Ini adalah cerpen yang saya buat semata-mata nak sertai bengkel yang dianjurkan oleh DBP. Tapi saya tak layak….huhuhuhu…Al-marbawi dapat pergi…eee jelesnya saya! Apa pun baca la cerpen saya [yang baru ‘bertatih’ menulis ni]..agak panjang!

Tajuk : BIAR

Pagi itu seperti pagi semalam, tiada beza walau seminit pun, seinci atau sekuman pun. Hari sudah terang, bermakna seperti semalam subuh terlewat lagi. Bunyi bising kenderaan semakin galak menyesakkan gegendang telinga. Dan langsir yang kebiruan beralun-alun ditiup angin pagi – menandakan hari itu, pagi itu akan disulami dengan cuaca yang cerah. Tapi, semalam petang hujan turun dengan lebatnya walaupun pagi semalam sama seperti pagi hari ini. Ahh… biarlah.

Sirih kuning junjung bergolek,
padi rebah melepas tikar,
putih kuning warnanya cantik,
gajah seekor abang tak tukar.

Pantun itu ku baca berulang kali. Berulang…amat berulang. Tiada cacat dan cela, dan tiada salahnya pantun lama itu. Cuma salahnya kini, aku tidak memahami isi tersirat disebaliknya. Biarlah. Aku seorang penyelidik. Penyelidik manusia Melayu. Kebudayaan. Kesenian. Bahasa. Pemikiran. Dan segalanya tentang manusia Melayu, namun pantun empat kerat itu langsung tidak dapat memaksa otakku berfikir kerana itu cuma pantun. Pantun-pantun Melayu yang harus ku cari dan kumpulkan untuk projek terbaruku. Tak perlu ku tahu ertinya sama ada tersurat atau tersirat. Yang perlu aku buat hanyalah cari, kumpul dan masukkannya sebagai data di dalam komputer.

“Tidak malukah aku bila meneliti buku pantun itu?” tanyaku dalam hati.
“Malu? Sebab apa nak malu?” Sapa satu suara dari suatu sudut yang lain.
“Siapa kau yang menyalin semula, dan siapa penulis buku yang mencari dan mengkaji pantun itu?” sambut satu suara yang lain.

Aku menutup semula buku pantun itu. Mataku menjejak setiap butir perkataan yang tertera di muka hadapan buku tersebut. Pengumpul dan penyelenggaranya adalah orang asing. Asing sekali. Yang namanya sudah tentu bukan Muhammad atau Abdullah atau Siti atau nama apa-apa sahaja yang menunjukkan pengumpulnya adalah Melayu.

Ahhh…. biarlah. Yang penting kerjaku siap. Apa yang aku dapat setelah dua tahun bertungkus lumus mengumpul itu ini? Mencari itu ini. Apa? Cuma dapat gaji setiap 30 atau 31 haribulan. Itu sahaja. Fikiranku tetap sama. Sama seperti aku belajar dulu. Sama seperti aku kanak-kanak dulu. Hanya main-main dan tak memahami apa yang aku dilakukan. Ah…. biarlah.

Dan jemariku semakin tangkas memasukkan segala data ke dalam komputer. Tangkas dan pantas seperti sengaja mencipta suasana hingar agar suara-suara asing yang entah mana datangnya itu lenyap. Lenyap dan hilang dari cuping telingaku atau sisi mindaku.

Kalau tuan pergi menebang,
Jangan lupa membawa tajak;
Jangan menurut resmi kiambang,
Pucuknya menghijau akar tak jejak.

Dalam ketidak fahaman itu aku meneruskan lagi kerjaku. Biarlah. Kata hatiku berkali-kali membisikkan ‘biarlah’. Kerana aku hanya seorang penyelidik. Bukannya pemikir.

“Bukankah penyelidik itu harus berfikir tentang penyelidikannya?”. Suara itu berulang kali menusuk hati dan jantungku. Aku terdiam. Ahhh biarlah.

Hari ini penyeliaku mahu berjumpa. Mahu melihat semua fail dan minit mesyuarat yang telah dilaksanakan. Memang semua telah kusediakan. Telah lengkap dan dengan bangganya aku menyerahkan kesemua fail itu. Kesemuanya sekali. Tiada yang tinggal. Bagus! Itulah katanya semasa dia meneliti fail-fail itu. Aku hanya tersenyum dan masuk ke bilikku semula dengan bangga.

“Apa yang kau bangga?”
“Apa yang kau banggakan sangat?” suara itu berlegar-legar diruang bilikku. Hanya bilikku dan hanya aku seorang yang mendengarnya. Hanya aku. Mataku melingas memerhatikan sekeliling. Tiada siapa. Tiada suara. Tiada rasa.

