Hari minggu yang lepas, saya ke Rimba Damai yang terletak di hadapan kawasan perumahan saya. Rimba Damai merupakan hutan asal di kawasan ini yang dikekalkan, dicantikkan dan dipelihara.

Suatu waktu dulu memang cantik. Pokok-pokok hutan masih menghijau. Pokok renek dan paku-pakis tumbuh melata. Ditambah lagi dengan tanaman herba (pokok halia, kunyit, mas cotek, serai, misai kucing dan banyak lagi) yang ditanam bagi menyerikan lagi kawasan Rimba Damai ini.

Selain itu, Rimba Damai juga menempatkan beberapa ‘rumah’ binatang yang boleh kita lawati dan beri ‘mereka’ makan. Antara binatang yang menghuni rimba ini ialah ayam denak, ayam kampung, arnab, monyet, landak, tenggiling dan beberapa binatang lagi.

Rimba damai menyediakan laluan jogging, menara pandang jauh, wakaf yang cantik dan kolam buatan yang mengandungi beberapa jenis ikan dan beberapa ekor angsa dan itik. Tak lupa juga didirikan sebuah model rumah Melayu tradisional (mini) yang amat cantik siap dengan basikal tua, tempayan kecil, congkak, jala dan beberapa peralatan orang Melayu zaman dahulu. Semua ini amat berbaloi untuk membawa keluarga untuk bersantai setiap petang atau sepanjang hari.

zalila.jpg

KINI..semua itu hanya bayang-bayang yang pecah. Rimba Damai tidak dijaga dan dipulihara. Rumah mini dah rosak dan nampak buruk, laluan jogging dah berlumut, ‘rumah’ binatang dan binatang-binatang peliharaan tiada lagi. Tumbuhan herba dah mati, pokok-pokok hutan yang besar-besar dah mula ‘jarang’ dan tak teduh lagi. alahai, Rimba Damai bukan lagi tempat yang seronok untuk dikunjungi. Siapa agaknya yang harus bertanggungjawab membaikpulih imej Rimba Damai ini?

damaipsd.jpg

damai1.jpg

* suatu waktu dulu, di sini, kita pernah merencah hari dengan senyuman. Bicara tidak pernah kelat. Jejak langkah seiring menyulam rencana hari mendatang. Di sini juga segala yang indah kita impikan, kita sulam mimpi semalam menjadi tali harapan untuk masa depan. Seiring lembah ini yang semakin kelam..kita tak mahu tenggelam. Genggaman tangan semakin renggang. Dahan mana yang mampu menahan pautan jemari ini?

* gambar terkini hanya dua keping je sempat saya ambil. InsyaAllah, nanti saya akan paparkan gambar-gambar kedaifan rimba ini.