Siang yang penuh dengan kedinginan. Malam yang diselubungi kehangatan. Satu dewan yang penuh dengan keamatan dan keinsafan oleh insan yang berlainan bangsa tetapi mempunyai satu jiwa yang sama – jiwa Islam. Dewan Mengkuang, Hotel Seri Malaysia Genting, Pahang yang mengumpulkan lebih seratus peserta dari pelbagai latar belakang berganding bahu, berkongsi idea dan ilmu dalam menjayakan Bengkel Kaunseling Bagi Gejala Murtad anjuran Jawatankuasa Penyelaras Gabungan Badan-badan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN-Allied Coordinating Committee of Islamic NGO.s) yang bergabung tenaga bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

ACCIN dianggotai oleh ABIM, Al-Hidayah, PERKIM, GEPIMA, Islamic Information and Services, JIM, MACMA, Persatuan Al-Hunafa, Persatuan Darul Fitrah Malaysia, Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (DARUL SYIFA), Persatuan Seruan Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (JAM’IYAH), Persatuan Ulamak Malaysia, RICOI dan WAMY. Sudah pasti gabungan idea dari wakil-wakil pertubuhan ini akan menjayakan objektif yang telah digariskan iaitu untuk memantapkan usaha-usaha menangani gejala murtad yang sedia ada, menghasilkan pelan tindakan bersama untuk mencakupi usaha kaunseling diseluruh negara serta merangka program yang berkaitan dengan pemantapan agama Islam di dunia bagi tahun 2007.

Berlandaskan pendekatan kaunseling, isu mengenai gejala murtad dibincangkan melalui diskusi-diskusi yang membariskan beberapa orang penceramah profesional dalam bidang masing-masing. Pembukaan ruang minda dimulakan dengan diskusi panel satu yang memperkenalkan 3 orang penceramah iaitu Tuan Haji Zainul Rijal yang merupakan presiden Persatuan Peguam Syari’e Malaysia, Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dari Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) dan Ustaz Rashidi Jamil wakil dari bahagian penyelidikan JAKIM. Melalui mukadimah ringkas daripada Profesor Dato’ Dr. Zainal Kling selaku pengerusi majlis, sesi diskusi memanfaatkan ruang dan masa membincangkan isu murtad dan status semasa.

Apakah yang dimengertikan sebagai murtad?, sejarah kemurtadan masyarakat Islam sejak zaman nabi Muhammad s.a.w sehingga kini, perundangan Syariah dan Sivil serta statistik kemurtadan di Malaysia dan beberapa kes kemurtadan menjadi topik yang membuka mata para peserta yang memang ingin mengetahui status semasa pergerakan dan perkembangan kemurtadan di Malaysia. Titik perbincangan memfokus kepada pasangan bercinta, kahwin-cerai dan saudara baru sebagai golongan yang menduduki statistik tertinggi kemurtadan di Malaysia. Kedinginan bukit tinggi Genting Higland tidak dapat menandingi kehangatan sesi dua bengkel yang dimulakan pada pukul 8.30 malam sehingga 10 malam 19 Januari 2007. Dengan membawa tajuk Murtad : Perbandingan Agama, diskusi panel dua dibarisi oleh Ustaz Mohamad Fitri (PERKIM Selangor), Ustaz Abdul Latif (Al-Hidayah) dan Haji Nicholas Sylvester Berry @ Muhammad Abdullah Sylvester (Jemaah Islah Malaysia) dipengerusikan oleh Encik Ann Wang Seng (PERKIM).

