Semalam, untuk kali pertama saya ke Desa Pandan menggunakan perkhidmatan Putra LRT dan Star LRT. Biasa sahaja, mungkin lebih baik daripada bas kerana kelajuannya dan kekerapannya. Penat kerana berdiri itu sudah biasa dan saya yang biasanya hanya menghadap pc sehari suntuk berasa agak pening apabila terkena cahaya matahari yang agak terik tengahari semalam.

Apa yang saya nak ceritakan di sini bukanlah isu LRT yang agak memeningkan kepala sedikit sewaktu ke sana ke mari di Masjid Jamek menukar laluan dan membeli tiket. Isu yang sangat berhubungkait dengan Statistik Perempuan bodoh 1 akan saya paparkan salah satu kebenaran kajian teman sekolah saya dahulu.

Kebodohan 1 :

Maaf, saya terpaksa meminjam perkataan ‘bodoh’ pengkaji (teman saya), untuk menggambarkan tentang perilaku buruk seorang remaja perempuan di kl sentral semalam (berbaju putih belang halus dan seluar panjang yang agak sendat dan bertudung putih) dan pasangannya seorang lelaki (yang berbaju kemeja lengan panjang berwarna coklat kayu serta berseluar slack hitam).

maksiatbmp.jpg

Semasa semua orang sedang sibuk ke sana ke mari menunggu tren (dalam pukul 5.30 ptg), sepasang kekasih remaja itu sedang berdua-duaan duduk di kerusi dan tangan si lelaki sibuk meraba itu ini, yang perempuannya pula hanya tersengih-sengih dan sesekali memandang sekeliling. Banyak mata memandang – dengan menyampah! tapi tiada siapa berani menegur termasuk saya.

Perlakuan itu diteruskan lagi oleh si lelaki (kalau ada statistik lelaki bodoh, dialah antara yang pertama tersenarai) dalam perut tren komuter yang bergerak ke arah Rawang itu. Dengan nafas yang agak tercungap (mungkin menahan rasa berahi terhadap si perempuan), tangannya dan badannya seolah-olah asyik nak menghimpit badan si perempuan. Dan keadaan tren yang tidak seimbang akibat pergerakan yang agak laju dan perlahan memudahkan si lelaki menghimpit si perempuan.

Sengaja saya berdiri di samping mereka walaupun ada tempat duduk yang kosong. Bukan nak mengintip aksi mereka tetapi jika boleh, saya mahu dengan kehadiran saya mereka berkelakuan lebih senonoh. Sebenarnya tindakan saya agak mengena kerana beberapa ‘jalaran’ tangan si lelaki agak terhenti apabila saya mula menoleh. Namun, bila syaitan dah mula mengipas, maka mereka tanpa segan masih dengan tindakan himpit- menghimpit itu.

Persoalannya : wajarkah perempuan begini di masukkan dalam statistik perempuan ‘bodoh’?

Alasan yang membolehkan perempuan ini tersenarai dalam statistik itu adalah :

  • Perempuan ini meletakkan diri dalam keadaan yang memudaratkan dirinya dan keluarganya – apabila menjadi bahan kutukan masyarakat, maka perbuatan ini dikatakan ‘bodoh’.
  • Perempuan ini pasti tahu kesan perbuatannya dalam jangka masa panjang atau pendek – iaitu memalukan diri sendiri dan bakal mengundang ke arah yang lebih mudarat (zina), maka sewajarnya dia tersenarai dalam statistik perempuan ‘bodoh’.
  • Tidak meletakkan dirinya pada sesuatu – iaitu cara berpakaian yang melambangkan sesuatu bangsa (melayu) dan agama (Islam), maka dia telah menghina bangsanya dan agamanya sendiri, maka sewajarnya dia tergolong dalam statistik perempuan ‘bodoh’.

Saya masih merasa, adakah wajar saya menggelarkan golongan sebegini ‘bodoh’ berdasarkan kajian teman saya? Atau saya dan masyarakat sekeliling yang bodoh kerana membiarkan perkara ini berlaku.

Saya masih ingat paparan isu maksiat di dalam kenderaan awam oleh Mastika bebrapa bulan yang lepas. Beberapa pasangan telah dikenalpasti selalu melakukan perkara sebegini di dalam tren komuter dan LRT. Sehingga suatu hari, seorang ustaz yang ditugaskan telah menegur perbuatan mereka dengan berhemah. Nak tahu jawapan mereka?

“terima kasih la ustaz kerana berani menegur kami. Kami sebenarnya hanya menunggu orang menegur kami. Bila tak ada yang menegur maka kami rasakan apa yang kami buat itu betul”. (lebih kurang begini la dialognya)

Lihat. Betapa kita sendiri sebagai masyarakat yang melihat perkara ini tidak berani menegur. Bayangkan jika kita bersama-sama menegur sesuatu yang mungkar itu dengan BERHEMAH, pasti gejala maksiat dapat dibendung sedikit demi sedikit. Malah, pasti teman saya juga akan terkial-kial dan ‘sakit otak’ mencari data dan responden untuk dijadikan bahan kajian “Statistik Perempuan Bodoh” nya itu!