Aku mengemas fail dan bergegas keluar. Seperti yang dijadualkan aku akan ke perpustakaan negara hari ini. Perjalanan menggunakan LRT begitu pantas dan aku agak selesa hari ini walaupun orang berpusu-pusu keluar masuk, ke sana ke mari seperti masa 24 jam yang diberi tidak mencukupi untuk menyelesaikan semua kerja. Dan aku termasuk dalam kumpulan itu. Yang berpusu-pusu, berasak-asak.

Bezanya Cuma aku agak tenang. Tidak terlalu laju atau perlahan. Bukannya aku tiada tujuan, atau aku tiada matlamat. Cuma kakiku agak sakit. Terutamanya pada bahagian yang tertanamnya titanium tiga tahun lepas. Dalam kepayahan membawa fail dan beg sandang itu, aku dapat juga menyusup masuk ke dalam tren LRT yang sememangnya sesak. Memang sempit seperti ikan sardin. Perjalanan itu mengajar aku erti kesabaran serba sedikit. Aku kepanasan, kesempitan dan terpaksa berkongsi bau yang agak memeningkan bersama manusia yang ramai itu. Mataku tertumpu sebentar-sebentar pada wajah seorang budak perempuan cina yang sedang asyik membaca novel di sebelahku.

Pakaian seragam sekolah yang dipakainya sudah pasti menunjukkan dia bersekolah pada sesi petang. Aku melihat jam di tanganku. Pukul 11 pagi. Tepat. Keasyikkan budak cina itu mengagumkanku sebentar. Bukan kerana kerajinannya membaca tapi ketahanan daya fizikal dan mentalnya membaca pada waktu itu. Waktu yang penuh dengan kehangatan, kerimasan dan segala macam jenis bau yang menusuk hidung. Ahhh… biarlah barangkali hidungnya tersumbat.

Tapi tidakkah kepalanya pening membaca dalam kenderaan? Aku pernah melakukan perkara yang sama juga. Ketika ayah menghantarku balik ke asrama. Aku membaca buku sejarah pada waktu itu. Kereta yang bergerak agak perlahan dan kadangkala laju itu amat memeningkan kepalaku. Seakhirnya kututup buku sejarah itu dan kubuka radio. Lagu Uji Rashid berkumandang jelas dan mengasyikkan. Kuperhatikan lagi budak cina itu. Masih juga membaca. Sesekali cermin matanya dibetul-betulkan. Ah… biarlah.

Sampai di perpustakaan orang tidak begitu ramai. Aku mengambil tempat duduk yang agak belakang agar senang untukku mengambil buku dan majalah. Tiba-tiba bahuku ditepuk. Aku menoleh dan senyuman manis menghiasi wajah itu. Atikah kawan sekolahku semasa bersekolah menengah dahulu. Bertanya khabar dan perkembangan diri dalam suasana senyap di perpustakaan agak tidak menyelesakan bagiku lalu ku ajak Atikah keluar sebentar. Kami berbual banyak perkara dan apabila ku ceritakan kerja yang sedang ku lakukan, Atikah nampak begitu terkejut dan kagum. Terkejut kerana aku memilih kerjaya sebegitu sedangkan sejak sekolah lagi semua orang tahu aku ingin menjadi pensyarah.

Perasaan terkejutnya bertukar menjadi kagum seketika. Kagum katanya terhadap usahaku mengumpul dan mencari semula khazanah bangsa Melayu yang semakin lupus. Aku hanya tersenyum. Dan senyuman itu menjadi tanda tanya pada diriku sendiri. Ahh…biarlah.

Atikah yang ku kenali tujuh tahun lalu amat berbeza kini. Wajah dan fizikalnya sudah pasti mengagumkan aku akan kecantikan seorang wanita Melayu. Dia hanya berbaju kurung berbunga halus berwarna biru. Agak ayu dengan tudung kepala yang begitu kemas digayakan. Penelitianku padanya terbatas apabila dia menceritakan perihal dirinya yang kini bertugas sebagai seorang guru, pendidik anak bangsa. Aku bertanya itu ini kerana memang banyak perkara yang ingin aku tahu darinya. Dan dia menjawab dengan galak. Gelak ketawa kadangkala mengiringi cerita-cerita lama yang di bawa olehnya. Dan aku yang memang sekelas, seasrama dan sebilik dengannya tujuh tahun lalu hanya mampu menyambut senyum dan gelak tawa itu apabila ceritanya menyentuh kenakalan kami dahulu.

“Ok. Apa yang kau dapat melalui kerja kau ni? Mesti kau lagi hebat dari aku. Jumpa tokoh-tokoh bahasa yang terkenal, berbual dengan tokoh kebudayaan serta pemikir yang hebat. Ceritalah kepadaku.” Itulah kata-kata yang keluar dari bibir comel Atikah yang tak mampu aku jawab.

