silaturrahimbmp.png

MASIH lagi mengisi ruang-ruang akhbar dan televisyen mengenai isu yang berkaitan dengan pergaduhan, buli, dan keruntuhan akhlak yang seterusnya membawa kepada kes-kes pembunuhan di sana-sini sehingga berita-berita sebegini menjadi kudis dalam kehidupan manusia. Semakin hari semakin bertambah-tambah nilai assabiyah dalam diri manusia hari ini.

Sebuah keluarga boleh berpecah belah hanya kerana berebut akan harta warisan yang cuma sekangkang kera. Adik-beradik bercakaran hanya kerana tidak mahu berkongsi barang mainan. Suami isteri menyingsing lengan, terlupa pada ikatan suci perkahwinan yang dibina bertahun-tahun lamanya.

Sesama jiran menarik muka memanjangkan sengketa hanya kerana tersilap kata terlanjur bicara. Generasi muda sudah tidak memandang yang tua sebagai manusia yang patut dihormati dan disanjungi. Memandang generasi tua hanya sebelah mata sehingga ada yang sanggup menyisih mereka jauh dari mata dan hati. Maka, rumah warga tua dan rumah kebajikan selayaknya bagi mereka yang telah terbuang dari sebuah institusi yang bernama ‘kekeluargaan’.

Dalam sektor pekerjaan pula, dengki mendengki, hasut, khianat, fitnah dan ‘talam dua muka’ mengambil tempat menyisihkan silaturrahim, seterusnya merenggangkan hubungan manusia sesama manusia, apatah lagi dengan Allah s.w.t.

Apabila sekecil-kecil titik hitam dalam hati memusnahkan suatu sunnah yang dinamakan silaturrahim, kesannya amat besar, panjang dan menyakitkan. Sekecil-kecil peribadi seorang kakak tiada sifat bertolak ansur terhadap adiknya, seorang suami atau isteri tidak memberi nilai kasih yang sewajarnya pada keluarga, sesama jiran menutup rapat pintu kemesraan, seorang majikan atau pekerja tidak mengamalkan nilai ‘kerja sebagai suatu ibadah’, dan sebesar peranan pemimpin yang cetek akalnya menurut nafsu kekuasaan sehingga tercetusnya peperangan. Maka, di sinilah lenyapnya nilai dan keindahan sebuah kasih sayang, perikemanusiaan dan seterusnya memusnahkan suatu sunnah yang bernama silaturrahim.

Silaturrahim adalah hubungan kekerabatan dan sanak saudara yang dilingkungi oleh sifat saling berkasih sayang (tarahamal qaumu). Kasih sayang yang dimaksudkan bukanlah yang biasa-biasa, tetapi merupakan kasih dan sayang yang amat rapat, ikhlas dan luhur antara ibu bapa dan anak, kaum keluarga, sanak saudara, dan juga jiran tetangga. Malah, definisi silaturrahim juga merangkumi batas sempadan negara iaitu hubungan antara sesama manusia tanpa mengira warna kulit ataupun bangsa.

Silaturrahim merupakan satu sunnah yang tidak lagi diminati oleh masyarakat hari ini. Buktinya ada di mana-mana. Wujudnya kejengkelan terhadap silaturrahim bermula dari diri individu seterusnya melanda kepada institusi kekeluargaan. Terdapat banyak kes pada hari ini menunjukkan silaturrahim bukanlah suatu ikatan yang diutamakan dalam diri setiap individu. Antaranya, kes pembunuhan ibu atau bapa oleh anak-anak, suami membunuh isteri yang sedang menyusukan anak, isteri membunuh suami yang curang dan juga cucu membunuh nenek atau datuk. Malah, yang paling menyayat hati seorang ibu sanggup menggugurkan anak yang dikandung dan jika lahir pun, bayi itu sanggup dibuang merata-rata laksana sampah yang tiada nilainya.

Hubungan kekeluargaan adalah satu usaha untuk membentuk masyarakat Islam yang berkualiti. Dalam hubungan ini, kepentingan setiap individu terjamin apabila setiap anggotanya saling sayang menyayangi, melindungi dan ingat-mengingati. Allah s.w.t berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 1, yang bermaksud:

“Dan takutlah kepada Allah yang pinta-meminta kamu dengan nama-Nya dan (takutlah akan memutuskan) silaturrahim. Sesungguhnya Allah mengawasi kamu.”

Ibu bapa mempunyai kedudukan mulia di mata Allah sw.t. Ibu bapa juga merupakan orang yang paling hampir dengan kita dari aspek ikatan kekeluargaan dan pertalian darah. Selayaknya ibu bapa menerima penghargaan yang maha besar dari Allah s.w.t sebagai orang yang harus dihormati kerana jasa mereka sejak kita di dalam kandungan sehingga dewasa. Malah, sehingga kita mati pun, jasa dan pertalian darah antara kita dan ibu bapa tak akan pernah putus. Iman seseorang juga tidak sempurna jika mencalarkan kebeningan hati ibu bapa.

