menbmp.jpg

APABILA berbicara soal jodoh atau memilih pasangan, kita sering memperkatakan tentang pemilihan wanita yang bakal dijadikan pasangan hidup sebagai isteri. Malah, Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda yang bermaksud:

“Dinikahi wanita itu kerana lima perkara, iaitu kerana kekayaan, kedudukan, kecantikannya, dan agamanya. Maka pilihlah dalam hal agamanya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu…”

Riwayat Bukhari dan Muslim pula menyebut, “Tepatlah panduan syariat kebangsawanan, hartawanan dan rupawan hanyalah nilaian. Sesungguhnya kekayaan pada lapangnya hati, rupawan pada indahnya budi, kebangsawanan pada kerendahan diri yang sering sujud di telapak Illahi, apabila pilihan lantaran agama, kekal setia buat selamanya.”

Jelas di sini, pemilihan wanita yang menepati ciri-ciri yang telah digariskan oleh Islam, bakal mewujudkan sebuah keluarga yang sakinah. Ini kerana wanita diolah sebagai peneman, kekasih, dan juga ibu yang bakal mendidik keturunan dan seterusnya melahirkan keluarga yang bahagia.

Sebenarnya, pemilihan wanita untuk dijadikan isteri, sama pentingnya dengan pemilihan lelaki sebagai suami dalam melayari hidup berumah tangga. Calon suami bukanlah boleh dipilih secara rawak atau sesuka hati kerana matlamat perkahwinan bukanlah bersifat sementara tetapi kekal selamanya.

Perkahwinan merupakan suatu tuntutan fitrah manusia yang ingin berpasang-pasangan. Perkahwinan juga merupakan sunnah Nabi yang berfungsi sebagai penyambung generasi dan mematahkan syahwat yang sering terseleweng dek kerana hasutan syaitan serta cara yang terbaik untuk mengekang desakan nafsu yang boleh membawa kepada dosa.

Selain itu, hidup berumah tangga merupakan satu usaha mencari hiburan yang hakiki dengan kehadiran teman hidup (isteri atau suami) dan juga anak-anak dan seterusnya membuatkan hidup seseorang lebih tersusun dan bermanfaat dari segi pengurusan diri, ekonomi dan aspek ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Jelasnya, perkahwinan bukan semata-mata penyatuan dua jiwa, malah lebih daripada itu, ia merupakan suatu mujahadah iaitu jihad untuk melawan nafsu. Ikatan ukhuwah sesama manusia semakin teguh, kesopanan dan maruah terpelihara, penyebaran dakwah dengan lebih mudah serta melindungi kaum yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak.

Dalam membentuk sebuah perkahwinan, sudah tentu asasnya harus kukuh, iaitu pendukung perkahwinan itu sendiri – suami atau isteri. Walau bagaimanapun, antara suami dan isteri, dikatakan pemilihan suami amat penting kerana suami yang akan menjadi ketua keluarga dan menentukan haluan rumahtangga ke arah syurga atau neraka.

Tidak ditekankan hal yang berkaitan dengan pemilihan suami kerana telah menjadi budaya dan adat dalam masyarakat bahawa wanita tidak diberi hak untuk memilih. Suatu waktu dahulu, keluarga memainkan peranan penting dalam memilih jodoh untuk anak-anak perempuan mereka.

Bagaimanapun, dalam hal ini isu pemaksaan tidak wajar timbul kerana Nabi Muhammad s.a.w sendiri memuliakan wanita dengan memberi hak kepada wanita menentukan jodoh yang disukai oleh mereka. Pernah diriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas, yang bermaksud:

“Telah datang seorang gadis menemui Rasulullah s.a.w, lalu dia telah berkata bahawa bapanya telah mengahwinkannya dalam keadaan dia tidak suka, maka Rasulullah s.a.w memberi hak memilih kepada perempuan tersebut.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, dan Ibn Majah)

Masa berubah, dan dimensi pencarian jodoh juga mengalami perubahan mengikut keadaan, suasana, pegangan agama dan adat budaya. Dalam cakupan yang luas, pemilihan jodoh untuk anak perempuan dalam sesebuah keluarga dipengaruhi oleh persekitarannya.

Persekitaran peperangan menyebabkan pemilihan lelaki yang gagah, pandai menggunakan senjata dan mempunyai kesihatan yang baik amat dititikberatkan. Ini penting bagi melindungi anak mereka daripada mara bahaya sekeliling.

Begitu juga dengan masyarakat yang tinggal di hutan dan mengamalkan cara hidup bercucuk tanam, mungkin juga syarat-syarat tertentu akan dikenakan ke atas lelaki seperti disuruh berkebun, mencari binatang hutan dan sebagainya demi menjamin kehidupan anak perempuan mereka kelak.

Di Malaysia, suatu waktu dahulu dalam era 1960-an hingga 70-an, lelaki yang bekerja dalam sektor awam (kerajaan) menjadi idaman setiap dara. Ibu bapa berasa bangga kerana menantu mereka mempunyai kerja yang baik. Pada waktu itu juga, lelaki yang ingin mengahwini anak mereka haruslah berstatus bujang. Duda atau suami orang menjadi kepantangan kerana boleh menimbulkan umpatan masyarakat sekeliling.