Rasa sensitif dan sebak menyelubungi ruang Dewan Mengkuang apabila ketiga-tiga panel penceramah dan pengerusi yang merupakan ‘saudara baru’ Islam mengkritik persepsi dan mentaliti masyarakat Melayu di Malaysia. Isu yang diketengahkan sudah pastilah tentang penerimaan segelintir masyarakat Melayu terhadap kewujudan saudara baru di kalangan mereka. Sikap dan ‘penerimaan’ yang ditonjolkan itu jelas menunjukkan betapa prejudis dan skeptikalnya layanan masyarakat Melayu terhadap kaum lain yang baru memeluk agama Islam sehingga Islam dikatakan lebih mementingkan bangsa yang menganutinya. Sikap dan peribadi sesetengah masyarakat Islam (majoritinya Melayu) yang ditonjolkan pada masa kini menyebabkan Islam bukanlah agama pilihan. Oleh itu, tidak mustahil Islam semakin tidak diminati dan kemurtadan di kalangan saudara baru banyak berlaku di Malaysia. Di akhir diskusi, panel penceramah terus menghangatkan kedinginan malam dengan melontarkan beberapa persoalan yang harus dibongkar oleh masyarakat Islam iaitu “apa tanggungjawab kita sebagai pendakwah dan khalifah di muka bumi ini dan berapa banyakkah yang telah kita lakukan demi mempertahan dan mengukuhkan Islam dalam jiwa penganutnya?”.

Pentas perbincangan semakin hangat membuka ruang diskusi pada hari kedua bengkel. Tajuk yang diusulkan bagi sesi pagi ialah “Kaunseling : Teori Asas dan Praktikal” dan “Kaunseling dan Praktis dari perspektif Islam” yang dibentangkan oleh Dr. Mansor Abu Talib yang merupakan pensyarah dan kaunselor dari Universiti Putra Malaysia dan Profesor Madya Dr. Zainab Ismail dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Menurut Dr. Mansor, kerajaan Malaysia telah mengiktiraf kaunseling sebagai salah satu cara yang baik bagi menangkis gejala murtad. Segala permasalahan yang melingkungi hidup manusia harus diselesaikan agar tidak melarat dan ‘menghantui’ diri sehingga berlaku perkara-perkara yang lebih buruk termasuklah kemurtadan. Kaunseling, melalui sistem bimbingan, penasihatan dan perundangan sedikit sebanyak dapat mengenalpasti kewibawaan, potensi dan perkembangan sumber kendiri seseorang. Melalui kaunseling juga kita dapat mengenalpasti punca segelintir individu mahu meninggalkan agama Islam yang telah dianuti sejak kecil.

Menurut Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) dan Peraturan-peraturan (2000) ; “Satu Akta yang memperuntukkan pendaftaran dan amalan kaunselor dan perkara-perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan kaunseling”

“Kaunseling adalah suatu proses sistematik untuk membantu perhubungan berdasarkan prinsip-prinsip psikologi yang dilaksanakan oleh kaunselor berdaftar mengikut kod etika kaunseling untuk mencapai satu perubahan, kemajuan dan penyesuaian yang holistik, baik dan sukarela pada diri klien supaya perubahan, kemajuan dan penyesuaian itu akan berterusan sepanjang hayat”. Sepanjang sesi ini, kaunseling menurut teori asas dan praktisnya dari perspektif Islam dibincangkan dengan panjang lebar. Kaunseling menurut perspektif Islam bermatlamat menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia agar bahagia di dunia dan akhirat serta dapat meningkatkan kualiti pemikiran (intelek, emosi dan spiritual), mencapai kehidupan bahagia dan juga mencapai fitrah sejajar dengan falsafah kaunseling itu sendiri yang tertera dalam surah Al-Baqarah (2) : 30-34.

Jelas, kaunseling bukanlah satu bidang yang terpinggir malah amat penting dalam membantu kerajaan menangani gejala murtad. Sekali lagi, peserta didedahkan dengan kes-kes murtad yang pernah ditangani oleh kedua-dua panel penceramah. Melalui pendedahan itu, jelas bahawa kemurtadan begitu mudah berlaku kepada golongan remaja wanita yang bercinta dengan pemuda bukan Islam dan juga pasangan yang telah bercerai. Di akhir diskusi penceramah menyarankan agar kerajaan mewujudkan suatu sistem kaunseling di setiap jabatan dan institusi pekerjaan di Malaysia agar gejala-gejala yang kurang sihat yang melibatkan akidah dan juga produktiviti individu dapat dikesan dan ditangkis seawalnya. Sesi petang hari kedua menemukan peserta dengan dua orang lagi panel penceramah iaitu SH. Abu Bakar Abd. Hamid yang merupakan Pengarah Bahagian Kaunseling dan Psikologi dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Encik Norazman Amat yang berkhidmat sebagai ketua kaunselor pusat kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Kedua-dua panel membincangkan aspek kumpulan sasaran yang berisiko tinggi terjebak dengan murtad.