Aku hanya memandang manusia yang lalu lalang di hadapan kami. Aku menarik nafas yang panjang dan soalan Atikah itu hanya kusimpan di dalam hati sehinggalah Atikah menghulurkan tangan menyalami aku ketika kami berpisah petang itu. Bukannya aku tak mahu menjawab namun jawapannya memang tiada dan aku sendiri tidak tahu untuk apakah aku bekerja selama ini. Ah… biarlah.

Sampai di rumah sudah lewat petang. Aku bertungkus lumus mengemas rumah serba sedikit dan membuka peti sejuk meneliti apa yang ada untuk di masak. Suamiku belum pulang dan sudah tentu dia tersekat di dalam perjalanan yang begitu sesak. Kukeluarkan ikan yang telah bersiang. Sayur kacang kupotong -potong dan perasaanku tiba-tiba berkecamuk.

Berkecamuk dengan suara-suara aneh yang muncul di dalam bilik pejabatku, bercampur aduk dengan hilai tawa Atikah yang begitu bangga dan gembira menceritakan telatah dan karenah anak muridnya. Perasaan ku sekali terhiris dan ngilu apabila terdengar-dengar suara Atikah mengajukan soalan yang tidak kujawab tadi. Memang kulihat Atikah agak hairan. Tapi biarlah dia merasa begitu kerana aku lagi hairan. Hairan dengan apa yang aku buat selama ini. Apa yang aku dapat? Untuk diriku dan masa depanku. Untuk cita-cita yang dulunya amat kubanggakan. Ke manakah perginya cita-cita itu ? Ahh. Biarlah.

Jam berdenting enam kali. Bermakna aku harus segera menyiapkan hidangan sebelum suamiku pulang. Ikan yang kumasak asam pedas dan sayur goreng segera kuhidangkan di atas meja. Aku bergegas ke bilik air untuk membersihkan diri dan bersolat. Seketika suamiku pulang dengan wajah yang penuh keletihan. Ku sambut dengan senyuman. Dan dia membalas dengan ciuman yang lesu.

Malam itu kami makan dengan penuh berselera. Kuceritakan pada suamiku tentang Atikah. Suamiku hanya tersenyum mendengar ceritaku dan cerita kami semasa di universiti dahulu. Segala-galanya penuh dengan keseronokan. Malam itu aku termenung lagi. Terkenang lagi soalan Atikah mengenai matlamatku dalam kerja. Apa yang aku dapat. Bukan Atikah yang menyedarkan aku mengenai hal itu. Sejak dahulu lagi, sejak hari pertama aku bekerja, aku telah tanyakan pada diri sendiri, apa sebenarnya yang aku dapat dari kerja yang aku lakukan. Malah ayahku pernah berpesan, selalu berpesan,

“Apa sahaja yang kita lakukan harus gunakan akal dan fikiran, barulah sesuatu perkara itu akan jadi dengan baik. Sebaik-baiknya. Dan jika tidak jadi baik, tetap akan jadi seperti yang kita rancang.” Halus dan tegas kata-kata ayah itu. Adakah kerjaku sekarang ini membuatkan ku senang hati? Inikah perancangan ku dalam hidup?

Malah, suamiku juga pernah berkata,
“Hidup kita terlalu singkat dan hanya sekali. Kalau boleh lakukan yang terbaik, buat apa yang ingin awak lakukan selama ini selama mana ianya tidak memudaratkan sesiapa. Jangan lakukan demi saya atau orang lain, tapi lakukannya demi diri sendiri” tegas tetapi bermakna kata-katanya yang sehingga kini masih menusuk ke jantungku.

Kulihat suamiku disebelah. Tidur dalam ketenangan. Seolah-olah kesesakan jalan yang teruk yang dialami semasa pulang dari kerja tadi tidak memberi apa-apa kesan pada mentalnya. Sesekali terdengar dengkuran mengatasi hembusan nafasnya.

Malam itu aku berazam takkan membiarkan saja apa yang aku lakukan berlalu begitu-begitu. Tak akan ku biarkan persoalan-persoalan menghantui fikiranku. Akan kusediakan jawapan di dalam fikiran apabila aku bertemu Atikah dan aku akan menjawab soalannya itu.

“Ya, Saya sekarang bekerja sebagai penyelidik. Saya menyelidik apa sahaja yang berkaitan dengan manusia Melayu. Dan saya amat berbangga dengan apa yang saya lakukan. Walau sekecil mana pun sumbangan saya kepada masyarakat” bisikku dalam hati.

Aku akan mencintai suamiku, kerjaku, dan apa sahaja yang aku lakukan. Tak kiralah apa sahaja tugas yang kulakukan sekarang ini, akan kulaksanakan dengan hati dan akal yang waras. Aku mula tahu apa yang sebenarnya aku perlukan dalam hidup. Cita-cita semasa kecil akan kulaksanakan juga nanti. Aku takkan biarkan perkataan ‘ah biarlah’ mengiringi akalku. Takkan aku biarkan.

Advertisements