Zaman dahulu juga teruna atau bujang yang ingin dijadikan menantu haruslah pandai mengaji, hormat pada orang tua, berbudi bahasa dan berakhlak mulia. Aspek harta dan pendidikan tidak begitu penting memandangkan zaman tersebut, material tidak begitu penting. Desakan hidup juga sederhana bersesuaian dengan situasi ekonomi pada zaman itu. Pada mereka, harta boleh dicari, akhlak yang baik sukar ditemui. Beruntunglah wanita yang mendapat lelaki yang mempunyai ciri-ciri yang disebutkan di atas.

Era 1980-an hingga 90-an memaparkan perubahan yang ketara dalam soal pencarian jodoh atau pasangan. Pada zaman ini, peranan wanita dalam masyarakat berubah. Mereka bukan sahaja menyedari kepentingan pendidikan dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi malah, mengubah status mereka dari ‘ceruk dapur’ ke arena kerjaya pelbagai sektor.

Ekonomi pada waktu ini berkembang dengan agak pesat. Jangkaan dan harapan terhadap pasangan juga semakin tinggi berdasarkan kepada tuntutan ekonomi dan kehendak mereka. Jodoh mula diintai oleh empunya diri. Pilihan keluarga yang tidak menepati citarasa dipertikaikan sehingga wujudnya fenomena ‘kahwin lari’ yang amat popular pada zaman ini. Jejaka yang diidamkan sudah pasti yang mempunyai kerjaya yang mantap seperti ahli perniagaan dan mereka yang mempunyai harta serta simpanan yang menggunung. Isu akhlak dan ‘pandai mengaji’ dipandang sebelah mata.

Begitu juga dengan era milenium (tahun 2000 ke atas), yang memaparkan situasi pemilihan jodoh lebih terbuka. Istilah merisik dan meminang sekadar mengambil tempat yang ala-ala kadar. Bermakna tiada adat dan agama yang terkandung di situ, sekadar budaya dan acara ikut-ikutan. Wanita dan lelaki semakin moden dan mengikuti arus perkembangan semasa dengan baik. Mereka yang berstatus ‘kaya’ dan berpangkat jadi buruan. Wanita yang cantik dan lelaki yang kacak jadi idaman, tidak kiralah status mereka sama ada duda atau janda, suami orang atau isteri orang.

Akhlak dan agama ditolak ke tepi dengan harapan segalanya boleh dikawal apabila sudah berumahtangga kelak. Ibu bapa juga sudah tidak kuasa menegah atau mengawal pemilihan jodoh anak-anak perempuan. Jodoh aturan keluarga dilihat sebagai suatu perkara yang pelik dan tak masuk akal. Ini kerana zaman sudah berubah. Anak-anak perempuan tidak lagi terperuk di dapur. Pendidikan dan kerjaya yang menjamin ekonomi yang mantap menjadi buruan. Desakan ‘sang hedonisme’ juga memaksa wanita mencari jodoh yang ‘sekufu’ dari aspek material dan juga ‘gaya hidup’ yang berlandaskan wang ringgit.

Bagaimanapun, ada juga wanita yang masih menitikberatkan aspek keagamaan sebagai ciri utama dalam pemilihan jodoh. Walaupun sukar mencari lelaki yang menepati aspek agama, budi bahasa, pendidikan, harta, dan kerjaya sekali gus, wanita tetap berusaha mencari sebaik mungkin. Dewasa ini apakah ciri-ciri yang harus dilihat selain aspek keagamaan yang perlu diberi perhatian? Dengan mengambil berat aspek kerohanian bakal suami, aspek luaran seperti pendidikan dan kerjaya juga amat penting demi meneruskan hidup yang semakin menghimpit.

Suatu waktu dahulu, seorang wanita cantik bernama Mawiyah binti. Afzar yang hidup di tanah Arab memilih bakal suami dengan cara yang tersendiri. Selain cantik, Mawiyah juga terkenal sebagai gadis yang cerdas akalnya dan dari keturunan bangsawan.Tiga orang lelaki daripada keturunan bangsawan dan hartawan datang meminangnya. Mereka adalah Hatim At-Ta´i , An –Nabighah, dan seorang lagi hanya dikenali sebagai lelaki dari suku Nabit.

Mawiyah yang cerdik akalnya , memakai pakaian yang hodoh seperti orang tua lalu keluar menuju rumah ketiga-tiga lelaki tadi sebagai seorang pengemis. Di rumah lelaki dari suku Nabit, Mawiyah menerima tulang-tulang unta sembelihan dengan suka hati dan mengucapkan terima kasih. Di rumah An –Nabighah, Mawiyah menerima ekor-ekor unta sembelihan. Manakala, di rumah Hatim At -Ta´i yang sedang sibuk mengadakan persediaan untuk kenduri, Mawiyah menerima daging yang terbaik dari unta yang disembelihnya.

