ayah-n-baby.jpg

Pagi itu sungguh sejuk. Tiupan angin yang masuk melalui celahan jendela terasa dingin memenuhi ruang kamar yang agak luas. Selimut yang terdampar di pinggir kaki ditarik hingga ke paras dada. Terasa selesa namun belum cukup untuk membuatkan mata terlena kembali. Dengan malas dia membuka mata perlahan-lahan. Suasana agak sunyi tanpa isteri di sisi. Dia memicit kepalanya berulang kali. Tidur yang agak lena malam tadi tidak dapat mengatasi keletihan fikirannya. Dia terus termenung di katil. Bantal yang biasanya ditiduri oleh isteri yang tercinta, kosong. Sekosong perasaannya pada waktu ini. Pandangannya menerawang ke seluruh bilik. Tersentak seketika, matanya terpaku pada sepucuk surat di atas meja solek.

Walaupun langkahnya agak berlenggang, hatinya diterpa pelbagai persoalan. Surat apakah ini? Sampul surat berwarna biru muda itu jelas ditujukan buatnya ; Kepada Ayah. Dia melabuhkan badannya di atas katil, mencari keselesaan dan mula membuka surat itu. Tulisan tangan yang terpampang pada surat tersebut memang jelas dikenali.

Dia memulakan pembacaannya. “Ayah, hari ini hari minggu. Biasanya ibu akan membawa saya berjogging dan kemudian ke taman permainan dan kadangkala ke perpustakaan awam. Tapi ibu tiada dan ayah sudah berjanji pada ibu untuk membawa saya pergi ke taman pagi ini. Kesibukan ayah setiap hari membuatkan saya ternanti-nantikan hari ini untuk bersama ayah dan menghabiskan masa dengan ayah. Namun ayah masih belum bangun lagi. Minggu lepas pun, ayah tak menemani saya ke taman walaupun ayah sudah berjanji. Malah, cuti sekolah yang lepas pun ayah tidak memenuhi janji ayah untuk membawa saya pulang ke kampung. Mungkin ayah tidak kisah dengan janji-janji itu namun, saya kisah kerana ayah selalu memungkiri janji. Ayah, janganlah membuat janji palsu lagi. Ingat ayah, saya merasa amat kecewa jika janji dimungkiri.” “Ayah juga selalu mengingatkan pada saya supaya meminta maaf jika saya telah melakukan kesilapan pada sesiapa jua. Tapi, kenapa ayah tidak meminta maaf dengan saya kerana memungkiri janji?”. Ayah, jangan sangka ayah akan hilang martabat dengan meminta maaf daripada saya. Jika ayah mengaku dan meminta maaf secara jujur di atas kesilapan yang ayah buat, kemesraan antara kita pasti akan bertambah.”

Dia termenung. Surat itu masih dipegangnya. Dia sedar, dia terlalu sibuk bekerja sehingga melupakan kasih sayang yang sepatutnya dimiliki oleh anaknya. Matanya menerawang ke segenap ruang kamar. Pengap dan kelam mengaburi mata. Namun dia masih ingin membaca surat itu. “Ayah, semalam ayah telah membuang sampah di tepi longkang semasa kita makan di luar. Saya masih ingat ayah ajar tentang kebersihan di rumah. Ayah suruh saya buang sampah di dalam bakul sampah yang terdapat di dapur dan setiap bilik. Ayah kata kebersihan amat penting dan ayah tak suka kepada orang yang kotor. Malah ayah juga pernah menjentik tangan saya kerana membuang sampah di bawah pokok bunga di halaman rumah kita. Ayah, jangan berpendirian tidak tetap, ia akan mengelirukan saya dan akhirnya saya akan hilang kepercayaan terhadap ayah! ” Dia memejamkan mata. Memang benar, dia selalu menasihati anaknya tentang kebersihan. Tidak kiralah di mana-mana pun, dia selalu mengingatkan anaknya tentang kebersihan. Namun, semalam dia terlupa dan melempar bungkusan makanan di tepi longkang.

