akal.gifSEKUMPULAN ayam telah tersesat di dalam sebuah hutan dalam usaha mencari reban yang terletak di pinggir hutan. Keadaan hutan yang gelap menyukarkan ayam-ayam ini bergerak dengan pantas, apatah lagi ayam-ayam ini sedang membawa telur sebiji setiap seekor.

Ayam yang di hadapan sekali yang sudah tentunya merangkap ketua bagi ayam-ayam ini, mengarahkan anak buahnya supaya berkumpul rapat-rapat dan bersentuhan antara satu sama lain agar tidak tersesat dalam kegelapan hutan itu. Cuaca bertambah gelap. Bermakna sebentar lagi malam akan menjelang. Ketua ayam juga mengingatkan anak buahnya agar menjaga telur-telur itu dengan baik memandangkan telur itu akan dieramkan dan menghasilkan keturunan mereka kelak. Ayam-ayam yang lain mengangguk tanda faham dan setuju.

Ketua ayam memulakan langkah dengan teratur kerana keadaan dalam hutan yang gelap memungkinkan segala-galanya. Apatah lagi ketua ayam sendiri tidak arif dengan keadaan hutan itu dan dia tahu mereka bakal diancam dengan pelbagai halangan terutama daripada musuh ketat mereka, sang musang, yang sememangnya banyak berkeliaran di dalam hutan tersebut.

Paling dibimbangkan oleh ketua ayam ialah telur-telur yang harus dipelihara dengan selamat sehingga tiba di pinggir hutan nanti. Mampukah dia menjaga anak buahnya serta telur–telur itu dengan selamat. Ketua ayam semakin bingung, namun dia terus melangkah dalam keadaan yang terkebil-kebil sambil diperhatikan oleh anak buahnya. Mulutnya diam seribu bahasa.

Setelah beberapa ketika berjalan, keadaan hutan semakin gelap. Ketua ayam hanya melangkah mengikut kata hatinya. Bagaimana cara yang paling mudah untuk pulang ke reban dengan selamat?

“Mungkin aku boleh menggunakan denai yang biasanya dilalui oleh manusia. Dengan cara itu pasti tidak akan tersesat. Atau mungkin aku boleh menggunakan deria rasa untuk mengenalpasti laluan yang betul,” bisik hati kecil ketua ayan sambil menggaru kepalanya.

Ketua ayam semakin bingung. Namun langkah kaki masih diteruskan. Anak buahnya hanya senyap dan mengekorinya dengan hati-hati. Keadaan semakin gelap. Bunyi-bunyi yang kurang menyenangkan semakin kuat kedengaran. Ketua ayam semakin cuak. Begitu juga dengan anak buahnya.

Akhirnya, ketua ayam berhenti dan meminta anak buahnya berkumpul mengelilinginya. Ketua ayam meminta anak-anak buahnya bertenang dan mendengar kata-katanya dengan jelas.

“Kita dah tersesat. Untuk sampai ke reban bukanlah mudah memandangkan keadaan amat gelap dan kita diancam oleh sang musang,” kata ketua ayam sambil berhenti seketika. Mengharap tindak balas daripada anak buahnya. Namun tiada seorang pun yang bersuara.

“Saya tak pasti jalan yang betul, namun saya harap kita dapat bekerja sama dalam menyelamatkan telur-telur ini dan juga diri kita sendiri,” kata ketua ayam, kemudian berhenti bersuara. Dan sekali lagi tiada tindak balas dari anak buahnya.


“Simpan telur di tempat yang anda fikirkan selamat. Jangan sampai sang musang tahu, pertahankan telur kita kerana hanya inilah harta yang kita ada,” seru ketua ayam bersungguh.

Oleh kerana anak buahnya hanya senyap dan menunjukkan rasa takut yang amat sangat, ketua ayam mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan. Dia tiada pilihan lain.

Tidak sampai beberapa langkah, seekor daripada anak buahnya telah lalai dan ditangkap musang. Begitu juga dengan beberapa anak buahnya yang lain. Telur-telur pecah dan bersepah di sana sini menjadi santapan sang musang. Malahan anak-anak buahnya dengan mudah diratah oleh sang musang kerana mereka terlalu ketakutan. Segala arahan ketua ayam dilupakan. Walau bagaimanapun, ketua ayam, terus melangkah dengan laju sehinggalah tiba di pinggir hutan dengan termengah-mengah.