Perkara-perkara yang diutarakan dalam sesi ini tertumpu kepada golongan saudara baru Islam sama ada yang belum berkahwin, telah berkahwin dan juga telah bercerai serta golongan remaja yang merupakan golongan paling tinggi berisiko terjebak dalam isu kemurtadan. Golongan kurang upaya, papa kedana termasuk pengemis dan kutu rayau, anak-anak yang dibuang atau anak luar nikah, golongan yg terlibat dengan krisis identiti dan masalah sosial merupakan antara golongan yang turut terancam dengan gejala murtad. Bagi saudara baru, aspek ‘sambutan’ dan layanan segelintir masyarakat Melayu terhadap mereka amat mendukacitakan. Selain itu, penceramah juga mengkritik prosedur dan sambutan yang diberi oleh kakitangan Jabatan Agama Islam Negeri dan juga institusi tertentu yang menguruskan proses pengislaman saudara baru sebagai tidak telus dan kurang prihatin terhadap perasaan dan kebajikan mereka. Bagi golongan remaja pula, jati diri dan keimanan adalah tunggak kepada akidah yang utuh. Ketiadaan tunggak tersebut menyebabkan mereka mudah didekati dan dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang sememangnya menunggu saat untuk menghancurkan akidah mereka. Namun terdapat juga sindiket-sindiket yang menganjurkan aktiviti ‘kemasukan Islam’ secara ‘main-main’ semata-mata mahu mendapatkan bantuan dan sumber kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

‘Bengkel Kaunseling Bagi Gejala Murtad’ ini menamatkan forum dan perbincangan dengan mengadakan sesi percambahan idea, prosedur pengislaman dan usaha pencegahan (pelan tindakan) melalui pecahan kumpulan yang terdiri daripada peserta-peserta bengkel. Beberapa isu yang berkaitan dengan perkauman, kekeluargaan, saudara baru Islam, perundangan, mentaliti dan sentimen budaya dan bangsa serta segala aspek persekitaran yang melingkungi permasalahan gejala murtad dikeluarkan dan dibincangkan sehabis daya. Saranan, usaha pencegahan dan pelan tindakan juga dilontarkan merangkumi peranan-peranan yang harus dilaksanakan oleh kerajaan, badan bukan kerajaan, perundangan, masyarakat, keluarga dan individu itu sendiri.

Sebagai kesimpulan, usaha ACCIN dan YADIM serta badan-badan Islam bukan kerajaan yang lain melalui bengkel ini, amat bernilai dan bermanfaat dari segi ilmu, pendedahan kes dan idea-idea yg telah dilontarkan. ‘Kerja-kerja’ sebegini bukan sahaja harus dipikul oleh pihak-pihak yang terlibat dengan usaha-usaha membanteras gejala murtad malah setiap individu yang beragama Islam harus bekerjasama memastikan Islam terus unggul bukan sahaja di kalangan penganutnya sendiri malah akan lebih menarik minat penganut agama lain. Masyarakat Islam kini juga harus sedar dan bangkit untuk menentang gejala murtad yang pada dasarnya kelihatan seperti buih yang terapung di lautan, hakikatnya gejala murtad telah melanda lautan Islam seperti gelombang besar yang sedang ‘senyap-senyap’ menggulung dasar lautan. Hanya menunggu masa untuk meledakkan gelombang ‘tsunami’ dan seterusnya meranap dan menghancurluluhkan masyarakat Islam di Malaysia dan di dunia. Gelombang itulah yang dinamakan ‘kemurtadan’.