Mawiyah juga menguji hati budi ketiga-tiga lelaki itu dengan ciptaan syair mereka. Nabighah membaca syair yang memuji dirinya sendiri. Lelaki Nabit pula hanya ‘mengarut’ dan bercakap kosong, manakala Hatim pula mendendangkan syair yang melambangkan akhlak dan jiwa yang murni, yang perlu bagi setiap manusia.

Mawiyah tidak memberikan komen apa-apa terhadap syair Hatim. Sebaliknya, dia hanya mengarahkan pelayannya agar menghidangkan bahagian-bahagian unta hasil mengemis yang telah dimasaknya itu. Sup tulang unta dihidangkan kepada lelaki Nabit , ekor unta dihidangkan kepada Nabighah dan Hatim mendapat bahagian daging yang paling bagus . Barulah mereka sedar bahawa yang datang semalam adalah Mawiyah yang menyamar sebagai pengemis tua. Kedua-duanya tertunduk malu. Sementara Hatim senyum-senyum dan kagum akan kecerdikan Mawiyah. Dan Mawiyah tahu siapa yang harus dipilihnya.

Mungkin kisah Mawiyah ini boleh dijadikan renungan bahawa pemilihan suami harus dengan hati yang bersih dan bijaksana. Suami yang baik bakal memimpin wanita atau isteri ke arah kemenangan di dunia dan akhirat.

Kualiti seorang lelaki yang ingin dijadikan suami sebaiknya dinilai melalui agama dan akhlaknya (kekal di dunia dan akhirat), selain aspek harta, rupa paras, umur, pangkat dan kedudukan (yang amat penting di dunia).

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Jika seseorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu redha (berpuas hati) agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Sekiranya tidak, maka akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.” (Riwayat Muslim)
A
llah s.w.t telah menyuruh hamba-Nya agar berkahwin dengan lelaki yang soleh walaupun dia seorang yang miskin kerana Allah Taala akan meluaskan rezekinya setelah berkahwin. Firman-Nya dalam surah An-Nur, ayat 32 yang bermaksud:

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”

Walaupun anak-anak perempuan diberi kebebasan memilih jodoh, ibu bapa tetap mempunyai hak memberi pendapat dan menasihati mereka dalam soal ini. Pengalaman ibu bapa boleh dijadikan ukuran menilai lelaki yang bakal menjaga anak perempuan mereka. Manakala, ‘jiwa muda’ dan ‘darah panas’ yang sinonim dengan anak muda boleh menenggelamkan kewarasan akal dalam memilih pasangan hidup. Oleh itu, ibu bapa harus menasihati anak-anak perempuan dengan bijaksana supaya mereka memilih pasangan yang betul.

Rasulullah s.a.w juga menegah ibu bapa daripada mengahwinkan anak-anak mereka dengan lelaki yang fasik. Baginda mengingatkan dalam sabda baginda yang bermaksud:

“Sesiapa yang menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasik, bererti ia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri.”

Fasik merupakan suatu perbuatan ‘tidak mempedulikan perintah Allah’. Betapa rugi seorang wanita yang semasa di dalam jagaan keluarganya amat taat kepada perintah Allah, hanyut didamping oleh lelaki yang fasik.
Kefasikan seseorang akan melenyapkan hartanya (melalui aktiviti perjudian, minum arak, berkunjung ke tempat maksiat dan sebagainya).

Selain itu, hak isteri dan anak-anak juga terabai dan seterusnya mengundang kepada masyarakat yang berpecah belah dan mengundang kemurkaan Allah s.w.t.

Diriwayatkan dalam sebuah kisah, seorang lelaki menemui Hassan bin Ali r.a (cucu Rasulullah s.a.w) dan berkata: “Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki. Maka kepada siapakah perlu kukahwinkan?” Hassan menjawab, “Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, kerana jika ia menyukai isterinya, ia pasti mengasihinya, sekiranya dia marah, dia tidak akan menzaliminya.”

Melihat kepada situasi masyarakat hari ini, sangat sukar menemui lelaki yang benar-benar menepati apa yang disarankan oleh Islam. Bagaimanapun, masih ada lelaki yang baik yang boleh menemani wanita sebagai seorang suami.
Mungkin juga wanita boleh mengambil ‘dominan’ lelaki dengan berusaha mendidik dan memberi nasihat kepada suami jika suami mereka kurang menitikberatkan hal-hal yang berkaitan dengan agama.

Walau apa jua situasi dan budaya yang menular dalam masyarakat hari ini, wanita tidak boleh menutup sebelah mata aspek pencarian suami yang baik. Lupakanlah seketika kekayaan dan kedudukan si lelaki. Tetapkan hati untuk mencari bakal suami yang soleh dan menitik beratkan aspek agama. Perkahwinan bukan sebuah perjalanan yang singkat. Ia merupakan titik permulaan sebuah ‘ikatan sosial’ yang melibatkan soal kehidupan, tuntutan biologi, nasab keturunan, hak, tanggungjawab dan kasih sayang bersama pasangan yang telah kita pilih. Maka, agama adalah ciri terbaik yang harus ada pada seseorang lelaki untuk memelihara ikatan sosial itu.

Advertisements