Semalam menyaksikan rancangan KM/j yang dihoskan oleh pengarah, penerbit dan penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim. Kisah berkisar kemalangan yang melibatkan sebuah lori tanah/simen yang menghempap atas kereta seorang lelaki. Lelaki itu maut. KM/j mengupas detik kemalangan, proses menyelamat, bincang isu keselamatan, enjin dan kesilapan yang dilakukan oleh pemandu lori berkenaan.

Hati tersentuh tatkala keluarga mangsa dihubungi. Air mata tak tertahan ketika melihat situasi isteri dan anak-anak mangsa ketika lagu instrumental dialunkan…

Teringat lagi kata-kata isteri mangsa…

“selalu dia balik pukul 1 tghhari untuk makan…tapi hari tu, pukul satu tak balik…pukul 2 tak balik…….”

BEKU

Pagi ini saya terlewat lagi gara-gara beg dompet yang tertinggal. Tren penuh. Sesak. Mujur dapat duduk di sebelah lelaki yang agak gempal dan sedang lena tidur. Agak sempit tempat duduk saya yang dimonopoli lelaki itu. Tiba-tiba saya rasa nak dedikasikan sebuah puisi ringkas (bukan puisi sebab penggunaan bahasa agak cacamerba).

Ruang ini agak pengap

Matahari pecah

peluh tengit telah menyimbah

di situ mereka beramai

sekolam air mula penuh

mereka tertegun

detik ketumpahan mula dihitung

kelip mata tidak ada

deru angin bersenandung bunyi pelik

kolam telah penuh

air mengalir lesu

menitis ke baju

kolam pecah.

mereka berpaling

Lelaki itu masih tidur sedangkan air liurnya telah melimpah!

Sampai di KL saya bergegas. Bukan sebab takut terlewat tiba (dah memang lewat), tapi kerana ingin lari dari matahari yang telah pecah. Sinarnya membakar rasa, menyengat jiwa.

Seorang tua terpaku di pinggir jalan. Memandang kiri kanan namun tiada siapa menghirau. Kenderaan memenuhi ruang jalan sehingga lampu isyarat berwarna hijau untuk pelintas jalan, kereta masih bergerak. Sisi badan saya terlanggar kereta.

Orang tua itu menunjukkan sesuatu pada jalan. Ular sawa terlentok. Kekenyangan? Rasanya ular itu dah mati sebab posisi badan yang agak erotik, bukan cara seekor ular sawa yang cantik kulitnya meraikan kekenyangan.

Tiba-tiba saya rasa berdarah sejuk, peluh merenik dan roma menegak. Agak gementar dengan situasi itu walaupun kulit ular sawa dan baju yang saya pakai hari ini membuatkan orang menyangka kami dari spesis atau gender yang sama.

*Wanita tabah itu, saya doakan dia dikurniakan ketabahan berganda dalam membesarkan anak-anak yang masih setahun jagung. Al-Fatihah untuk arwah suaminya.

* Lelaki ‘kolam air liur’ itu, dinasihatkan agar jangan tidur terlalu lena.

*Orang tua itu – Jangan terlalu berani berdiri dekat sangat dengan ular sawa erotik itu.

Advertisements