irfan-48.jpg

MENJENGAH ke tahun 2020, Malaysia semakin giat menggandakan usaha dalam tempoh 15 tahun pertama bagi menjayakan agenda Wawasan 2020, iaitu mencapai status negara maju. Melalui Wawasan 2020, Malaysia telah menggariskan ‘target’ atau sasaran dalam pelbagai bidang untuk mencapai kemajuan yang seimbang dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian, dan budaya.

Perjalanan menuju ke Wawasan 2020 juga membawa hasrat Malaysia yang ingin memiliki masyarakat yang bersatu padu, berkeyakinan tinggi, berpegang teguh kepada nilai agama, moral, dan etika serta menikmati kehidupan yang demokratik, liberal, dan bertolak ansur selain berkongsi sumber ekonomi melalui persaingan yang sihat, dinamik, tangkas, adil, saksama, dan berdaya tahan.

Mampukah Malaysia mencapai Wawasan 2020 dengan berpandukan Misi Nasional Sepanjang Hayat yang dicanangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini?

Dalam usaha mencapai status Negara Maju menjelang 2020, pembinaan modal insan memainkan peranan yang penting. Ini kerana, dalam apa jua misi yang ingin dilaksanakan, pembentukan jati diri dan keutuhan bangsa sesebuah negara perlu diambil kira secara bersungguh-sungguh. Oleh hal yang demikian itu, amat bertepatan dengan apa yang ditekankan oleh Perdana Menteri bahawa Misi Nasional Sepanjang Hayat perlu diusahakan oleh masyarakat Malaysia secara keseluruhannya. Tidak kira apa agama mereka, tahap umur dan pendidikan, keturunan, perbezaan gender, dan latar belakang yang melingkungi masyarakat Malaysia yang sememangnya majmuk.

Lima teras Misi Nasional telah dibentangkan dan memerlukan penelitian secara menyeluruh oleh semua pihak, iaitu :

Teras 1 : Meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi;
Teras 2 : Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk
‘minda kelas pertama’;
Teras 3 : Menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara
membina dan produktif;
Teras 4 : Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup; dan
Teras 5 : Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.

Jika diteliti kembali, kelima-lima teras itu mempunyai tunjang yang sama, iaitu modal insan. Penekanan yang tinggi telah diberikan kepada pembangunan modal insan ‘minda kelas pertama’ dan ‘bina upaya’. Dalam melahirkan bangsa yang bertamadun dan menepati nilai-nilai yang telah ditetapkan, pendidikan amat penting. Pendidikan bukan sahaja meliputi pendidikan secara formal, malahan pendidikan secara tidak formal, iaitu proses sosialisasi dari peringkat dalam kandungan, bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, tua, dan sehingga ke akhir hayat.

Dalam proses melakukan penambahbaikan sistem pendidikan di Malaysia, kerajaan telah bertungkus lumus secara komprehensif memperkasakan institusi pendidikan formal. Usaha-usaha ini meliputi memantapkan kualiti sekolah kebangsaan, merapatkan jurang prestasi, digital dan kemudahan antara sekolah luar bandar dengan sekolah bandar, memperluas akses kepada pendidikan lebih berkualiti, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Sudah pastinya usaha ini bukan mudah dan tenaga yang menggerakkannya pula haruslah mempunyai nilai-nilai yang utuh, berdedikasi, berdaya saing, sentiasa peka dengan keadaan sekeliling, dan mempunyai nilai sebagai insan yang kamil. Aspek ini amat penting kerana berbekalkan modal insan yang sebegini akan menghasilkan bangsa yang berkualiti.

Apakah yang dimaksudkan dengan insan kamil? Kamus Dewan edisi ketiga mentafsirkan istilah ‘kamil’ sebagai ‘sempurna dan lengkap’. Istilah yang dipinjam daripada bahasa Arab ini sebenarnya merangkumi segala aspek dan sifat-sifat baik yang perlu ada pada diri setiap manusia. Nilai-nilai baik ini merangkumi akhlak dan akidah yang berteraskan al-Quran dan sunnah. Akidah yang benar dan gambaran tentang kehidupan yang tepat dan tidak dipengaruhi oleh kepalsuan, khurafat, dan falsafah-falsafah serta ajaran yang palsu, akan memancarkan nilai-nilai benar yang murni di dalam hati.

Melahirkan insan yang kamil bukanlah semudah memberi pendidikan secara formal dari kecil sehingga dewasa. Tanggungjawab menanam sifat kamil pada diri insan menuntut kesedaran yang wujud dari dalam diri insan itu sendiri. Kesedaran ini bukan sahaja merangkumi aspek kecintaan terhadap negara, bangsa dan agama malah menyeluruh meliputi keinsafan dan dan kesedaran tentang tanggungjawab setiap manusia sesama manusia dan kepada Penciptanya. Oleh hal yang demikian itu, pembelajaran dan pendidikan sepanjang hayat harus wujud dalam setiap diri manusia.