Begitu juga bila berbicara mengenai jasa dan pengorbanan ibu bapa yang tidak dapat dibalas dengan apa jua perkara. Pernah di ceritakan pada zaman nabi mengenai jasa seorang ibu membesarkan anaknya. Kisah ini berlaku ketika Abdullah Umar melakukan tawaf di Baitullah. Ada seorang lelaki berasal dari Yaman memikul ibunya bertawaf dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Peluh mengalir di wajahnya, dia amat keletihan. Orang itu bertanya kepada Ibnu Umar: “Apakah menurutmu aku membayar jasa ibuku atas apa yang ia lakukan untukku selama ini?” Ibnu Umar menjawab: “Demi Allah, tidak walaupun satu nafasnya.”

Selain ibu bapa, kita juga harus menjaga silaturrahim sesama jiran. Jiran tetangga merupakan kerabat yang paling hampir dengan keluarga kita. Malahan, hubungan rapat dan mesra yang terjalin kadangkala melebihi sanak saudara yang mempunyai pertalian darah dengan kita.

Allah Subhanahu wa ta´ala memerintahkan manusia supaya berlaku baik terhadap jiran tetangga, sama ada jiran tetangga yang dekat ataupun yang jauh. Ini jelas sebagaimana firman-Nya dalam surah An-Nisaa’, ayat 36 yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya.”

Rasulullah s.a.w telah menjelaskan tentang ancaman orang yang menyebabkan jiran tetangganya tidak aman tenteram melalui sabda baginda yang bermaksud:

“Tidak akan masuk syurga seorang yang jiran tetangganya tidak aman daripada kejahatannya.” (Riwayat Muslim)

Jelas, jiran merupakan golongan yang paling hampir dengan keluarga kita, apatah lagi jika kita hidup sebatang kara, jiran adalah orang yang paling layak menegur dan memberi nasihat kepada kita. Silaturrahim yang telah dipupuk dari diri sendiri, membawa kepada ikatan kekeluargaan seterusnya diamalkan dalam hidup bermasyarakat mempunyai banyak kebaikan di dunia dan akhirat.

Pernah diriwayatkan, tentang rumah-rumah yang tidak dimasuki syaitan. Antara rumah-rumah yang dibenci oleh syaitan ialah rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan silaturrahim, menjaga adab dan berbakti kepada orang tuanya dan rumah yang penghuninya terdiri dari pasangan yang soleh dan solehah serta saling faham memahami dan bertolak ansur selain suka memaafkan orang lain dan rumah yang sentiasa dipenuhi dengan ucapan salam dan meminta izin. Rumah-rumah sebegini yang dipenuhi dengan amalan mulia, akan memupuk ikatan silaturrahim berpanjangan.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Samurah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum diisraqkan…”

Antara mimpi-mimpi Rasullullah itu ialah baginda telah melihat seorang dari umatnya didatangi oleh malaikat maut dengan keadaan yang amat menggerunkan untuk mengambil nyawanya. Namun, perbuatan malaikat itu telah terhalang oleh ketaatan dan kepatuhan umat tersebut kepada kedua ibu bapanya. Baginda juga bermimpi umatnya cuba untuk berbicara dengan golongan mukmin tetapi mereka tidak membalas bicaranya. Namun, sifat silaturrahim dan tidak suka bermusuh-musuhan umat itu telah menyebabkan golongan mukmin itu menyambut malah membalas bicaranya.

Untuk menjalinkan silaturrahim bukanlah sukar, apatah lagi dengan kemudahan dan kecanggihan teknologi perhubungan terkini yang membolehkan silaturrahim dijalin lebih erat, lebih mantap dan kukuh. Penggunaan telefon bimbit, emel, sistem pesanan ringkas (sms), dan sebagainya banyak membantu untuk bertanya khabar dan mengekalkan silaturrahim sesama kita.

Bukan itu sahaja, jarak perjalanan untuk mengunjungi, atau menziarahi ibu bapa dan sanak saudara boleh dipendekkan dengan sistem pengangkutan yang baik seperti kapal terbang, komuter, lrt, kereta, malah, sistem jalan raya juga bertambah baik dengan pembinaan lebuhraya yang mampu memendekkan masa dan tenaga. Bukankah zaman serba moden seperti ini sepatutnya mengeratkan lagi silaturrahim yang telah wujud?

Apa yang penting keinginan untuk bersilaturrahim diwujudkan oleh sifat diri manusia yang tidak sombong, suka bersedekah, ikhlas dalam setiap perkara, saling kunjung mengunjungi terutama apabila ada kematian, majlis perkahwinan ataupun ketika sanak saudara dilanda musibah.

Apabila silaturrahim antara keluarga dan masyarakat dijaga dengan baik dan utuh, negara juga akan menerima tempiasnya. Tempias yang baik itu merangkumi ikatan silaturrahim yang membentuk pengukuhan dari aspek ekonomi, politik, agama, sosial, dan lain-lain lagi.

Ikatan silaturrahim tidak terhenti setakat itu sahaja, malah berlangsung sehingga ke akhir hayat malah menjadi perhitungan di akhirat kelak

Advertisements