Ketua ayam kecewa dan berputus asa kerana usaha untuk pulang dengan selamat tidak kesampaian. Hanya beberapa ekor anak buahnya yang terselamat. Itupun yang berada di belakangnya. Ketua ayam benar-benar kecewa denga apa yang berlaku. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Adakah tindakannnya meneruskan perjalanan suatu keputusan yang salah. Dan berbagai-bagai lagi persoalan wujud dalam fikirannya akibat peristiwa yang berlaku itu.

Sebenarnya kisah ayam dan sang musang di atas banyak berlaku pada manusia. Kisah di atas sebenarnya menggambarkan struktur organisasi sesebuah gerak kerja. Tidak kiralah organisasi itu besar atau kecil.

Kisah ayam di atas merupakan kiasan daripada aktiviti Fox Web yang dilaksanakan oleh Amalpro kepada peserta-perserta yang terdiri daripada pekerja biasa sehinggalah ke peringkat pengurusan tertinggi. Dalam aktiviti Fox Web, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada beberapa orang anggota (biasanya lebih kurang 9 atau 10 orang). Setiap anggota diberikan sebiji telur yang perlu dibawa dan disimpan sehingga ke pusat penamat yang menempatkan beberapa biji botol.

Setiap kumpulan diminta mencari titik penamat yang mempunyai jumlah botol yang telah ditetapkan berpandukan tali yang diikat dari pokok ke pokok. Selagi tidak berjumpa dengan bilangan botol yang tepat, mereka dikehendaki mencari dan terus mencari dalam keadaan hutan yang gelap dan mata ditutup dengan kain hitam. Selain itu, koordinator akan bergerak sebagai ‘musang’ yang akan mengganggu perjalanan pencarian itu dan berusaha untuk memecahkan telur-telur yang dibawa oleh setiap anggota kumpulan.

Bayangkan! Dalam keadaan gelap, mata pula ditutup, berjalan teraba-raba dalam hutan, akar kayu berselirat, tangan memegang tali manakala telur pula harus dijaga rapi agar tidak pecah. ‘Musang’ pula berkeliaran mencari peluang untuk memecahkan telur tersebut. Apa sangat yang boleh kita pertahankan dalam keadaan begitu? Bagaimana pula cara yang terbaik yang boleh dilakukan untuk menjaga telur yang mudah pecah? Apa yang harus di lakukan sekiranya ada anggota yang tertinggal atau terlepas dari kumpulan?

Setiap ahli dalam pasukan harus bekerjasama, berganding bahu dan mengadakan muzakarah (mesyuarat) dalam menangani masalah yang wujud. Ketua juga bertanggungjawab menyampaikan maklumat dan kepakaran yang dimiliki demi kebaikan semua pihak manakala anggota kumpulan pula harus memberi sumbangan serta memainkan peranan sebaiknya, dan bukan hanya menjadi pengikut semata-mata.

Aktiviti seperti ini banyak membantu peserta dalam menerapkan nilai-nilai bersama sebagai sebuah pasukan. Peserta di dedahkan dengan nilai kepimpinan, sikap bertanggungjawab, belajar membuat keputusan, belajar mematuhi arahan, membina kekuatan diri peserta, amanah, komitmen dan kepentingan kerja berpasukan, kepentingan pelaksanaan prosedur keselamatan, kepentingan perancangan dan persiapan, menyampaikan maklumat yang betul dan berkesan dan banyak lagi.

Kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada sumbangan semua pihak. Tidak kira sama ada individu tersebut bertugas sebagai tukang sapu, pemandu, kerani am, pengurus, pengurus besar atau lebih tinggi daripada itu. Setiap pemimpin memerlukan pengikut yang setia, rajin, bekerjasama dan setiap pengikut memerlukan pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang jitu.

