classical_scenery_painting.jpg

Sejak akhir-akhir ni hubungan saya dengan dunia hiburan agak dingin. Kesibukan memerhati dan menikmati alam sekeliling membuatkan saya mengikat kemas earphone. Tiada lagu, tiada bebelan dj menerjah kegegendang telinga saya sama ada di pejabat mahupun dalam perjalanan pulang ke rumah.

Peminggiran lagu dalam hidup saya juga disebabkan oleh perjalanan ke tempat kerja atau pulang ke rumah yang sentiasa ditemani oleh seorang kawan. Kawan biasa. Dan mulai hari ini saya mula menjeling kembali earphone saya. Balik ni, saya keseorangan (tiada teman bicara) kerana kawan saya dah memiliki sebiji motor. Dan dia takkan berkongsi ‘tekanan jiwa’ dengan saya lagi (tertekan naik komuter …hehheeheehe).

Dan pagi ini, tak semena-mena saya kehilangan mood untuk mencari stesen radio. Hanya mendengar apa yang telah sedia ada. Era.fm. Mendengar topik pagi bersama K&K kadangkala meriangkan hati yang beku. Apa yang nak saya kongsikan bersama anda ialah istilah ikon yang menjadi topik pagi hari ini.

IKON?

kamus dewan edisi ketiga :

  1. gambar, lukisan, imej, gambaran ; puisi Sutardji wujud dalam konteks ritual dan kepercayaan beserta ~ yang seiring bagi dunia magis Melayu-Indonesia yang primitif.
  2. lukisan atau gambar yang dianggap sebagai keramat (orang yang mulia)

Manakala dalam kamus dwibahasa oxford pula,

icon : patung atau lukisan suci (dalam sesetengah gereja)

Secara umumnya, ikon mewakili suatu pandangan atau tanggapan seseorang terhadap sesuatu. Mungkin juga ia berkisar soal ‘puja-memuja’ sesuatu perkara, benda, orang dan sebagainya. Mungkin juga ikon sekadar mewakili suatu perasaan ‘mengkagumi’ seterusnya menjadikan sesuatu yang dikagumi itu sebagai contoh, atau perangsang untuk menggapai impian.

Ikon yang dicari pula bergantung kepada individu itu sendiri sama ada mahu menjadikan seseorang atau sesuatu sebagai titik tujuan.

contohnya :

  • Nabi Muhammad s.a.w harus dijadikan ikon terbaik setiap muslim untuk menjalani hidup yang sebaiknya sebagai khalifah di muka bumi ini. Keperibadian dan kekentalan Nabi Muhammad tiada tolok bandingnya. Setiap apa yang ada pada Nabi Muhammad harus diteliti, amati dan aplikasi dalam kehidupan seharian.

Di luar sana juga terdapat pelbagai-bagai perkara, benda dan manusia yang boleh dijadikan ikon untuk membina kecemerlangan diri. Namun jangan sampai mendewa-dewakan ikon yang menjadi pilihan.

Akhir sekali, saya terpikat dengan kata-kata saiful apek dalam segmen k& k yang mengatakan;

“kita boleh menjadi ikon kepada orang lain”

Betul juga. Ada pahala di situ, jika kita boleh mendidik orang lain atau memberi kebaikan kepada orang lain dengan keperibadian kita. Mulai saat ini, belajarlah menjadi ikon kepada orang lain.