Ini ada sambungan dari entri sebelumnya (cerita tak habis lagi)…

Pejalanan amat meletihkan dengan keadaan lalulintas yang jem dan hujan yang turun tak menentu. Keadaan penumpang juga boleh saya simpulkan sama seperti saya –keletihan dan kebosanan. Lamunan saya terhenti seketika, nyonya di sebelah saya telah lena dan mula terlentok-lentok manja seperti anak kucing yang baru seminggu lahir. Mata saya menerawang di setiap genap ruang dalam bas. Sesekali kepala saya menari-nari dengan rentak lagu yang berkumandang.

 

 

Perjalanan dengan pemandangan ‘letih’ melihat pekedai yang masih membersihkan lumpur itu terhenti lagi apabila ada seorang penumpang menaiki bas – Penumpang OKU (cacat penglihatan).

Saya tahu lelaki oku itu akan berhenti sama tempat dengan saya. Dia hanya berdiri kerana tiada tempat duduk. Sesekali badannya melayang-layang mengikut pergerakan bas yang agak ‘gila’ kadangkala.

Ingin sahaja saya bangun dan menawarkan tempat duduk saya, tetapi keadaan kaki saya yang tidak begitu baik dan juga kedudukan saya yang agak jauh, saya hanya diam, sambil terus bertimbangkira sama ada mahu memberi tempat duduk saya atau tidak.

Mujurlah ada seorang lelaki budiman yang bangun dan memimpin lelaki oku itu untuk duduk. (Mujur? – ermm saya memang kurang sivik agaknya). Sebenarnya saya memang berdoa agar ada org yang akan memberi tempat duduk kepada lelaki oku itu kerana saya memang tidak mahu mengulang sejarah lama saya yang pernah jatuh dalam bas kerana kaki yang kurang sihat dipaksa juga untuk berdiri. Saya tak tahu di mana nilai dan sikap saya waktu ini dengan membiarkan oku sebegitu.

Perjalanan diteruskan lagi. Melalui beberapa tempat dan kawasan. bas berhenti dan berjalan seperti biasa sehinggalah sampai ke tempat yang ingin saya tuju. Bas tidak melalui jalan yang biasa. Saya perhatikan lelaki oku tadi. beberapa persoalan wujud dalam hati saya ;

  • Bagaimana caranya untuk oku ini turun ditempat yang dia ingin turun?
  • Siapa yang akan memberitahunya
  • Siapa yang akan membantunya melintas jalan?

Saya tunggu lagi. Jika saya turun dari bas dan dia masih di situ, saya akan datang padanya dan bertanya tempat yang ingin ditujuinya (kerana saya tahu dia turun di kawasan perumahan yang sama dengan saya).

Bas berhenti. Saya bangun dan lelaki oku itu juga bangun. Saya pelik – macam mana dia tahu itu tempat yang ingin ditujui olehnya. Dan Alhamdulillah, ramai yang membantunya melintas jalan.

Saya masih tertanya hingga sekarang – teknik hafalan? deria keenam? Inilah perkara yang harus saya belajar dengan banyak lagi, dan saya menerima hakikat mereka juga mempunyai banyak kelebihan lain – yang kita sendiri tak tahu apakah ia?

Advertisements