Dia begitu letih semalam. Letih kerana seharian bekerja dan terpaksa mengambil alih tugas isterinya mengambil anak di sekolah dan membawanya makan di luar. Betapa malunya dia kerana anaknya lebih prihatin dengan apa yang berlaku semalam. Dia memejamkan mata seketika dan meneruskan bacaannya. “Ayah, jangan manjakan saya, saya sebenarnya tahu saya tidak perlu mendapat semua yang saya inginkan, saya hanya menguji ayah! Semalam saya sengaja mengada-ngada inginkan itu ini. Saya tahu ayah agak keberatan untuk membelikan kereta mainan yang saya inginkan itu. Tapi ayah tetap membelikannya untuk saya sedangkan di rumah ini, mainan saya sudah terlalu banyak. Ayah, jangan takut untuk bertegas dengan saya. Saya lebih suka begitu. Sikap tegas ayah akan menjadikan saya lebih selamat dan lebih pandai berfikir di masa akan datang.” Dia masih ingat lagi semalam. Selepas makan di restoran makanan segera, mereka lalu di sebuah kedai permainan. Dia memang tahu barang permainan anaknya memang banyak dan terlalu banyak. Namun, dia malas nak mendengar anaknya membebel dan menangis jika mainan tersebut tidak dibelikan. Itulah yang berlaku jika isterinya menolak permintaan anak mereka setiap kali mereka keluar bersama. Dia juga selalu menegur sikap isterinya yang terlalu tegas dan selalu menasihati anak mereka dengan panjang lebar tentang sesuatu perkara sedangkan, kadangkala perkara tersebut terlalu remeh untuk diperkatakan. Memang benar apa yang dilakukan oleh isterinya. Anak-anak harus dinasihati selalu agar mereka lebih pandai berfikir dan sikap tegas ibu bapalah yang mendidik anak-anak menjadi manusia yang cemerlang. Dia menarik nafas panjang dan menatap bait-bait ayat terakhir dalam surat tersebut. “Ayah, semasa saya menulis surat ini, jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi. Saya masih teringat kata-kata ayah sebelum ayah masuk ke bilik malam tadi. Ayah minta saya mengaku perkara yang tidak saya lakukan. Memang benar ayah, bukan saya yang tumpahkan susu di dapur dan bukan saya yang menyepahkan surat khabar di ruang tamu. Saya tahu ayah penat kerana terpaksa mengambil saya balik dari sekolah, membawa saya makan malam di luar dan menyeterika pakaian setiap malam. Tapi itu semua ayah lakukan hanya untuk seminggu sahaja. Sedangkan ibu, tak pernah merungut-rungut walaupun seharian penat di pejabat dan dengan wajah yang manis ibu tetap mengemas rumah, memasak serta menyeterika pakaian kita sekeluarga. Setiap hari!” “Ayah selalu meninggalkan ruang tamu bersepah setelah membaca surat khabar. Ayah juga kerapkali meninggalkan mug di atas meja sehingga kadangkala mug itu bersemut. Tapi ibu tak pernah menuduh ayah kerana dia tak nampak ayah yang lakukan. Susu yang tumpah di dapur itu ayah yang tumpahkan. Pagi semalam ayah bangun lewat dan kelam kabut. Semasa ayah buka peti ais, ayah tersinggung kotak susu tu. Macam mana ayah boleh kata saya yang buat? Sebenarnya dah banyak kali ayah bertanya pada saya tentang sesuatu perkara yang bukan disebabkan oleh saya. Walaupun saya tidak melakukannya, ayah seolah-olah tidak percaya. Ayah, janganlah terlalu menguji kejujuran saya. Perbuatan ayah itu membuatkan saya takut dan akhirnya saya akan sanggup berbohong.” “Ayah, saya harap ayah tidak tersinggung dengan apa yang saya tuliskan dalam surat ini. Saya sayangkan ayah sebagaimana saya sayangkan ibu. Memang benar syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Namun, saya perlukan tangan ayah untuk memimpin saya ke syurga tersebut.” Dia melipat semula surat itu dengan perlahan dan perasaan yang berat. Kelalaian, kelemahan dan kepincangan yang dilakukannya benar-benar menginsafkannya. Dia benar-benar lupa bahawa anak itu adalah amanah dari Allah s.w.t yang harus di pelihara bukan diabaikan. Selama ini tugas menjaga dan mendidik anak diserahkan bulat-bulat kepada isteri tanpa mengambil kira kepenatan dan kejerihan isteri bertungkus lumus bekerja dan mendidik anak. Baru seminggu isterinya berkursus di luar negeri, pelbagai-bagai peristiwa telah berlaku. Rumah bersepah, anak terbiar dan dirinya sendiri tidak terurus. Dia terlalu leka. Dia juga menganggap bahawa menjaga seorang anak bukanlah sesukar mana. Namun, apa yang berlaku hari ini benar-benar menyentak naluri kebapaannya dan dari detik ini hatinya mula di tumbuhi dengan keazaman untuk memelihara keperibadiannya demi memimpin keluarganya . Pintu kamar diselak. Wajah manis anak menyejukkan nalurinya. Si anak menghulur tangan. Dia menyambut tangan anaknya dengan hati yang terbuka luas. Fikirannya rancak menyenaraikan aktiviti yang akan dilakukan hari ini dan seterusnya. Hari ini dia belajar erti ‘kebapaan’ dari anak yang berusia 10 tahun.Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 28 bermaksud:” Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu adalah menjadi ujian dalam kehidupan kamu, sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar. “

Advertisements