Usaha ke arah pendidikan yang berkualiti telah dilakukan secara berperingkat dan sistematik. Pelbagai kejayaan telah ditonjolkan hasil titik peluh pihak-pihak tertentu dalam memastikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia. Institusi-institusi pendidikan di Malaysia terus diberi perhatian oleh kementerian yang terbabit agar peranannya dalam melahirkan modal insan yang diharap-harapkan dapat berjalan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Institut-institut dan kolej-kolej swasta yang diambil alih oleh kerajaan membuktikan bahawa pendidikan di Malaysia bukan bersifat komersial. Malahan penaiktarafan institusi pendidikan tersebut melambangkan usaha kerajaan yang terus-menerus dalam memberi pendidikan sepanjang hayat kepada rakyat. Begitu juga dengan pengiktirafan sekolah-sekolah rendah dan menengah melalui penjenamaan sekolah-sekolah terpilih iaitu Sekolah Kluster, Sekolah Bestari, Sekolah Wawasan, Sekolah Integrasi dan Sekolah Berasrama Penuh yang suatu waktu nanti akan digabungkan menjadi sekolah yang cemerlang.

Selain itu, misi nasional juga mengambil kira tahap kualiti tenaga pengajar yang akan menghasilkan modal insan yang cemerlang dengan mengadakan kajian-kajian secara global mengenai aspek pendidikan di seluruh dunia. Usahasama dengan pertubuhan pendidikan seluruh dunia merupakan satu usaha yang baik dalam memastikan pendidikan di Malaysia tidak ketinggalan zaman.

Sebagai contoh, baru-baru ini Malaysia telah mengadakan perjanjian persefahaman antara Kementerian Pelajaran dengan University of London – King College United Kingdom bagi melaksanakan program lepasan Ijazah untuk melatih guru besar dan pengetua berhubung aspek kemahiran, kepimpinan dan pengurusan. Ini adalah sebagai satu contoh antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Bagaimanapun, dalam usaha memastikan setiap masyarakat menikmati kemudahan yang disediakan, masih ada lagi segelintir individu yang ketinggalan. Dalam apa-apa usaha ke arah penambahbaikan dalam mana-mana aspek pun, pasti ada kelemahan dan kepincangan. Kelemahan yang wujud bukan untuk mematahkan atau memperlekehkan apa yang telah diusahakan oleh pihak-pihak terbabit, tetapi kelemahan ini merupakan satu pemberitahuan secara umum, bahawa usaha yang dilakukan masih belum sempurna dan harus dikemaskini dari semasa ke semasa.

Memetik amanat Perdana Menteri Malaysia semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Presiden UMNO bersama jentera politik dan gerak saraf UMNO di ibu negara, Jumaat lepas (20 April), usaha menambah nilai dalam Misi Nasional perlus diambil berat oleh segenap lapisan masyarakat. Menurut beliau, bagi membentuk modal insan cemerlang dan seterusnya menjayakan Misi Nasional Sepanjang Hayat, setiap individu harus membuang sifat yang suka memperlekehkan usaha orang lain dan mengetepikan sikap kesukuan sesama manusia.

Selain itu, usaha penambahbaikan harus ada dalam setiap individu merangkumi usaha memberi nilai kepada bangsa dan hasil kerja. Dengan usaha ini, kita akan menghasilkan masyarakat yang lebih kaya, paling inovatif, kreatif, dan menguasai sains dan teknologi dengan baik seterusnya dapat meningkatkan kualiti hidup serta menghapuskan perbezaan dalam masyarakat.

Sebenarnya bukan mudah untuk menjayakan Misi Nasional Negara, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 dan Wawasan 2020 yang menjalar di atas landasan Islam Hadhari. Bagaimanapun, kesukaran itu tidak begitu ketara kerana Malaysia telah mencapai kestabilan politiknya sendiri di samping masyarakat yang majoritinya adalah umat Islam. Pembangunan ekonomi dan sistem pendidikan yang semakin moden memungkinkan kejayaan Misi Nasional yang lantang disuarakan oleh pemimpin negara. Selain itu, keprihatinan Malaysia berkenaan dengan hak asasi manusia sejagat juga tidak boleh dinafikan dan mula di beri perhatian oleh negara-negara luar.

Sejak akhir-akhir ini, masyarakat terlalu fokus kepada isu ketidakadilan dan pemodenan. Tidak salah jika isu itu menjadi agenda dalam melaksanakan misi nasional. Apa yang lebih penting sebenarnya ialah bagaimana cara untuk kita mempromosikan satu bentuk pendidikan yang diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Bagi umat Islam, sudah pastinya pendidikan berteraskan agama harus dinilai semula dan dipraktikkan mulai sekarang. Pendidikan yang bersumberkan al-Quran dan sunnah sudah pasti akan menghasilkan insan yang kamil, yang tinggi akhlak serta akal budinya dan seterusnya akan mencorakkan modal insan yang cemerlang.

Apakah kaitan Misi Nasional Sepanjang Hayat ini dengan pembentukan insan kamil? Misi Nasional menekankan penghasilan insan yang cemerlang bagi membentuk bangsa yang gemilang. Insan yang cemerlang hidupnya bermula daripada akhlak yang cemerlang. Dan kecemerlangan inilah yang dinamakan ‘kamil’.