti suratkhabar atau buku). Tiada undang-undang atau kawalan yang boleh dikenakan ke atas mereka. Namun, tidak mustahil jika kerajaan mahu mewujudkan satu akta atau undang-undang bagi menyelar aktiviti berbahasa yang buruk dan berbaur fitnah.

Namun, saranan seorang menteri supaya penulis blog menggunakan bahasa yang sopan harus di ambil kira oleh penulis weblog di Malaysia. Berbalik kepada rukun Negara yang menyebut ‘kesopanan dan kesusilaan’ serta perlembagaan Negara yang menekankan aspek perpaduan dan keharmonian, penulis weblog harus sedar kebebasan mereka ada hadnya. Eufemistik dalam berbahasa harus dipelajari bukan sahaja oleh setiap penulis weblog yang ingin melontarkan rasa geram dan tidak puashati terhadap sesuatu isu, malahan semua lapisan masyarakat dari peringkat kanak-kanak, remaja, dewasa malah warga tua. Dengan cara ini, maruah pihak lain terpelihara di samping membina jati diri yang baik dalam setiap diri manusia.

Advertisements