Setiap individu memainkan peranan penting dalam menggerakkan sesebuah organisasi. Ini kerana dalam diri setiap manusia mempunyai nilai yang seterusnya membentuk sikap. Sikap ini akan menghasilkan paradigma yang seterusnya memberi kesan kepada nilai bersama yang wujud di tempat kerja. Nilai bersama yang dipupuk pula akan memberi pengaruh yang besar kepada jatuh bangunnya sesebuah organisasi.

Apakah kepentingan nilai, sikap dan paradigma dalam membentuk nilai bersama dan seterusnya melahirkan sebuah organisasi yang mantap?

Nilai mempunyai pelbagai tafsiran termasuk nilai harga, kadar, nisbah, darjat, kualiti, mutu, taraf, dan sifat sesuatu benda atau perkara jika dibandingkan dengan sesuatu yang lain (Kamus Dewan, edisi ketiga).

Nilai dalam kehidupan manusia merujuk kepada sesuatu perkara yang boleh dipercayai oleh seseorang dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Sesuatu perkara yang disebut sebagai nilai itu tidak boleh dilihat tetapi boleh ditanggap melalui perlakuan sehari-hari atau lontaran fikiran yang melingkungi hidup seseorang. Nilai wujud melalui pengalaman dan didikan ibu bapa kepada anak-anak. Jika sejak kecil ibu bapa menerapkan nilai kebersihan pada diri anak-anak, apabila mereka dewasa nilai itu akan menjadi sebahagian daripada hidupnya. Begitu juga dengan nilai kasih sayang, nilai bantu membantu dan sebagainya.

Sikap pula sering dikaitkan dengan tabiat, perilaku, perbuatan dan perangai serta tingkahlaku yang boleh dilihat oleh orang lain. Sikap seseorang dipengaruhi oleh persekitaran, rakan-rakan, dan suasana sekeliling. Jika seseorang hidup dalam persekitaran yang positif, sikap yang terhasil lebih menjurus kepada sikap-sikap positif.

Bukan semua orang memiliki paradigma. Paradigma sering dikaitakan dengan cara mental bekerja iaitu cara berfikir untuk mencapai sesuatu yang telah diputuskan di dalam minda (tetapi belum dilaksanakan). Paradigma juga merupakan lingkungan atau batasan pemikiran (seseorang atau sesebuah organisasi) pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh

pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan kesedaran yang ada. Paradigma dipengaruhi oleh pengalaman seseorang.

Paradigma yang wujud dalam diri seseorang berbentuk pelbagai bergantung kepada cara mana dia menilai pengalamannya dan melalui pengalaman itu dia bertindak untuk melakukan sesuatu yang terbaik dalam hidupnya. Ciri-ciri individu yang mempunyai paradigma adalah seperti bersikap proaktif, menggunakan sepenuhnya kekuatan diri, menonjolkan bakat serta kebolehan, sentiasa inginkan perubahan dan mengetahui jalan ke arah itu dan banyak lagi.

Nilai boleh memberi pengaruh yang besar kepada sesebuah organisasi kerana nilai merupakan intipati kepada falsafah sesebuah organisasi. Nilai juga boleh memberi fokus kepada seseorang ke arah yang hendak ditujui. Nilai, sikap dan paradigma seseorang membentuk nilai bersama yang wujud dalam sesebuah organisasi. Nilai bersama ini akan dipersetujui atau diakui oleh semua anggota organisasi dan mengamalkannya secara bersama seperti nilai bekerjasama, integriti, amanah, berilmu, prihatin dan sebagainya.

Pengamalan nilai-nilai yang baik akan membentuk akhlak yang mulia dalam diri setiap manusia. Tidak kira di mana seseorang itu berada dan apa peranannya dalam sesebuah organisasi, dia tetap mempunyai tanggungjawab tersendiri. Pengabaian terhadap tanggungjawab itu bukan sahaja menjatuhkan maruah dan kepercayaan orang terhadapnya malah boleh memusnahkan organisasi yang menaunginya. Oleh itu, setiap individu harus menyedari peranannya sama ada sebagai seorang anak, kakak atau abang, ibu atau bapa, pekerja atau ketua, pemimpin atau pengikut.

Advertisements